IKRAM Negeri Selangor mengikuti perkembangan isu pesta arak Oktoberfest yang sedang berlangsung 24 September 2014 sehingga 12 Oktober 2014 yang dianjurkan oleh Carlsberg Malaysia sejak tahun 2011.
Kontroversi ini bermula setelah sebuah billboard yang memaparkan iklan Oktoberfest dikesan di Shah Alam.
IKRAM Negeri Selangor memuji langkah Kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai garis panduan untuk tidak membenarkan iklan arak dipamerkan di paparan umum.
Sebagai sebuah masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai ketimuran dan Islam, IKRAM Negeri Selangor memandang serius pesta arak yang sedang berlangsung. Ia merupakan amalan yang dicedok dari budaya barat yang berasal daripada Jerman sewaktu meraikan perkahwinan Diraja mereka.
Oleh yang demikian, IKRAM Negeri Selangor membantah sekeras-kerasnya pesta arak yang dilakukan secara terbuka ini daripada terus dilaksanakan atas norma sosial dan bertentangan dengan Perlembagaan dan perundangan negara.
IKRAM Negeri Selangor menuntut agar:
1. Garis panduan penjualan dan penggunaan alkohol dan arak diperketatkan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semakan semula terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.
2.  Kempen kesedaran bahaya arak dipergiatkan kepada semua.
3.  Penjualan arak dihadkan dan dikawal.
4. Melarang sama sekali penjualan atau akses kepada sebarang jenis arak atau minuman yang memabukkan kepada orang Islam.
5. Menggalakkan masyarakat Malaysia dengan gaya hidup sihat dan bersih tanpa arak sebagai menjunjung kehidupan berkeluarga yang harmoni.
Â
Yang benar,
HJ. SHAMSUL MA’ARIF HJ ISMAIL
YANG DIPERTUA IKRAM SELANGOR