Seorang ulama besar dalam mazhab Syafii, Ibnu Hajar al-Haitami telah menyenaraikan perbuatan ini sebagai salah satu dosa-dosa besar dalam kitabnya, al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair.
2. Dalam Islam, ulama sepakat bahawa tiada hukuman hudud dan tiada bentuk hukuman tertentu yang mesti dikenakan ke atas pelaku musahaqah, apatah lagi ke atas orang yang melakukan percubaan untuk musahaqah.
Pihak berkuasa boleh memilih sama ada untuk tidak menghukum atau menghukum pelaku musahaqah dan pihak berkuasa juga boleh menentukan apakah hukuman yang sesuai, bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa terhadap fakta kes dan apakah yang terbaik untuk pelaku dan juga masyarakat amnya, khususnya bagi membendung perlakuan sebegini daripada merebak.
Hukuman seperti sebatan, denda, penjara atau seumpamanya boleh dipertimbangkan oleh pihak berkuasa. Pihak berkuasa juga boleh memilih untuk memberi nasihat atau amaran, atau mengarahkan mereka untuk menjalani proses kaunseling dan pemulihan.
3. Di Malaysia, musahaqah adalah satu kesalahan jenayah syariah yang terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Terdapat perbezaan dalam peruntukan undang-undang berkaitan musahaqah dan percubaan untuk melakukan musahaqah di antara negeri-negeri ini. Di samping Terengganu, terdapat empat negeri lain yang juga mempunyai peruntukan hukuman sebatan ke atas pesalah musahaqah iaitu Wilayah-wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
4. Berdasarkan laporan diperolehi, kes pasangan lesbian yang dikenakan hukuman sebatan di Terengganu baru-baru ini bukanlah dihukum kerana kesalahan musahaqah tetapi kerana percubaan melakukan perbuatan itu. Pesalah dilaporkan telah ditangkap melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta di kawasan awam dan pada waktu tengahari.
5. Oleh kerana peruntukan sebatan terdapat dalam undang-undang negeri itu, pihak mahkamah pula telah memilih untuk menjatuhkan hukuman sebatan dan tiada rayuan dibuat oleh pesalah, masyarakat dinasihatkan untuk menghormati keputusan mahkamah itu, yang dipercayai telah mengkaji dan menimbangkan fakta-fakta kes dengan sebaiknya.
6. Perlu diingatkan bahawa sebatan yang dibuat oleh mahkamah syariah di Malaysia amat berbeza dengan hukuman sebatan yang dilaksanakan oleh mahkamah sivil yang akan mengakibatkan kesakitan melampau dan merobekkan kulit pesalah.
(Contoh hukuman di mahkamah syariah: https://youtu.be/YVs53S86das dan contoh hukuman rotan yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil: https://youtu.be/8-PRhT20mYc )
7. Hukuman sebatan yang dikenakan di mahkamah syariah ini dirasakan tidak bercanggah dengan konsep bahawa Islam adalah rahmat kepada sekalian alam, serta tidak juga berlawanan dengan maqasid syariah.
8. Rasulullah SAW tidak menghukum seorang lelaki Ansari yang melakukan aksi-aksi seksual dengan seorang perempuan tanpa jimak yang datang kepadanya dengan keadaan menyesal dan bertaubat serta minta dihukum, juga tidak menghukum orang jahil yang kencing dalam masjid. Rasulullah SAW juga hanya menasihati seorang lelaki yang menyatakan keinginannya untuk berzina, tanpa sebarang herdikan apatah lagi hukuman.
Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW pernah menghukum rejam dan pernah juga menghukum peminum arak dengan pukulan menggunakan pelepah pokok kurma dan selipar, kes-kes ini juga melibatkan dosa peribadi yang tidak melibatkan orang lain. Dalam kes hirabah (contohnya rompakan bersenjata) dan qisas, Rasulullah SAW juga pernah menghukum dengan hukuman yang keras seperti dalam kes kabilah ‘Urainah.
Maksudnya, seberat-berat hukuman pernah digunakan oleh Rasulullah SAW, seperti mana tiada hukuman juga pernah digunakan, sama ada kewajaran sesuatu bentuk hukuman pada masa sekarang adalah suatu perkara subjektif dan ijtihadi serta terbuka untuk diperdebatkan.
9. Apakah peruntukan undang-undang dan hukuman yang telah dipilih oleh pihak mahkamah itu adalah yang paling tepat dan paling hikmah, atau paling menepati maqasid syariah, atau paling berkesan dan sesuai pada zaman ini?
Ini juga adalah suatu persoalan yang terbuka untuk diperbahaskan secara ilmiah dan penuh beradab. Ia adalah suatu perkara ijtihadiah dan tiada nas syariah yang mutlak. Adalah tidak wajar untuk melabelkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan hukuman itu sebagai anti-Islam, antisyariah, berfikiran liberal atau seumpamanya.
Disediakan oleh:
JAWATANKUASA ULAMA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
14 September 2018 / 4 Muharam 1440H