Peristiwa Hijrah dan Pengajaran dalam Isu Boikot

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah telah dipilih oleh Saidina Umar r.a. sebagai titik permulaan kalendar Islam. Keputusan penting tersebut bukan sekadar penetapan tarikh semata-mata, tetapi melambangkan titik tolak era baharu umat Islam.

Buat pertama kalinya, umat Islam memiliki negara sendiri dengan sistem pemerintahan tersendiri melalui kerajaan yang berdaulat.

Hijrah yang diperintahkan oleh Allah SWT itu melambangkan peralihan daripada keadaan tertindas kepada kebebasan beragama dan berpolitik yang bakal mengubah landskap dunia ke arah ketamadunan tinggi yang tidak pernah dicapai sebelum itu.

Saidina Umar kemudian memilih bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam, iaitu selepas ibadah haji selesai dilaksanakan. Ketika ini, para duyufurrahman kembali dalam keadaan suci, seumpama bayi yang baru dilahirkan sebagaimana disebut melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Barang siapa yang melaksanakan haji di Baitullah ini kemudian tidak berkata kotor, tidak berbuat fasik, maka dia kembali dalam keadaan seperti saat dilahirkan ibunya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Bulan Muharam yang dipilih sebagai permulaan tahun baru umat Islam menjadi simbol bermakna bagi umat Islam dalam agenda transformasi ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya sebagai individu Muslim dan sebagai sebuah umat.

Muharam memiliki keistimewaan tersendiri dalam Islam. Ia merupakan salah satu bulan yang dimuliakan Allah SWT sehingga segala amalan baik digandakan pahalanya. Rasulullah SAW bersabda bahawa puasa pada hari Asyura (10 Muharam) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu sebagaimana dalam hadis daripada Abu Qatadah r.a. (maksudnya):

Berpuasa pada hari Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya Ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” (HR Ibnu Majah (1738))

Maka awal Muharam bukan sekadar perayaan penanda permulaan tahun baru, tetapi untuk bermuhasabah, memperbaharui tekad dan membuka lembaran baru kehidupan dalam memperteguh ketaatan kepada Allah SWT.

Justeru, marilah kita bermula dengan merebut ganjaran besar yang ditawarkan pada setiap umat Islam untuk sentiasa berusaha ke arah perubahan demi kebaikan dan kemajuan, baik dari segi rohani mahupun kehidupan bermasyarakat.

Dalam konteks semasa, semangat hijrah yang dibuat oleh golongan muhajirin dapat diaplikasikan bagi menghadapi isu kehidupan kini yang mencabar dan kompleks. Ia merujuk secara khususnya kepada soal memperbaiki dan memperteguh perpaduan serta berlapang dada melepaskan kepentingan sendiri demi mencapai matlamat yang lebih agung.

Kukuhkan perpaduan

Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menitahkan bahawa perpaduan kaum dan agama yang kukuh adalah asas penting yang mesti dipelihara.

Baginda turut menitahkan agar rakyat mengelakkan provokasi, fitnah dan hasad dengki yang boleh merosakkan ikatan perpaduan. Rakyat juga diperingatkan agar tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu berkaitan kaum dan agama.

Titah Yang di-Pertuan Agong ini melambangkan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan dan keharmonian negara. Ini juga mencerminkan kebijaksanaan baginda dalam memahami kepentingan perpaduan sebagai tunjang kekuatan Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Perpaduan sangat diperlukan sebagai benteng terhadap sebarang gangguan yang mampu meruntuhkan atau menghancurkan.

Nasihat baginda amat bertepatan dengan semangat Tahun Baru Hijrah yang disambut. Perkara ini mengingatkan bahawa perubahan positif harus bermula dari dalam diri setiap individu, kemudian keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati makna sebenar hijrah dengan mengambil iktibar daripada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW. Tekad yang kuat perlu ada untuk meninggalkan sifat-sifat buruk termasuk bersikap prejudis dan ekstrem yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Sebaliknya, sikap toleransi, saling menghormati dan bekerjasama harus dipupuk demi membangunkan negara yang aman dan makmur.

Sejarah tamadun tinggi telah membuktikan dunia dikuasai oleh mereka yang menjunjung tinggi agama, ilmu dan adab. Manakala sejarah juga telah menyaksikan keruntuhan tamadun oleh mereka yang jahil, runtuh moral dan agamanya.

Pengajaran isu BlackRock

Menyoroti malapetaka yang terjadi ke atas rakyat Palestin di Gaza, umat Islam beserta seluruh masyarakat dunia yang menjunjung sifat kemanusiaan berasa tertampar kerana tidak mampu menghentikan kekejaman rejim Zionis yang bermaharajalela melakukan kezaliman tanpa henti hingga ke saat ini.

Dalam hal ini, perasaan marah dan kecewa yang dirasai tidak sewajarnya menghalalkan tindakan atau ucapan ekstrem yang boleh mengakibatkan kebinasaan yang lain.

Utamakan adab dan hikmah dalam menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin termasuk menghormati pandangan yang berbeza dan mengelakkan kenyataan yang tidak adil terhadap mana-mana pihak.

Ini merangkumi tindakan yang diambil untuk memboikot barang mahupun perkhidmatan yang tidak didasari oleh sentimen semata-mata, tetapi didasari oleh fakta dan bersasar.

Boikot yang berkesan adalah yang disasarkan kepada entiti yang terbukti menyokong penindasan di Palestin, bukan sekadar berdasarkan persepsi atau khabar angin yang tidak tentu kesahihannya.

Dalam pada itu, isu BlackRock yang kontroversi baru-baru ini memberikan isyarat bahawa ada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan “hijrah ekonomi” agar negara memperkuatkan lagi ekonomi dalaman ke tahap dapat bersaing secara sihat dengan syarikat pelaburan luar negara yang masih lagi diperlukan.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih syarikat-syarikat pelaburan luar negara yang sesuai dan unsur sensitiviti perlu diambil kira di samping memastikan entiti pelaburan itu tidak terlibat atau menyumbang dalam keganasan dan penindasan seperti di Palestin.

Dalam hal ini, pemerkasaan sistem kewangan Islam sebagai inisiatif Ekonomi Madani oleh kerajaan, dilihat sebagai langkah penting dalam mewujudkan pembangunan holistik berkonsepkan halal dan tayyib.

Melalui pengurusan kewangan yang adil, ihsan dan berlandaskan maqasid syariah, ia membawa harapan untuk membentuk ekonomi yang lebih inklusif dan adil.

Salah satu pendekatan untuk mencapai tujuan ini adalah melalui pemerkasaan sistem ekonomi berdasarkan sedekah. Manfaat sistem ekonomi berasaskan sedekah telah terbukti mewujudkan kesejahteraan ekonomi dan pembangunan ummah.

Sistem ekonomi berasaskan sedekah bukan hanya menjadi pilihan untuk memperbaiki ketidaksempurnaan dalam sistem ekonomi konvensional, tetapi juga berperanan sebagai pengekal nilai-nilai kebajikan dan pembangunan yang berterusan.

Sambutan Awal Muharam mengajak kita untuk menghayati semula erti perubahan sejati dengan semangat hijrah yang diwarisi daripada Rasulullah SAW. Marilah kita jadikan momentum ini sebagai titik permulaan untuk melakukan perubahan positif dalam diri, masyarakat dan negara.

Dengan menjadikan perpaduan sebagai teras kekuatan, toleransi sebagai budaya hidup dan kebijaksanaan sebagai panduan, cabaran semasa dapat didepani dengan lebih mudah. Setiap langkah kecil ke arah kebaikan adalah permulaan kepada perubahan besar.

Bersama-sama, dengan azam yang membara dan tindakan yang berani, kita semua boleh membina Malaysia yang lebih kuat, adil dan makmur, sebuah negara yang menjadi contoh kepada dunia tentang kekuatan dalam kepelbagaian.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia