Perlu Hikmah dalam Menangani Perbezaan Aliran Akidah

Perlu Hikmah dalam Menangani Perbezaan Aliran Akidah | IKRAM

Isu perbezaan fahaman dan aliran akidah dalam kalangan umat Islam bukanlah perkara baharu dalam sejarah perkembangan Islam.

Sejak dari zaman awal Islam lagi, kepelbagaian pandangan dan tafsiran telah wujud dalam perbincangan ilmu-ilmu Islam. Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana kita menangani perbezaan ini dengan bijaksana dan penuh hikmah.

Rang Undang-Undang Mufti Wilayah Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada Julai 2024 telah mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan isu-isu akidah yang kompleks dan sensitif. Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) telah tampil memberi pandangan yang wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak. 

Menurut HIKAM, perdebatan mendalam mengenai perbezaan aliran akidah seharusnya tidak dilakukan di ruang awam kerana berpotensi menimbulkan kekeliruan dan ketegangan sosial. 

Pandangan ini adalah sangat bertepatan dengan realiti semasa masyarakat kita. Perbincangan isu-isu teologi yang halus dan mendalam di hadapan orang awam boleh membawa kepada beberapa kesan negatif. 

Antaranya ialah kemunculan sikap fanatik dalam kalangan pengikut suatu aliran, pembentukan pemikiran yang sempit dan taksub yang seterusnya membawa kepada pengabaian terhadap isu-isu pembangunan ummah yang lebih penting dan mendesak.

Hal ini secara tidak langsung akan menghambat produktiviti negara ekoran perpecahan yang berlaku dalam masyarakat.

Dalam menangani isu-isu sebegini, pendekatan yang lebih berhemah perlu diambil. Perbincangan dan perdebatan mengenai isu-isu keagamaan yang asasi seharusnya dilakukan dalam forum-forum ilmiah yang dihadiri oleh para ulama, ahli teologi dan pakar bidang daripada pelbagai aliran.

Melalui muzakarah yang kondusif dan terkawal, penyelesaian yang lebih praktikal dan harmoni dapat dicapai untuk manfaat masyarakat secara keseluruhan.

Toleransi dan penghormatan terhadap perbezaan

Para ulama terkemuka seperti Imam an-Nawawi dan Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa perbezaan dalam kalangan umat Islam adalah sesuatu yang boleh diterima selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam.

Mereka menggalakkan sikap toleransi terhadap kepelbagaian pandangan asalkan ia tidak membawa kepada kesesatan atau penyimpangan daripada ajaran Islam yang sebenar.

Walaupun wujud pelbagai aliran akidah, perbezaan ini tidak sewajarnya menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ulama terdahulu telah berusaha menyelesaikan perbezaan-perbezaan ini secara bijaksana dan rasional.

Sebagai respons terhadap variasi dalam fahaman akidah, para ulama telah menghasilkan karya-karya yang memperincikan pandangan mereka berserta rujukan kepada al-Quran dan hadis sebagai panduan bagi umat Islam memahami perbezaan tersebut.

Karya-karya mereka bukan sahaja memperkukuh pemahaman akidah tetapi turut memberikan panduan kepada umat Islam untuk menilai perbezaan dalam kerangka persaudaraan dan kesatuan.

Mereka menekankan prinsip-prinsip utama akidah yang diterima oleh majoriti umat Islam tanpa memberi tekanan berlebihan kepada perbezaan antara aliran-aliran utama.

Mereka menggunakan pendekatan seperti perdebatan ilmiah, penyusunan karya mendalam dan penetapan kaedah seperti ijmak dan ijtihad untuk menyantuni perbezaan.

Walaupun terdapat kelainan pandangan dalam perkara-perkara tertentu, mereka sentiasa mengingatkan umat Islam agar berpegang pada prinsip asas akidah yang menjadi asas kesatuan umat.

Melalui usaha gigih ini, para ulama telah menyatukan umat Islam berdasarkan prinsip-prinsip akidah yang sama. Oleh itu, umat Islam kini wajar mencontohi pendekatan ini dengan menekankan persatuan dan keseimbangan dalam menghadapi perbezaan.

Sama ada melalui pendekatan pelbagai aliran akidah, kesemuanya berada dalam lingkungan Ahli Sunnah Wal Jamaah, dengan tujuan utama mengabdikan diri kepada Allah SWT secara selari dengan syariat Islam.

Mengembalikan perbincangan kepada pihak yang alim

Konflik yang timbul sering kali didorong oleh pihak yang bersikap taasub dan ekstrem. Sikap kurang bertoleransi dan tidak memberi ruang untuk perbincangan yang rasional menyebabkan perpecahan dalam masyarakat Islam.

Oleh itu, amat penting untuk menegaskan kembali nilai kesatuan, keseimbangan dan keterbukaan dalam menghadapi perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam. 

Dalam menghadapi perbezaan fahaman, amat penting untuk merujuk perbincangan kepada mereka yang pakar dan berkompeten. Ulama yang memiliki kelayakan dalam bidang akidah dan tafsiran agama perlu dijadikan rujukan utama dalam menyelesaikan perbezaan ini.

Mengembalikan perbincangan kepada mereka yang berautoriti dan berilmu adalah langkah penting bagi memastikan kesatuan dan keharmonian terus terpelihara.

Pendekatan ini bukan sahaja memastikan perbincangan berasaskan ilmu, tetapi juga dapat mengelakkan penyebaran pandangan yang tidak berasas yang boleh mencetuskan kekeliruan atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Dalam masa yang sama, ia juga adalah untuk memastikan bahawa perbincangan dan penyelesaian terhadap isu akidah dan fiqah berlandaskan ilmu yang sahih dan bebas daripada pengaruh kepentingan politik atau ideologi peribadi. 

Umat Islam kini menghadapi pelbagai cabaran yang menuntut perhatian segera. Isu-isu seperti masalah sosial, rasuah dan kemiskinan seharusnya menjadi fokus utama perbincangan dan usaha penyelesaian. 

Dalam menangani cabaran-cabaran ini, keterbukaan dalam menerima perbezaan pendapat, selagi ia tidak bertentangan dengan asas ajaran Islam, adalah kunci kepada kekuatan dan kemajuan ummah. 

Tenaga dan pemikiran umat Islam perlu digembleng ke arah mencari penyelesaian kepada masalah-masalah ini yang secara langsung memberi kesan kepada kesejahteraan bersama. 

Justeru, menumpukan usaha pada isu-isu utama dengan semangat perpaduan adalah penting demi kebaikan ummah.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia