HIKAM Menyokong Pendirian Tegas Kerajaan Mempertahankan Kedaulatan Negara dan Menolak Campur Tangan Asing
HIKAM menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta pendirian tegas Kerajaan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk campur tangan asing.
Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang berhak menentukan dasar luarnya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kepentingan nasional, prinsip keadilan sejagat dan undang-undang antarabangsa. Sebarang tekanan daripada pihak luar yang bertujuan mempengaruhi pendirian negara adalah bertentangan dengan prinsip saling menghormati dalam hubungan antarabangsa.
HIKAM berpandangan bahawa sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah manifestasi komitmen negara terhadap nilai kemanusiaan, keadilan dan hak asasi manusia. Malaysia berhak mengekalkan pendirian tersebut selaras dengan dasar luar yang bebas, berkecuali dan berprinsip.
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Ayat ini menegaskan bahawa keadilan hendaklah ditegakkan secara konsisten tanpa dipengaruhi tekanan atau kepentingan mana-mana pihak.
HIKAM turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperkukuh perpaduan dan bersama-sama mempertahankan maruah, kebebasan serta kedaulatan negara. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjejaskan kesatuan dalam mempertahankan kepentingan negara dan prinsip kemanusiaan sejagat.
HIKAM juga menggesa semua negara menghormati prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain sebagaimana yang digariskan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hubungan antarabangsa hendaklah dibina atas asas dialog, saling menghormati dan kerjasama.
HIKAM mengulangi sokongan terhadap usaha Kerajaan Malaysia mempertahankan kedaulatan negara serta terus memainkan peranan sebagai suara yang konsisten dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
“Kedaulatan Negara Dipertahankan, Keadilan Sejagat Diperjuangkan.”
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat HIKAM
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH
Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung IKRAM
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Setiausaha Agung ABIM
Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung HALUAN




