Program tiga hari dua malam di bawah kluster Negarawan Muda SHIELD ini bertujuan untuk mempersiapkan peserta dengan ilmu dan kemahiran ketokohan dalam kalangan mahasiswa Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI).
Latihan kepada kira-kira 40 orang peserta ini merangkumi topik-topik seperti sejarah aktivisme mahasiswa, asas dalam perdebatan, media dan pengurusan naratif, asas-asas perundangan dan pelbagai lagi latihan yang sangat penting untuk diketahui oleh seseorang mahasiswa.
Dalam slot pertama “Mengapa Universiti?”, Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh telah berkongsi kepentingan sesebuah universiti dengan membentangkan sejarah pembentukan universiti dan peranannya masa kini.
Dalam slot seterusnya, Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), En Haris Zuan berkongsi isu permasalahan universiti, aktivisme mahasiswa, autonomi universiti dan kepentingannya kepada pembangunan diri mahasiswa dan universiti untuk pembangunan negara.
Para peserta juga bertuah dengan kehadiran Ketua Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia, En Nazri Abdullah yang menyampaikan tajuk “Pengurusan Media dan Naratif” berkaitan kemahiran dalam menggunakan media sosial sebagai seorang pemimpin, beberapa tip seperti proses membuat hantaran, bentuk kenyataan media yang berimpak dan pengawalan krisis, serta berkongsi pengalaman beliau sepanjang bersama akhbar Harakah dan Malaysiakini.
Dalam “Grooming Session” oleh Frontliner Trainer MSQ Power Training, Pn Nur Karimah Harun, beliau melatih peserta membina penampilan diri sebagai seorang pemimpin antaranya cara berpakaian, penggunaan pakaian yang sesuai, pemilihan warna pakaian, penggunaan aksesori pakaian, penggunaan bahasa tubuh badan dan cara berinteraksi yang betul.
Beliau juga berkongsi pengalaman bagi memberi pemahaman kepada peserta tentang kesilapan yang biasa berlaku dalam penampilan diri yang mana aspek ini merupakan antara elemen penting kepada seorang pemimpin bagi memberikan tanggapan yang baik dan keyakinan diri.
Penutup bengkel disempurnakan oleh Penasihat SHIELD, Saudara Zainal Abid Zainal Adlishah. Semoga program ini mencapai objektifnya dalam melatih para peserta dengan ilmu dan kemahiran sebagai seorang pemimpin sebagai persediaan menjadi tokoh dan negarawan pada masa hadapan, insya-Allah.