Perutusan Presiden IKRAM sempena Ramadan 1437H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kita ucapkan lantaran diberi peluang dan dipanjangkan usia kita untuk menyambut bulan Ramadan sekali lagi bagi menggandakan amal ibadah untuk memperoleh ganjaran berlipat kali ganda daripada-Nya dan mencapai makam takwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)

“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan bukti keterangan dari petunjuk dan pembeza (antara yang benar dan salah)…” (al-Baqarah: 185)

Rasulullah SAW bersabda: “Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, selamat datang diucapkan.” (HR At-Thabrani)

Sebagai golongan yang beriman, kita menyambutnya dengan penuh keimanan, penuh kesyukuran dan penuh keredaan. Ia bagaikan peluang yang dikurniakan Allah SWT untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya dengan bayaran ganjaran yang berlipat kali ganda, amalan sunat dibalasi dengan ganjaran amalan fardu dan amalan fardu diganjari dengan 70 kali ganda ganjaran amalan fardu yang dilaksanakan pada bulan-bulan yang lain.

Padanya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, ia merupakan bulan pengampunan, bulan rahmat dan bulan pembebasan daripada seksaan api neraka.

Pada bulan ini, kita digalakkan memuhasabah diri, menyesali kesalahan-kesalahan lalu, bertaubat, memperbanyakkan amal soleh, membaca al-Quran, bersedekah, solat sunat tarawih, menghidupkan malam dengan solat sunat tahajjud serta zikir, memuji Alah SWT siang dan malam, menyampaikan bantuan kepada golongan-golongan yang memerlukannya seperti fakir miskin, anak-anak yatim dan lain-lain, sama ada di dalam negara atau luar negara.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda : “Solat lima waktu, Solat Jumaat sampai Solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadan sampai puasa Ramadan berikutnya, adalah menutup dosa-dosa (kecil) yang diperbuat antara keduanya, bila dosa-dosa besar dijauhi.” (HR Muslim)

Diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’ad RA bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Bahawa sesungguhnya bagi syurga itu ada sebuah pintu yang disebut “ar-Rayyaan”. Pada hari kiamat dikatakan: Di manakah orang yang berpuasa? (untuk masuk syurga melalui pintu itu), jika yang terakhir antara mereka sudah memasuki pintu itu, maka ditutuplah pintu itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah RA telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda tentang Ramadan yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikannya (Ramadan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, an-Nasa’i, Malik, Ahmad dan Baihaqi)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda ketika datang bulan Ramadan: “Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, pada bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan dibelenggu. Pada bulan ini, ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya (tidak beramal baik di dalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).” (HR Ahmad, an-Nasa’i dan Baihaqi)

Jelaslah kepada kita semua bahawa pengampunan, rahmat Allah SWT dan peluang untuk memperolehi ganjaran amal soleh yang berlipat ganda, mencapai makam takwa terbuka luas kepada semua kita yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya menerusi amal-amal soleh yang disempurnakan pada bulan Ramadan.

Oleh itu, marilah kita semua memanfaatkan detik-detik umur sepanjang bulan Ramadan, peluang-peluang yang terbuka luas padanya sebaik-baik mungkin, jangan dipersia-siakan peluang yang di kurniakan kepada kita semua. Perkuatkanlah keazaman! Lakukan amalan-amalan soleh sebanyak dan sebaik mungkin. Semoga kita beroleh kebaikan yang melimpah ruah daripadanya.

Marilah kita membimbing seluruh ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan kita dengan mengajak mereka melakukan amal soleh dan ibadah puasa pada bulan Ramadan ini dengan sebaik-baiknya dan mengambil peluang memakmurkan dan menghidupkan 10 hari terakhir pada bulan Ramadan dengan melakukan ibadah iktikaf di masjid bersama-sama.

Firman Allah dalam surah al-Qadr:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Apakah yang kamu ketahui tentang malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

Kepada saudara-saudara kita di bumi Palestin, Syria, Iraq, Myanmar dan lain-lain, hulurkanlah bantuan dan sumbangan kepada mereka atau sekurang-kurangnya, panjatkanlah doa munajat kepada Allah SWT agar mereka dapat merasai nikmat berbuka puasa dan bergembira pada bulan yang mulia ini meskipun mereka masih terpaksa menghadapi kehidupan yang penuh dengan kesukaran dan tekanan yang dahsyat.

Semoga derita mereka tidak berpanjangan dan negara mereka yang masih dijajah akan dapat dibebaskan segera dan kehidupan mereka pulih kembali dan mereka bebas daripada cengkaman musuh yang zalim dengan izin Allah SWT.

Kepada saudara-saudara kita yang baru memeluk Islam, bantulah mereka menjalani ibadah puasa dan amal ibadah yang lain dengan sebaik-baiknya agar santunan kepada mereka memberikan keteguhan iman dalam mengharungi cabaran kehidupan menjadi saudara baru.

Kepada para pemimpin dan ketua di peringkat masing-masing, bertakwalah kepada Allah SWT, nilai dan telitilah setiap amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas kerana amanah tersebut akan dipersoalkan oleh Allah SWT, apakah ia telah ditunaikan sebaiknya atau tidak.

Semoga dengan usaha gigih dan berterusan, niat yang ikhlas dan amalan soleh yang bersungguh-sungguh akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, memperoleh keredaan-Nya yang berpanjangan dan berkekalan, mencapai makam takwa dan kesudahan yang baik di dunia dan akhirat serta pembebasan diri daripada api neraka.

Sekian, selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak 1437H. Semoga Allah SWT memelihara kita dan sentiasa berada dalam ketaatan kepada-Nya sepanjang tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.

Ustaz Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad

Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3 Jun 2016 / 27 Syaaban 1437H

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia