Persekolahan Sesi 2023/2024 Bermula, Suai Kenal Minggu Pertama

Persekolahan Sesi 2023/2024 Bermula, Suai Kenal Minggu Pertama | IKRAM

SERI KEMBANGAN – Sebanyak 219,639 pelajar memulakan persekolahan sesi 2023/2024 di 292 sekolah kebangsaan dan menengah di Kuala Lumpur, termasuk pendaftaran baharu berjumlah 20,585 pelajar tahun satu dan 19,257 pelajar tingkatan satu.

Kuala Lumpur turut merekodkah 16,586 guru dan kakitangan sekolah yang memulakan khidmat pada hari pertama persekolahan.

“Fokus minggu pertama persekolahan kali ini adalah menjalankan kaedah didik hibur dan aktiviti suai kenal di antara pelajar, guru-guru dan ibu bapa,” kata Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Norhayati Ab Wahab.

Menurutnya, minggu ini dilaksanakan aktiviti keceriaan, perpaduan yang berunsurkan pembelajaran, motivasi dan sebagainya,

“Kami juga menyambut baik sebarang aktiviti yang ingin dianjurkan oleh sekolah yang berasaskan motivasi, kami juga boleh adakan aktiviti suai kenal dengan ibu bapa, ingin beri fokus kepada murid tahun satu. Selain itu, kami juga akan mengajar mereka cara menguruskan diri, dan belajar menjadi mandiri di sekolah.”

Selain itu, pelbagai aktiviti minggu pertama telah dirangka oleh Jabatan Pendidikan dan  pihak SK Desa Tasik untuk memastikan hubungan yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa dapat diperkasakan.

Antara aktiviti terlibat termasuk pertandingan mewarna, simulasi buli, aktiviti senam robik dan seni mempertahankan diri.

Semua sekolah yang tergolong dalam kumpulan B memulakan sesi persekolahan 2023/2024 pada hari ini.

Ia melibatkan negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sebelumnya, sesi persekolahan 2023/2024 di semua sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula seperti dijadualkan pada Ahad (semalam), namun beberapa sekolah di Johor tidak dapat berbuat demikian kerana masih terjejas banjir.

Di Kedah, seramai 334,426 pelajar daripada 752 sekolah, merangkumi 188,362 pelajar daripada 548 sekolah rendah dan 146,064 pelajar daripada 204 sekolah menengah memulakan sesi persekolahan.

“Daripada jumlah itu, 30,613 merupakan pelajar Tahun 1 manakala 29,240 pelajar Tingkatan 1,” kata Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad.

Beliau berkata, daripada jumlah 30,468 guru yang bertugas di negeri itu, 176 merupakan guru baharu.

Di Terengganu pula, seramai 235,665 pelajar memulakan sesi persekolahan mereka di 505 buah sekolah iaitu 352 buah sekolah menengah dan 153 sekolah rendah melibatkan seramai 22,144 guru di seluruh Terengganu.

“Daripada jumlah itu, 43,348 ialah pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1,” kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah.

Menurutnya, selain pelajar di sekolah kerajaan, kita juga ada 3,191 pelajar di sekolah swasta, murid dalam hospital (39 orang) dan Sekolah Integriti Marang (53 orang), yang turut memulakan sesi persekolahan pada Ahad dengan bimbingan 388 guru.

Manakala di Kelantan, seramai 280,942 pelajar membabitkan 595 buah sekolah di negeri itu, memulakan sesi 2023/2024.

“Program dan aktiviti di sekolah pada minggu pertama sesi persekolahan tertumpu kepada pembentukan adab, akhlak dan motivasi dalam kalangan murid,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

Beliau berkata, pihak sekolah mempunyai ruang memupuk pelbagai nilai baik yang menjadi teras kemenjadian murid dalam tempoh ini.

“Aktiviti dan amalan baik yang menyeronokkan pada awal pembukaan sekolah akan mempengaruhi pembentukan karamah insaniah dalam jangka masa panjang.”

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Md Said Md Daimon berkata, lima sekolah melibatkan kira-kira 2,000 pelajar di negeri itu, tidak memulakan sesi persekolahan mereka hari ini ekoran sekolah berkenaan masih terjejas banjir.

Md Said berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Mendapat, SK Tanjung Sembrong dan SK Seri Nasib Baik di Batu Pahat, tidak dapat dibuka susulan banjir yang masih belum surut, manakala SK Pogoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap di Segamat yang mengalami masalah bekalan elektrik, dijangka dapat beroperasi.

“Sebanyak 44 buah sekolah di daerah ini (Batu Pahat) masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), yang menempatkan mangsa-mangsa banjir termasuk pelajar sekolah.

“Bagaimanapun, murid yang ditempatkan di PPS ini, akan masuk ke kelas menumpang walaupun PPS itu bukan sekolah dia, bergantung kepada kekosongan bilik darjah memandangkan minggu pertama lebih kepada sesi suai kenal transisi,” katanya kepada pemberita selepas melawat SK Seri Gading, Batu Pahat.

Sejumlah 595,454 orang pelajar di Johor dijadual memulakan sesi persekolahan di 1,192 sekolah bagi sesi 2023/2024 melibatkan 354,312 murid di 908 sekolah rendah serta 241,142 pelajar di 284 sekolah menengah.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Syawal Permulaan Baharu. Raya bersama IKRAM dengan klik gambar di bawah.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia