Dalam pembentangan IQRA semasa persidangan International Association for Educational Assessment Conference pada 6 Oktober lalu di Batumi, Georgia, delegasi Lembaga Peperiksaan Malaysia terdiri daripada Hjh. Mona, Hjh. Alawiyah dan Dr. Rahimah sementara Majlis Peperiksaan Malaysia diwakili Hj. Zakaria dan Hj. Zaini.
Hadir menyaksikan pembentangan tersebut dua penyelidik pentaksiran antarabangsa, Dr Changhua Rich, Principal Research Scientist, American College Test (ACT), USA dan Dr Rebecca Hamer, Manager R&D Assessment, International Baccalauriate.
Dalam pada itu, Dr. Rebecca dan Dr. Changhua telah memberikan respons yang sangat menggalakkan mengenai IQRA dan berminat untuk menyimpan salinan maklumat mengenainya.
Dalam sesi pembentangan ini, para audiens bertanyakan mengenai bagaimana reaksi pelajar dan ibubapa terhadap IQRA antaranya, adakah akan diadakan program intervensi, adakah soalan pilihan jawapan dalam IQRA terbaik, adakah diadakan ujian lain selain IQRA ke atas para pelajar.
Turut hadir mendengar pembentangan ini adalah Presiden International Association for Educational Assessment (IAEA) dan beberapa penyampai persidangan yang lain.
Peluang ini turut diambil oleh Pengarah Eksekutif IKRAM Musleh, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor untuk memperkenalkan IKRAM MUSLEH dan IKRAM.
“Ini dakwah kita melalui pendidikan Islam,” katanya.
Tambahnya, IQRA adalah satu projek pentaksiran pelajar peringkat antarabangsa bagi pelajar-pelajar berumur 15 tahun yang digubal bagi melihat kemenjadian pelajar dari sudut 10 muwasofat tarbiah yang sedang dilaksanakan di rangkaian sekolah-sekolah IKRAM MUSLEH.
Projek IQRA dijangka akan menjadi alternatif kepada PISA (https://www.oecd.org/pisa/aboutpisa/) dan TIMMS (http://timssandpirls.bc.edu).
FGD IQRA di Kuala Lumpur
Bagi mendapatkan maklum balas antarabangsa mengenai projek IQRA, sesi perbincangan Focus Group Discussion (FGD) telah diadakan pada Februari lalu yang dihadiri beberapa orang pakar akademik dan pendidikan serta wakil-wakil NGO pendidikan dari Indonesia, Thailand, Pakistan dan Sri Lanka.
Menerima respons positif terhadap projek ini, NGO-NGO pendidikan dari negara-negara tersebut akan melaksanakannya di tempat masing-masing apabila ia siap sepenuhnya nanti pada tahun 2018.