Tambah beliau, sempena Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia (KoPIM 2016), IKRAM MUSLEH yang menaungi 42 buah sekolah Islam juga menghantar kontinjen yang ramai dalam melaksanakan konvensyen tersebut.
“Kita mahu menggabungkan persatuan pendidikan serta pelbagai pihak, insyaa-Allah yang akhirnya dapat memastikan bahawa penyelarasan, pemuafakatan dan perkongsian berlaku.
“Saya berharap ia dapat memperkukuhkan arus pendidikan Islam dan seterusnya dapat dimartabatkan dalam negara kita,” katanya.
Beliau turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Matlamat dan Kepentingan Pendidikan Islam” di hadapan 130 orang peserta konvensyen yang bertemakan Ke Arah Pemuafakatan Pendidikan Islam, anjuran GaPIM pada Sabtu 16 Januari lalu di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.
Konvensyen yang berlangsung selama setengah hari itu diadakan bagi menggabungkan warga pendidik dalam mengenal pasti cabaran utama dan mencari kaedah penyelesaian pengurusan dan pentabiran institusi pendidikan Islam.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pendidikan IKRAM MUSLEH Berhad merangkap Setiausaha Agung GaPIM, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor berkata, KoPIM 2016 yang julung kali diadakan ini adalah gabungan bersama persatuan-persatuan pendidik, NGO-NGO Pendidikan Islam dan institusi-institusi pendidikan Islam.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah berhimpun dengan rasa bersepadu dalam perjuangan pendidikan Islam dan penglibatan IKRAM sangat signifikan dengan beberapa ahli IKRAM terlibat menjadi AJK GaPIM.
“Kita akan terus menyumbang usaha-usaha yang besar dalam memperjuangkan pendidikan Islam khususnya melalui GaPIM dan alhamdulilah kehadiran hari ini amat memberangsangkan dengan 70 daripada kesemua yang hadir adalah ahli IKRAM daripada sekolah-sekolah IKRAM MUSLEH di seluruh negara,” jelasnya.
Jelas beliau lagi, GaPIM mempunyai hasrat dan impian yang sangat besar dalam merealisasikan misi mereka.
“Dua perkara pertama ialah memperkasakan pendidikan Islam dan menjadikannya arus perdana pendidikan negara manakala yang kedua adalah untuk memastikan bahawa hak-hak pendidikan Islam khususnya NGO-NGO pendidikan Islam, institusi-institusi pendidikan Islam, pelajar-pelajar Muslim, semua institusi pendidikan samada di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi akan mendapat hak-hak mereka daripada kerajaan Malaysia.
“Di samping itu, insyaaAllah kita akan mengusahakan usaha-usaha kesepaduan serta penyatuan dengan semua kumpulan pendidikan Islam khususnya, kita juga akan membina hubungan dengan semua NGO-NGO pendidikan yang lain termasuk NGO-NGO pendidikan yang bukan Islam dalam dan luar negara,” jelasnya.
Beliau turut berharap GaPIM terus mendapat sokongan padu semua pihak seterusnya merapatkan ukuhuwwah islamiah serta silaturahim.
“Harapan saya kita semua bersatu hati demi untuk kejayan serta kecermelangan pendidikan Islam yang kita impikan seterusnya memastikan masa depan yang baik untuk generasi masa depan akan datang,” katanya.