Perangi ‘Musuh’ Kewangan: Isu Riba dalam Emas

Perangi ‘Musuh’ Kewangan: Isu Riba dalam Emas | IKRAM

Kecoh di media sosial baru-baru ini perihal transaksi emas yang disertai oleh masyarakat telah berlaku kelewatan dan penangguhan pembayaran jualan emas dalam kalangan pelanggan mereka.

Situasi tersebut telah mengundang pelbagai perspektif dan perdebatan dalam kalangan warga maya. Tambahan pula, keghairahan untuk membeli dan melabur dalam emas tercetus terutama selepas pandemik COVID-19.

Hal ini dipengaruhi oleh situasi ekonomi masyarakat selepas pandemik yang sukar dan kefahaman bahawa emas boleh berperanan sebagai alat perlindungan daripada inflasi dan perlindungan kewangan sewaktu berhadapan dengan keadaan ekonomi yang meruncing. 

Walau bagaimanapun, penglibatan dalam pelaburan emas bukan sahaja memerlukan ilmu yang bersifat teknikal tetapi sangat memerlukan kefahaman yang jelas terhadap fiqh emas kerana transaksi dengan emas disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Samit yang bermaksud:

“Tukarkanlah emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam dengan kuantiti yang sama dan dari tangan ke tangan (secara tunai) semasa pertukaran itu dibuat. Tetapi jika terdapat perbezaan dari segi jenis (bukan barangan sejenis), maka tukarkanlah ia mengikut kesukaan kamu, tetapi hendaklah ditukar dari tangan ke tangan (secara tunai).”

Sebagaimana yang telah dibincangkan dalam artikel lepas, panduan penting dalam sebarang transaksi melibatkan item emas mesti mematuhi syarat serah dan terima dalam satu masa. 

Walau bagaimanapun, syarat tersebut tidak terpakai kepada transaksi barangan ribawi berlainan kategori atau jenis seperti membeli gandum dengan emas atau transaksi barangan ribawi dengan bukan barangan ribawi seperti membeli telefon bimbit menggunakan emas. 

Jika dirujuk kepada perbahasan utama penulisan ini iaitu transaksi barangan ribawi dengan barangan ribawi, syarat yang perlu dipatuhi oleh penjual emas ialah tidak menangguhkan penyerahan emas yang dijual, manakala proses pembayaran wajib menggunakan sama ada tunai, debit/kredit, cek tempatan dan tidak dibenarkan ansuran atau hutang. 

Syarat kedua pula ialah timbangan terutama melibatkan penukaran item yang sama seperti emas dengan emas semestinya timbangan yang sama. Kedua-dua syarat ini turut dinyatakan dalam parameter pelaburan emas yang telah dikeluarkan oleh pihak JAKIM. 

Emas adalah item ribawi

Jika dalam artikel sebelum ini kita telah membincangkan jenis riba al-Fadl, artikel kali ini memfokuskan kepada jenis riba kedua yang popular dilakukan dalam masyarakat iaitu an-Nasa’.

Menurut sarjana, riba ini merupakan riba paling utama diamalkan oleh masyarakat jahiliah. Ia berlaku dalam semua jenis urus niaga secara pinjaman atau hutang iaitu pinjaman diberi kepada seseorang dengan bayaran bunga bulanan yang melebihi pinjaman pokok. 

Riba ini berlaku disebabkan oleh syarat penangguhan secara sengaja dalam penyerahan barang ataupun duit pembayaran kemudiannya dikenakan caj tambahan.

Riba jenis ini berkembang meluas pada zaman Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan dalam kitab al-Muwatta’ Imam Malik bahawa pada zaman Arab jahiliah, riba wujud dalam bentuk apabila seseorang meminjam wang daripada orang lain dan tempoh yang ditetapkan telah luput, maka si pemiutang akan menuntut hutang daripada penghutang namun tidak dapat dibayar pada waktu yang dijanjikan.

Pemiutang akan memanjangkan tempoh bayaran balik dengan syarat dia akan membayar lebih daripada jumlah asal pinjaman. Asas tambahan tersebut adalah kerana tempoh menunggu pemiutang untuk menerima hutang pokok daripada penghutang tersebut. 

Majoriti dalam kalangan fuqaha menyebutkan illah (sebab) pengharaman dalam isu emas adalah sifatnya sebagai mata wang kerana anggapan emas sebagai harga. 

Sebarang anggapan sebagai mata wang seperti wang kertas, jika ditukar dengan emas, maka sebarang nilai tambahan dibenarkan tetapi syarat pertukaran mesti berlaku secara lani (on the spot) dan tiada unsur penangguhan dalam transaksi.

Alternatif kepada isu di atas ialah pembeli emas boleh membuat pinjaman terlebih dahulu dengan pihak ketiga, kemudiannya membeli emas tersebut secara tunai.

Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelak daripada membuat pinjaman daripada pihak sama yang menjual emas supaya tidak berlaku perkara yang ditegah oleh Rasulullah SAW iaitu jual beli dan hutang. Hal ini bersandarkan hadis baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang.” (Riwayat Ahmad)

Situasi tersebut diulas oleh al-Imam Ibnu Qayyim sebagai helah untuk melakukan riba dalam jual beli dan merupakan larangan oleh syariat. Justifikasi ulasan beliau ialah, jika penjual emas meminjamkan duitnya, maka emas akan terjual. Adapun pembeli tidak akan meminjam duit penjual emas jika dia tidak mahu membeli emas tersebut. 

Perbahasan ini turut menarik perhatian penulis untuk merumuskan isu berkaitan dengan aktiviti leverage dalam pelaburan emas. Perhatian dan saranan telah dikemukakan oleh beberapa tokoh kewangan terkemuka seperti Prof Dr Ashraf Hashim dan Prof Dr Aznan Hasan.

Mereka menyebutkan bahawa aturan leverage (kebenaran untuk menggunakan marhun dan kitar semula marhun) kalau dilihat dalam praktis pelaburan emas oleh syarikat scammer terdahulu tidak dibenarkan secara makro. Asas sandaran kaedah fiqh kepada isu ini ialah menolak kemudaratan lebih utama daripada memperoleh kemaslahatan. 

Kemudaratan dalam riba dengan jelas dilarang oleh Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 161 yang bermaksud:

Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir antara mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Hadis Nabi SAW yang menyebutkan tentang pengharaman riba an-Nasiah dirujuk: 

“Ingat-ingatlah bahawa semua urusan riba yang diamalkan pada zaman jahiliah dihapuskan daripada amalan kamu. Kamu berhak mengambil modal pokok yang telah kamu berikan sahaja, nescaya kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi. Riba pertama yang dihapuskan ialah riba Al-Abbas Ibn Abd al-Mutallib dan semua sekali dihapuskan…”

Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, al-Darimi dan al-Bayhaqi yang bermaksud: 

“Ingat-ingatlah bahawa semua riba al-Jahiliyyah itu adalah dimansuhkan, bagi kamu adalah modal pokok kamu. Kamu tidak menzalimi dan juga tidak dizalimi.”

Perhatian penting dalam transaksi emas

Aktiviti pelaburan emas perlu mengikut ketetapan dan parameter yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak yang berautoriti.

Jika transaksi melibatkan kuantiti, item mesti dipastikan dengan kuantiti yang sama dalam transaksi. Jika transaksi melibatkan jenis berlainan tetapi dalam kategori yang sama seperti emas dan perak, maka disyaratkan untuk disempurnakan secara lani.

Penyerahan emas secara terus (lani) dan telah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tiada tempoh tiga hari dibenarkan. Hal ini demikian kerana tempoh tiga hari bukanlah suatu amalan dalam serahan emas dan ia tidak boleh disamakan dengan konsep T+2 sepertimana yang digunakan dalam tukaran mata wang asing (foreign exchange). 

Justeru, tidak salah untuk mempelbagaikan bentuk pelaburan walaupun dengan komoditi emas. Namun, perhatian dan garis panduan perlu diberikan perhatian supaya kita tidak termasuk dalam musuh-musuh Allah SWT dan Rasul-Nya. 

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia