Perutusan Hari Kemerdekaan ke-59

Assalamu’alaikum wbt.

Kita sekali lagi berkesempatan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara kita Malaysia daripada penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 2016 ini, sejak tanggal 31 Ogos 1957, negara kita telah mencapai status sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Perkara yang paling penting kepada rakyat seluruhnya berhadapan dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara ialah memahami hakikat kemerdekaan, bagaiman ia sepatutnya diisi atau disambut, dipertahankan oleh rakyat dan pemerintah, bagaimana ia dapat dijadikan asas kepada perkembangan negara menuju sebuah negara rahmah mithali.

Hakikat kemerdekaan sesebuah negara dan masyarakat dalam perspektif Islam ialah kebebasannya daripada cengkaman-cengkaman kehidupan yang membelenggu pilihan dan kebebasan mereka, seperti cengkaman nafsu, pemikiran dan pemahaman yang salah, sesat, perbuatan-perbuatan yang jahat, cengkaman syaitan, taghut, penjajah dan manusia yang jahat.

Kemerdekaan sesebuah negara dan masyarakat hanya akan wujud sesudah ia bebas daripada cengkaman-cengkaman dan belenggu-belenggu tersebut.

Sewaktu kemerdekaan itu wujud, sesebuah negara dan masyarakat akan bergerak bebas mengendalikan perjalanan hidupnya berasaskan pilihannya sendiri dengan penuh kebijaksanaan, lepas bebas daripada cengkaman-cengkaman di atas, aktif melakukan kerja-kerja kebaikan yang akan memajukan negara dan kehidupan masyarakatnya, memakmurkan dunia dan hubungan sesama manusia sejagat.

Rakyat dan pemerintah akan berperanan memajukan negara, menjaga hak-hak semua warganya secara adil, tidak melakukan tindakan-tindakan atau amalan-amalan yang akan memburukkan keadaan atau memundurkan negara serta menambah kesusahan rakyat, meningkatkan keupayaan negara dan rakyat untuk terus berkembang maju, mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi lagi sehingga ia menjadi masyarakat dan negara yang berprestasi tinggi, maju dan kuat, menjadi ikutan dan contoh kepada dunia antarabangsa.

Tidak cukup dengan perkembangan tersebut, negara dan masyarakat di dalamnya berasaskan asas-asas kekuatan yang telah sedia dibina akan dapat berkembang maju lagi, melahirkan sebuah tamadun kemanusiaan yang akan semakin sempurna dengan berlalunya masa, menjadi sebuah negara rahmah mithali terhadap rakyatnya, negara-negara tetangga dan masyarakat manusia sejagat.

Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang prihatin, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menginginkan kebaikan untuk semua rakyat dan negara Malaysia yang sama-sama kita cintai ini. Harapan IKRAM sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaaan Malaysia yang ke-59 ini ialah:

“Semoga semua pihak dalam negara ini, pemerintah dan rakyat, akan terus melaksanakan tugas masing-masing dengan sebaik-baiknya, tulus ikhlas bagi memajukan negara serta mengangkat status kesejahteraan kehidupan rakyatnya ke tahap yang lebih tinggi dengan perjalanan masa, Malaysia tampil sebagai sebuah Negara Rahmah Mithali ke atas semua, berjaya menggerakkan pembangunan sebuah tamadun kemanusiaan yang mendekati kesempurnaaan dan mengkhidmati masyarakat manusia sejagat.”

Dalam kesempatan ini juga, marilah kita perhatikan ucapan seorang sahabat Nabi kita yang tersohor, Rib’i bin ‘Amir RA tentang kandungan kemerdekaan yang perlu dicari dan dimenangi dalam hidup ini sebagai satu misi kepada kehidupan dan perjuangan:

“Membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Sekian, selamat maju jaya, rakyat bersatu, Islam didaulatkan, negara dimajukan, redha Ilahi dimenangi, bahagia kekal abadi.

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden IKRAM

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia