SERI KEMBANGAN – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memahami sentimen serta semangat ibu bapa yang mahu sesi persekolahan dibuka pada Januari berbanding Mac ketika ini, dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengusahakan perkara itu.
“Saya hendak tegaskan sekali lagi bahawa kita sedang menuju kepada Januari semula, itu jaminan KPM. Namun, kita memerlukan sedikit masa kerana perlu mematuhi Akta Pendidikan bahawa kanak-kanak mesti bersekolah sekurang-kurang 190 hari.”
Katanya ketika ditanya mengenai rungutan ibu bapa yang mahu sesi persekolahan dimulakan pada awal bulan dan bukan hujung bulan kerana terpaksa membayar penuh tambang van atau bas sekolah.
“KPM perlu memastikan beberapa episod peperiksaan, terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak mengganggu kitaran anak-anak ini, serta faktor ekonomi lain.”
Terdahulu, permulaan takwim itu diubah daripada Januari kepada Mac sejak 2022, selepas KPM mengumumkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Februari tahun berikutnya ketika sesi persekolahan terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda negara.
Media sebelum ini melaporkan langkah mengembalikan takwim sesi persekolahan bermula pada Januari, tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Ujar Fadhlina, pihaknya perlu mengambil kira pelbagai justifikasi sebelum membuat keputusan mengenai bila ia dapat dimulakan semula.
Minggu lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali pula dilaporkan berkata, KPM belum bercadang mengembalikan takwim sesi persekolahan bermula Januari seperti sebelum pandemik Covid-19.
Menurutnya, pertimbangan perlu diambil kira berkaitan Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun, selain membabitkan pengorbanan cuti.
“Sebenarnya boleh kembali (sesi persekolahan pada Januari) dengan cepat dengan mengorbankan cuti-cuti yang ada. Tapi, kalau sekolah tidak cuti, bila waktu rehat bagi guru, pelajar dan ibu bapa?”
“Kalau nak kembalikan semula, kena kekalkan 190 hari dan anjak sedikit demi sedikit. Ia bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat, dan akan mengambil beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak,” kata Pkharuddin.
Awal bulan ini, beberapa Ahli Parlimen menggesa KPM kembali membuka sesi persekolahan baharu pada Januari.
Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin pada sidang Dewan Rakyat, 1 Mac lalu berkata, ia adalah berdasarkan permintaan majoriti warga pendidik, pelajar serta ibu bapa.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM bersedia untuk menyemak semula silibus pendidikan khas bagi pelajar Sindrom Down supaya ia sesuai mengikut keperluan semasa.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan supaya ia dikaji semula, malah sentiasa mengadakan libat urus dengan pemegang taruh bagi meneliti silibus berkenaan.
“Kita mengambil kira kitaran ansur maju kanak-kanak ini. Soal mengubah atau meminda kurikulum ini, ada pakarnya di KPM,” katanya.
Berhubung cadangan mewajibkan pendidikan sekolah menengah pula, Fadhlina berkata, KPM akan meningkatkan program advokasi bagi memberi kesedaran mengenai perkara itu.
“Apa yang penting ialah memberi kefahaman kepada ibu bapa dan pelajar mengenai kepentingan pendidikan. Kita mahu mengatasi keciciran dalam kalangan pelajar, dan memastikan semua kanak-kanak mendapat akses ke sekolah.
Beliau menjelaskan, tindakan undang-undang bukan satu-satunya penyelesaian untuk memastikan kanak-kanak mendapat akses pendidikan hingga peringkat sekolah menengah.
“Justeru dari semasa ke semasa, KPM akan selari dengan ibu bapa, memberi peringatan dan pada masa sama, memastikan mereka tidak ada isu untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya.
Pada Selasa, Dewan Negara diberitahu bahawa KPM sudah menyerahkan draf cadangan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mewajibkan pendidikan pada peringkat sekolah menengah.
Fadhlina dilaporkan berkata, ia adalah komitmen kementerian bagi memastikan tiada anak tercicir dalam pendidikan, sama ada pada peringkat sekolah rendah mahupun menengah.