Pengumuman khas oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, antaranya bantuan SARA RM100, penurunan harga petrol dan penangguhan kenaikan tol, yang disifatkan sebagai penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia, merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu.
Ia bukan sahaja disambut baik oleh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah menandakan satu anjakan baharu dalam budaya tadbir urus negara daripada janji kosong kepada pelaksanaan berfakta.
Dengan semangat Malaysia MADANI, inilah masanya untuk semua pihak, tidak kira ideologi politik, fahaman ekonomi atau latar bangsa, berdiri bersama, membina Malaysia ke arah Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur.
Rakyat menyambut, kerajaan menunaikan
Bantuan RM100 “one-off” melalui SARA, iaitu bantuan terus yang disasarkan kepada individu, buat julung kalinya tidak hanya diberikan kepada isi rumah, tetapi secara langsung kepada setiap individu berumur 18 tahun ke atas.
Melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM100 disalurkan melalui MyKad dan boleh digunakan untuk pembelian barang asas di lebih 4,100 kedai seluruh negara. Program ini bermakna:
- Suami isteri dan dua anak dewasa boleh menerima RM400.
- Peruntukan besar: RM2 bilion menjadikan gabungan STR + SARA mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Langkah ini bukan sahaja bersifat populis, tetapi bijak dan bersasar iaitu mengurangkan beban secara langsung sambil mengaktifkan ekonomi mikro tempatan.
Gaji minimum RM1,700 dan gaji GLC RM3,100 menunjukkan maruah pekerja dijulang. Sejak Februari 2025, gaji minimum nasional dinaikkan kepada RM1,700 dan semua GLC dan GLIC diwajibkan membayar sekurang-kurangnya RM3,100 kepada pekerja.
Perkara ini merupakan satu reformasi struktur penting dalam mengangkat maruah pekerja dan memulihkan semangat produktiviti. Malah lebih 250,000 pekerjaan baharu diwujudkan sepanjang 2023 hingga 2024.
Dalam pada itu, kerajaan turut komited menambah 4,000 jawatan doktor dan pegawai perubatan sebagai menjawab keperluan kesihatan rakyat dengan serius.
Tahukah kita, sebanyak 150,000 isi rumah miskin tegar telah keluar daripada senarai? Pengumuman bahawa hampir 150,000 isi rumah miskin tegar berjaya dikeluarkan daripada senarai kemiskinan menjelang hujung 2024 adalah bukti keberkesanan program Sejahtera MADANI.
Melalui kerjasama dengan sektor korporat, bantuan yang dihulurkan bersifat bersepadu dan menyeluruh. Ia bukan semata-mata memberi ikan, tetapi memberikan pancing dan umpan, itulah yang menjadi resipinya.
Kesejahteraan ekonomi rakyat melangkaui retorik
Antara perkara yang juga menarik ialah “harga lantai” padi naik kepada RM1,500, membuktikan keringat petani dihargai. Harga lantai padi meningkat daripada RM1,200 kepada RM1,300 (2023) dan kini (2025) kepada RM1,500. Selain itu, subsidi harga padi naik kepada RM500.
Begitu juga, insentif pengeluaran getah dinaikkan kepada RM3.00/kg. Langkah ini amat bermakna buat petani dan pekebun kecil yang sebelum ini berjuang dalam senyap. Kini mereka tidak lagi terpinggir dalam arus pembangunan negara.
Sejati MADANI pula menyediakan sebanyak RM100,000 untuk setiap komuniti. Melalui program Sejati MADANI, kerajaan memperuntukkan RM100,000 kepada setiap komuniti untuk projek ekonomi tempatan. Setakat ini:
- 8,600 projek ekonomi komuniti telah bermula.
- Program Kampung Angkat MADANI diperluas daripada 40 kepada 200 kampung.
- Sekolah Angkat MADANI disasarkan mencapai 1,000 sekolah hujung tahun ini.
Hal ini menandakan pembangunan bukan hanya berlaku di bandar, tetapi menjalar sehingga ke akar umbi. Inilah terjemahan kepada pembangunan inklusif. Turut menjadi daya penarik kepada rakyat ialah Jualan Rahmah diperluas dan kos sara hidup ditangani.
Peruntukan untuk program Jualan Rahmah MADANI digandakan daripada RM300 juta kepada RM600 juta dan diperluas ke 600 kawasan DUN. Langkah ini menjadikan harga barangan keperluan terus terkawal dan mudah dicapai rakyat.
Memenuhi harapan rakyat
Dengan menangguhkan kenaikan tol, rakyat didahulukan. Kenaikan tol di 10 lebuh raya utama termasuk MEX, LPT2, SKVE dan lain-lain ditangguhkan. Kos dijangkakan sekitar RM500 juta ditanggung kerajaan.
Langkah ini menyentuh terus kehidupan harian rakyat yang berulang alik bekerja dan menghantar anak ke sekolah, juga yang menjadikan lebuh raya tersebut sebagai laluan utama.
Selain itu, tarif elektrik turun dan harga petrol RON95 dijamin.
- Tarif elektrik bagi 85% pengguna domestik diturunkan mulai Julai 2025
- Harga RON95 dijamin turun kepada RM1.99/liter menjelang akhir September 2025
Langkah ini bukan hanya menenangkan hati rakyat, tetapi memberi kesan langsung kepada kos logistik, makanan dan perkhidmatan sekali gus menstabilkan inflasi.
Tarikh 15 September 2025 pula diumumkan sebagai cuti umum tambahan. Langkah simbolik ini menggambarkan pengiktirafan terhadap Hari Malaysia, bukan sekadar sejarah, tetapi perayaan semangat kebersamaan.
Hakikatnya, pengumuman ini bukan sekadar manifesto yang ditepati, tetapi juga adalah pelaksanaan dasar yang menyentuh nadi rakyat. Maka, seluruh ahli politik, baik kerajaan mahupun pembangkang, wajar mengambil pendekatan lebih matang dan membina.
Menuju Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur
Malaysia sedang melalui satu fasa pemulihan dan pembinaan semula. Di sebalik segala keterbatasan, kerajaan MADANI menunjukkan bahawa jika dasar disusun dengan nilai dan pelaksanaan dilakukan dengan amanah, rakyat akan merasai manfaat sebenar pembangunan.
Kini, cabaran terbesar bukan lagi pada kerajaan sahaja, tetapi kepada seluruh pemimpin, penjawat awam, media, NGO dan rakyat biasa. Persoalan yang perlu dijawab, “Adakah kita mahu bersama membina Malaysia yang sejahtera atau mahu terus menyalakan api sengketa?”
Allah berfirman dalam Surah Saba’ (maksudnya):
“Negara yang baik dan mendapat pengampunan Tuhannya (Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur)” (Surah Saba’: 15)
Inilah negara yang kita impikan, negara yang mengangkat rakyatnya dengan adil, negara yang membina dengan kasih sayang, bukan kebencian, negara yang memberi manfaat kepada manusia dan reda daripada Tuhan-nya.
Insya-Allah, tentunya negara Malaysia boleh mencapainya jika kita semua memilih untuk bersatu dan membina, bukan hanya menuding apalagi menjatuhkan.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia