السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسوله الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Orang yang berpuasa mendapat pakaian takwa. la merupakan perisai yang melindungi diri daripada kejahatan dan fitnah. Ibadat puasa lebih istimewa daripada ibadat yang lain kerana ia dinisbahkan secara khusus kepada Allah.
Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: Allah Azzawajalla berfirman:
“Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya. Puasa adalah perisai. Apabila seseorang itu berpuasa pada suatu hari maka jangan sekali-kali dia mengungkapkan perkataan yang kotor (lucah) dan janganlah menengking. Sekiranya seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa “Demi yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa adalah lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Orang yang berpuasa merasai dua kegembiraan. Apabila dia berbuka, dia bergembira dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya, dia bergembira dengan puasanya.” (Muttafaqun Alaih)
Allah Subhanahu wa Taala telah mengkhususkan pada bulan Ramadan kebaikan yang banyak. Jika kita mengetahuinya nescaya kita akan bercita-cita agar sepanjang tahun dijadikan sebagai bulan Ramadan. Pada bulan ini al-Quran diturunkan:
“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)
Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang menakjubkan. Allah menjadikannya terdiri daripada unsur tanah (material) dan unsur ruhi (spiritual). Mereka adalah makhluk yang dihidupkan untuk dua alam. Mereka sentiasa berhubungan antara bumi dan langit. Mereka sentiasa berhajat kepada unsur yang keluar dari bumi untuk makan, minum, pakai dan hidup.
Allah berfirman:
Maksudnya: “Dan Kami tidak menjadikan rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum dan mereka tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia). (Al-Anbiya’: 8)
Mereka juga berhajat kepada apa yang turun dari langit (wahyu Allah), demi mengangkat darjat makrifat mereka di sisi Allah, berada dalam kebenaran, suka akan kebaikan, menikmati keindahan dan beramal soleh. Allah membekalkan manusia dengan naluri yang membantunya mengimarahkan bumi dan menikmati kebaikannya sebagaimana Allah membekalkan manusia dengan kesucian roh yang mengangkatnya berhubungan langsung dengan Tuhan yang Maha Tinggi.
Peranan ad-Din (agama Islam) adalah untuk mengangkat unsur roh ke atas unsur tanah pada diri manusia. Jangan unsur tanah mengatasi unsur roh. Usaha ini sukar memandangkan tabiat manusia sebati dengan unsur tanah dengan segala kecenderungannya serta nafsu manusia pula amat cenderung kepada godaan syahwat dan syaitan.
Islam telah mensyariatkan beberapa ibadat khusus untuk merealisasikan objektif di atas sebagai rukun-rukun terpentingnya; solat, puasa, zakat dan haji selepas mengucap dua kalimah syahadah. Maka puasa diibaratkan sebagai medan jihad ruhi dalam Islam. Dorongan iman pada insan menjadikannya meninggalkan makan, minum dan syahwat ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah. Kesabarannya menahan diri daripada semua perkara yang membatalkan puasa itu adalah ujian sebenar insan. Seorang mukmin pasti akan berjaya menempuh ujian sukar ini yang akhirnya membebaskan mereka daripada ikatan yang bersifat metarial dan unsur haiwan. Benarlah penyair Abu al-Fath al-Basti berkata:
يا خـادم الجسم كم تسعى لخدمته |
أتطلب الربح مما فيه خسران؟! |
أقبل على الروح واستكمل فضائلها |
فأنت بالروح لا بالجسم إنسان! |
Wahai khadam jasad! Berapa kuat kamu berusaha berkhidmat untuknya?
Adakah kamu menuntut suatu keuntungan yang tersirat padanya kerugian?
Datangilah roh dan sempurnakanlah kelebihannya,
Kamu dengan roh, bukan dengan jasad menjadi insan!
Bulan Ramadan adalah bulan penyucian, bulan mengingati akan nikmat kebesaran Allah, bulan kasih sayang dan kasihan belas. Pada bulan ini hati manusia lebih lunak dan senang ditarbiah ke arah takwa dan kebaikan. Kita berasa hairan melihat kesan kedatangan bulan yang mulia ini saban tahun, sehingga ada orang yang terputus hubungannya dengan Allah tiba-tiba kembali menghubungkan dirinya dengan Allah pada bulan Ramadan; masjid dipenuhi, al-Quran dibaca dan sebahagiannya pula akan menyempurnakan puasanya walaupun dia tidak bersolat.
Bagaimana sepatutnya kita manyambut bulan Ramadan?
Pertubuhan IKRAM Malaysia berpandangan bahawa antara kebaikan bulan mulia ini juga ialah apabila ia dilihat dari sudut keluarga dan masyarakat. Di sana terdapat peluang untuk mempertautkan hubungan kekeluargaan melalui program berbuka dan bersahur secara bersama. Hidupkan usaha ziarah-menziarahi, undangan berbuka antara satu sama lain serta menolong yang miskin dan fakir. Sehubungan dengan itu juga Pertubuhan IKRAM Malaysia telah melancarkan tabung Rayuan Ramadhan bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan tersebut dan mengalu-alukan sebarang sumbangan. Kita berasa terpanggil untuk membantu dan tampil membuka ruang untuk umat Islam menyumbang.
Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan ini juga menyeru semua pihak agar menghormati bulan Ramadan yang mulia ini. Kita percaya atas dasar takwa, pihak-pihak berkepentingan seperti pengamal media, penerbit filem, penerbit majalah dan akhbar serta semua saluran televisyen akan berusaha agar kesucian bulan Ramadan ini tidak dicemari unsur-unsur yang tidak selari dengan kesucian bulan mulia ini. Marilah sama-sama kita mencari pahala dari semua ruang yang dipermudah Allah untuk kita. Semoga dengan usaha kita semua, roh menjadi suci, iman meningkat, nilai-nilai kebaikan bertambah, jiwa menjadi suci, kemungkaran dapat dihindari.
Akhirnya marilah kita bersama-sama menyingsing lengan berusaha ke arah ketakwaan dan bermunajat kepada Allah agar Islam ini kembali ke kedudukannya yang sebenar sebagai ad-Din yang memerintah. Rebutlah peluang yang mungkin terakhir buat kita pada bulan Ramadan tahun 1436H ini.
Wassalam….
Saudaramu,
Ustaz Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rabu 30 Syaaban 1435H bersamaan 17 Jun 2015