“Kasih bapa sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggalan.”
Apabila mendengar perkataan ‘bapa,’ kita sering merujuknya kepada karakter bapa yang sering dilihat tegas, garang, serius dan tidak banyak bercakap.
Karakter bapa juga sinonim dirujuk kepada kesungguhan dan ketekunan mereka dalam mencari rezeki agar dapat memberikan yang terbaik buat keluarga dan insan yang tersayang.
Karakter para bapa yang majoritinya tidak terlalu ekspresif dalam memaparkan cinta dan sayang kepada anak-anak berbanding para ibu kerap disalah erti oleh masyarakat.
Umum masyarakat menilai para bapa sebagai figura yang mempunyai kekuatan emosi yang lebih tinggi berbanding para ibu kerana mereka tidak terlalu menunjukkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada anak-anak.
Bapa Tonggak Keluarga
Lantaran itu, peranan para ibu dilihat lebih ke hadapan dan besar dalam mendidik, melindungi dan berkorban demi membesarkan anak-anak berbanding para bapa.
Ibu dan bapa sebenarnya adalah simbiosis yang wujud dalam sesebuah ikatan perkahwinan dan keluarga. Kedua-duanya mempunyai peranan bersama dan masing-masing tetapi saling melengkapi dalam memastikan rumah tangga dan keluarga mereka berjaya dibentuk dengan sejahtera dan bahagia.
Namun demikian, bapa, ayah, abah, daddy, papa, walid, abuya atau apa saja gelaran yang diberikan kepada para bapa adalah merujuk kepada susuk seorang lelaki yang merupakan tonggak kepada keutuhan sesebuah unit keluarga.
Tanpa tonggak yang kukuh, bergoyanglah sesebuah bangunan yang mungkin membawa rebah. Tanpa susuk bapa yang mantap, bergoncanglah sesebuah keluarga yang mungkin menuju runtuh.
Hal ini kerana, institusi keluarga adalah unit paling asas dan terpenting dalam proses pembentukan masyarakat dan dalam memacu pembinaan sebuah negara rahmah.
Kesejahteraan sesuatu generasi yang dilahirkan dalam sesebuah masyarakat dan negara adalah bergantung kepada sejahteranya sesebuah keluarga.
Sekiranya institusi keluarga berpecah belah akibat kepincangan seorang bapa dalam memainkan peranan dengan baik, maka kesan sosial dan ekonominya akan dirasai oleh masyarakat dan generasi berikutnya.
Peranan bapa tidak boleh dipandang enteng kerana bapa mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai pemimpin, pelindung, pendidik, qudwah hasanah dan juga pemberi nafkah buat isteri dan anak-anak.
Bapa adalah ketua dan nakhoda kapal yang mempimpin keluarga dalam menentukan arah kapalnya berlayar sehingga ke destinasi rumah tangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.
Oleh itu, kedudukan seorang bapa amat dimuliakan dalam Islam sebagaimana kedudukan seorang ibu sehingga diingatkan oleh Allah Taala dalam al-Quran pada Surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
Pembimbing, Pelindung Keluarga
Bapa sebagai pemimpin, pendidik dan juga teladan melalui qudwah hasanah berperanan penting dalam memastikan bahawa didikan yang diberikan kepada keluarga adalah didikan yang mengukuhkan kesedaran ahlinya dalam beragama.
Kewibawaan dan keteladanan susuk bapa dalam keluarga sangat menentukan pembentukan nilai-nilai agama, moral, sosial dan disiplin dalam diri anak-anak.
Melalui bimbingan para bapa, isteri dan anak-anak mereka dapat diajar dan dibentuk supaya sentiasa disuburkan perasaan untuk taat kepada Allah, tidak menganiaya sesama manusia, selalu bertimbang rasa dan bersifat rahmah kepada semua.
Terdapat dialog-dialog yang dirakamkan dalam al-Quran antara bapa dan anak yang menggambarkan betapa pentingnya kedudukan seorang ayah sebagai watak utama dalam pendidikan anak-anak. Antaranya Surah Luqman ayat 13 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”
Sentiasa perlu diingat bahawa anak-anak adalah ibarat kain suci dan bapa adalah individu yang mencorakkannya selain ibu.
Bapa juga berperanan sebagai pelindung kepada keluarganya. Seorang bapa bertanggungjawab dalam memastikan ahli keluarganya sentiasa berada dalam persekitaran yang sihat dan selamat.
Sekiranya bapa tidak menunjukkan sifat pelindung kepada anak-anak, mereka akan berasa tidak selesa, enggan berkomunikasi, memberontak dan sekali gus mudah untuk terjebak dengan gejala sosial.
Selain itu, peranan bapa sebagai pelindung bukan sahaja setakat melindungi ahli keluarganya daripada mudarat mahupun ancaman bahaya luar, malah bapa sebagai ketua keluarga turut bertanggungjawab untuk memelihara dirinya dan juga ahli keluarganya daripada bahana seksaan api neraka.
Peringatan keras untuk melindungi diri tersebut diingatkan oleh Allah Taala dalam al-Quran melalui Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”
Memberi Nafkah
Selanjutnya, peranan utama dan tersendiri para bapa yang digariskan oleh Allah Taala dalam al-Quran menerusi Surah At-Talaq ayat 7 adalah untuk mereka mencari dan memberikan nafkah kepada ahli keluarganya.
Nafkah para bapa kepada ahli keluarga adalah dalam bentuk menyediakan keperluan ekonomi kepada ahli keluarganya. Tanggungan nafkah bermaksud tuntutan untuk mengeluarkan belanja atau sara hidup termasuk keperluan tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, keagamaan dan perubatan kepada isteri dan anak-anak.
Tanggungjawab nafkah adalah wajib dilaksanakan oleh para bapa kerana ia merupakan tanggungjawab yang mesti dipenuhi. Nafkah yang mencukupi serta baik adalah penting bagi keperluan kehidupan isteri dan anak-anak. Ia adalah jaminan kemakmuran bagi sesebuah rumah tangga yang dibina.
Sekiranya hak nafkah isteri dan anak-anak diabaikan oleh para bapa, pelbagai masalah sosial dan ekonomi akan timbul dalam masyarakat termasuk perceraian ibu bapa dan perpecahan dalam kalangan ahli keluarga.
Kifayah dan Ma’ruf
Meskipun tidak dinyatakan secara khusus dalam dalil-dalil syarak mengenai kadar bayaran nafkah yang perlu diberikan oleh bapa kepada anak-anak, kadar bayaran tersebut adalah ditentukan berdasarkan adat kebiasaan dan kemampuan pemberi nafkah.
Hal ini adalah sebagaimana firman Allah Taala dalam Surat At-Talaq ayat 7 yang bermaksud:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
Berdasarkan dalil ini, para bapa hendaklah menetapkan kadar pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak melalui konsep kifayah dan ma’ruf.
Konsep kifayah dan ma’ruf menurut As-Syafie dalam konteks pemberian nafkah adalah mengikut kadar kemampuan bapa iaitu setelah diukur minimum dan maksimum kemampuan bapa dan kemudian terpulang kepada bapa untuk memberikan berapa jumlahnya, namun tidak boleh kurang daripada ukuran minimum kemampuan bapa tersebut.
Seandainya para bapa abai atau culas atau enggan untuk memenuhi tanggungjawab tuntutan nafkah terhadap ahli keluarganya khususnya kepada anak-anak sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan, mereka berhak untuk menuntut tunggakan tersebut terhadap bapa mereka di Mahkamah Syariah.
Mahkamah Syariah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan-tuntutan orang beragama Islam berkenaan tunggakan nafkah isteri dan anak-anak terhadap bapa, meliputi tunggakan keperluan harian seperti makan minum, pakaian, perbelanjaan, persekolahan, pendidikan asas, perubatan dan tempat tinggal.
Selain itu, bidang kuasa Mahkamah Syariah juga adalah untuk mendengar prosiding pelaksanaan terhadap perintah nafkah yang mana pengingkar nafkah boleh berdepan tindakan undang-undang seperti perintah komital, saman penghutang, pemenjaraan, tahanan pendapatan, penyitaan harta benda dan sebagainya.
Perkara yang lebih utama adalah para bapa juga bakal berdepan dengan azab dan kemurkaan Allah Taala atas kelalaian menunaikan tuntutan wajib iaitu tanggungjawab mencari dan memberikan nafkah kepada ahli keluarga.
Kerjasama Semua
Sebagai penutup, pembentukan institusi keluarga yang utuh memerlukan kerjasama semua pihak khususnya para bapa selaku tonggak institusi.
Selain bapa, isteri selaku ibu berserta anak-anak turut mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan keluarga yang dibina sentiasa sejahtera dan bahagia.
Hal ini adalah selari dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” (HR Tirmidzi, No. 3895, Sahih)
Meskipun para bapa diperintahkan oleh Allah Taala untuk memikul tanggungjawab yang besar lagi berat khususnya berkenaan peranan untuk mencari dan memberikan nafkah, ibu dan anak-anak sewajarnya sedar yang mereka turut mempunyai tanggungjawab kepada suami dan bapa mereka iaitu dengan cara menghormati, mentaati, membantu, berbuat baik dan sentiasa bersifat ihsan.
Keluarga utuh yang diimpikan adalah keluarga yang kuat dan bersama menghadapi cabaran yang ada dengan iman dan takwa sebagai asas.
Sabar dan hikmah juga mestilah sentiasa ada dalam diri untuk mencapai pembinaan keluarga yang utuh.
Apabila utuhnya sesebuah institusi keluarga, maka misi untuk memacu pembinaan Negara Rahmah akan semakin hampir menuju realiti.
Terima kasih kepada para bapa sekalian dan Selamat Hari Bapa!
Nur Amirah Mohd Pauzi
Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie
AJK Advokasi dan Polisi Wanita IKRAM