Peranan Ibu Bapa Dalam Vaksinasi Anak-anak

Peranan Ibu Bapa Dalam Vaksinasi Anak-anak | IKRAM

Institusi keluarga adalah merupakan komponen terpenting dan unit paling asas dalam pembinaan sesebuah masyarakat. Jika baik dan bahagia sesebuah keluarga, maka akan baik dan bahagia jugalah generasi yang dilahirkan dalam sesebuah komuniti masyarakat.

Dalam melahirkan sesebuah keluarga yang baik dan bahagia, kesihatan adalah isu penting yang perlu dititikberatkan. Kesihatan yang baik dalam sesebuah keluarga samada secara psikologi, mental dan fizikal akan membantu melahirkan komuniti yang sejahtera dari segi emosi, ekonomi dan ekologi manusia.

Kesihatan keluarga sebagai suatu yang sangat berharga dan bernilai dalam kehidupan. Kesihatan yang baik tidak dapat dijual beli dan apabila sesebuah keluarga berada dalam kesihatan yang optimum, bermakna segala aktiviti harian keluarga akan sempurna dan bermakna.

Ibu bapa adalah susuk terpenting yang berperanan dalam memastikan penjagaan kesihatan dalam sebuah keluarga terjamin. Kesedaran dan ilmu pengetahuan perlu dimiliki oleh para ibu bapa dalam memastikan setiap anggota keluarganya sentiasa berada pada tahap kesihatan yang baik.

Namun, masih ramai lagi ibu bapa yang sambil lewa dan cuai terhadap kesihatan anak-anak. Disebabkan kecuaian ibu bapa, ramai anak-anak yang telah menemui ajal mereka.

Ini dapat dilihat apabila ibu bapa hanya mengambil mudah apabila anak-anak mereka mengalami demam panas dan tidak segera mendapatkan rawatan. Ini belum termasuk lagi ibu bapa yang cuai dengan merokok di depan anak yang masih kecil. 

Para ibu bapa perlu sentiasa ingat bahawa anak-anak bukan sahaja sebagai anugerah, tetapi juga merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa untuk membesarkannya dengan sempurna.

Kesibukan kerja seharian tidak boleh dijadikan alasan kepada ibu bapa untuk sentiasa memastikan dan memantau apa jua perubahan yang berlaku pada anak-anak samada secara psikologi, fisiologi mahupun biologi. 

Untuk itu, ibu bapa perlu melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan tentang kesihatan sama ada kesihatan diri sendiri ataupun anak-anak.

Walaupun bukan daripada berlatarbelakangkan sains atau kesihatan, tidak menjadi suatu kekangan yang besar bagi ibu bapa yang penyayang untuk rajin membaca dan membeli buku-buku kesihatan untuk menambah pengetahuan. 

Lantaran pula, zaman serba canggih yang segalanya hanya berada di hujung jari. Ibu bapa hanya perlu melayari Internet dan memuat turun artikel-artikel penting sebagai panduan dalam penjagaan kesihatan anak-anak dan keluarga khususnya.

Sediakan payung sebelum hujan

Antara pengetahuan penting yang perlu ibu bapa ketahui sebagai persediaan adalah seperti teknik bantuan pernafasan (CPR) untuk anak-anak yang masih kecil.

Pengetahuan teknik ini adalah sangat penting bagi membantu menyelamatkan anak-anak kita terutamanya apabila mereka tersedak susu termasuk objek keras seperti guli. 

Selain itu, ibu bapa juga perlu tahu beberapa penyakit berjangkit yang mudah menjangkiti anak-anak yang boleh membawa maut seperti batuk kokol dan campak. Ia bukan sahaja sukar dirawat, malah ada sesetengahnya boleh mengakibatkan kehilangan upaya atau kerosakan organ dalam badan.

Maka, adalah penting untuk ibu bapa turut serta dalam program pencegahan penyakit melalui program imunisasi. Dengan program imunisasi ini, banyak penyakit yang boleh dicegah atau dikurangkan dengan vaksin yang pada suatu ketika dahulu telah banyak meragut nyawa.

Memberi anak-anak imunisasi adalah cara yang sangat menjimatkan kos untuk melindungi anak anda daripada jangkitan penyakit yang boleh membawa maut.

Perlu diketahui bahawa, apabila anak-anak telah mendapat sesuatu penyakit, kos merawat anak-anak yang telah dijangkiti penyakit adalah jauh lebih besar daripada kos pemberian imunisasi.

Beban kewangan yang perlu ditanggung ibubapa adalah sangat besar apabila anak-anak dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan penyakit yang serius. Ini termasuk masa yang lama yang perlu dikorbankan oleh ibu bapa untuk menjaga anak-anak yang sakit.

Mencegah lebih baik daripada mengubati

Pemberian vaksin ini boleh didapati di semua hospital dan klinik kerajaan serta swasta. Ia diberikan secara percuma di semua hospital dan klinik kerajaan tetapi dikenakan bayaran di klinik swasta. 

Terdapat juga vaksin gabungan yang menggunakan kira-kira tiga hingga enam jenis vaksin yang dimasukkan ke dalam satu suntikan seperti vaksin MMR yang biasanya lebih mahal tetapi ia mengurangkan jumlah suntikan yang mengakibatkan kesakitan pada anak-anak.

Imunisasi melalui pemberian vaksin ini memberi perlindungan kepada anak-anak sebelum penyakit itu menyerang dan menjamin kesihatan anak-anak kita. Adalah terlalu lewat untuk memberi vaksin kepada anak-anak selepas dia dijangkiti penyakit.

Ini juga menjadi masalah apabila anak-anak yang telah dijangkiti itu akan menjadi ancaman kerana dia boleh pula menjangkiti orang lain yang tidak dilindungi khususnya kepada bayi dan anak-anak kecil lain yang belum mendapat pengimunan yang sepenuhnya. 

Ini termasuk juga kepada orang yang tidak boleh menerima pengimunan atas sebab perubatan seperti kepada mereka yang alah kepada komponen vaksin, pesakit leukemia, HIV/AIDS dan mereka yang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Ibu bapa perlulah insaf dan sedar walaupun sesetengah vaksin mempunyai kesan sampingan tetapi kesan sampingan itu adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan risiko jangkitan penyakit yang berlaku kepada anak-anak.

Adakah ibu bapa begitu nekad untuk mempertaruhkan nyawa anak-anak yang masih kecil? Maka, semua terpulang pada anda sebagai ibubapa yang penyayang.

My Kids, My Rule?

Dasawarsa ini, muncul beberapa kelompok yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Antivaksin. Mereka ini terdiri daripada para ibu bapa yang menolak anak-anak mereka diberikan vaksinasi.

Beberapa alasan yang telah diberikan oleh mereka bagi menjustifikasikan penolakan mereka kepada program imunisasi yang telah dijalankan kerajaan.

Apa pun alasan dan argumen ibu bapa antivaksin, mereka tanpa disedari telah meletakkan anak-anak mereka setapak untuk terdedah kepada penyakit-penyakit berjangkit.

Kemampuan imuniti anak-anak mereka tentu sahaja rapuh apabila mereka bercampur dan bergaul dengan masyarakat sekeliling yang dikhuatiri mempunyai penyakit berjangkit.

Para ibu bapa disaran supaya tidak meletakkan kepentingan diri sendiri melebihi keselamatan dan kesihatan anak-anak. Wabak penyakit yang menular tidak mengenal erti belas kasihan. Penularan wabak penyakit berjangkit bukan sahaja bakal membahayakan anak-anak tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.

Ada ibu bapa beranggapan bahawa mereka dapat mengelakkan jangkitan penyakit melalui perubatan alternatif yang disangka dapat menggantikan kaedah vaksinasi. 

Tidak dinafikan bahawa vaksinasi adalah hak ibu bapa. Namun, jangan dilupakan hak anak-anak untuk mendapatkan perlindungan daripada penyakit yang berjangkit. Keghairahan ibu bapa yang mempercayai segala khabar angin dan propaganda oleh pihak tertentu pastinya akan menjejaskan proses perkembangan anak-anak.

Sikap ibubapa yang kurang mengkaji dan mencari bahan-bahan bacaan berkenaan vaksin menjadi puncanya gerakan antivaksin ini makin berkembang.

Semua keputusan terletak di tangan anda sebagai ibu bapa yang penyayang dan prihatin samada untuk memberikan anak-anak anda imunisasi ataupun tidak. Anda boleh terus menambah ilmu pengetahuan dengan mencari bahan-bahan bacaan lain yang boleh didapati secara meluas ketika ini.

Mudah-mudahan dengan kebijaksanaan anda, ia dapat memastikan kehidupan anda sekeluarga sentiasa sejahtera dan bahagia bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga hari-hari yang mendatang. 

Kesihatan seluruh masyarakat bermula daripada kesihatan anak anda. Andalah sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dalam menentukan yang terbaik untuk masa depan anak anda.

Khyrul Hycal Hadi
Aktivis IKRAM MUDA Sabah
Institut Penyelidikan Produk Halal, UPM

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia