Pencapaian Negara di Tahap Sederhana, Perlu Seimbang

Gagasan Negara Rahmah sering dibicarakan sebagai cita-cita moral dan hala tuju nilai negara. Sejauh mana gagasan ini benar-benar diterjemahkan dan dirasai oleh rakyat Malaysia? Dalam konteks ini, Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) diperkenalkan sebagai satu usaha untuk menilai realiti negara secara lebih objektif berasaskan data dan persepsi awam.

Rajah 1: Skor Keseluruhan, Penskoran Pencapaian dan Skor Dimensi IMNR

rajah

Rajah 1 menunjukkan dapatan keseluruhan kajian IMNR 2025. Ia menunjukkan pencapaian Negara Rahmah masih berada pada tahap sederhana, dengan skor keseluruhan 7.42 berbanding 7.24 pada tahun 2023. Bacaan ini memberi gambaran bahawa Malaysia bergerak ke hadapan tetapi kemajuannya masih tidak seimbang antara Dimensi Sosial, Ekonomi dan Politik.

Dimensi Sosial mencatatkan skor tertinggi dan di tahap pencapaian yang tinggi iaitu sebanyak 8.03, diikuti dengan Dimensi Ekonomi (7.13) dan Dimensi Politik (7.08). Ini menunjukkan bahawa walaupun negara sedang bergerak maju ke hadapan, persepsi terhadap Dimensi Ekonomi dan Politik perlu ditambah baik.

Rajah 2: Skor bagi kesemua 15 ciri

rajah

Rajah 2 menunjukkan skor indeks bagi kesemua 15 ciri. Kajian ini mendapati tiga ciri yang mempunyai skor tertinggi direkodkan oleh Ciri 6: Institusi Keluarga yang Utuh (8.51), diikuti Ciri 5: Masyarakat yang Bahagia, Berakhlak dan Penyayang (8.22) serta Ciri 7: Hubungan Harmoni antara Pelbagai Etnik dan Penganut Agama (8.04).

Hal ini menunjukkan rakyat Malaysia merasakan Malaysia berada di tahap yang tinggi dalam konteks peranan keluarga, jaringan komuniti, institusi sosial dan keharmonian antara kelompok. Dalam keadaan dunia yang semakin berpecah dan berkonflik ini sudah semestinya daya tahan sosial ini merupakan aset strategik yang tidak boleh dipandang ringan dan perlu sentiasa dihargai. 

Namun begitu, kekuatan sosial sahaja tidak mencukupi untuk membina sebuah Negara Rahmah yang lestari dan mampan. Kajian ini mendapati dua ciri dengan skor terendah dicatatkan bagi Ciri 9: Agihan Kekayaan yang Saksama (6.78) dan Ciri 8: Ekonomi yang Mampan (6.94). Dalam konteks ekonomi, kebimbangan rakyat terhadap jurang pendapatan dan kemewahan yang semakin melebar adalah realiti.

Laporan Trend Pengguna Malaysia 2025 oleh Central Force International (CFI) mendedahkan bahawa 77 peratus atau lebih tiga perempat rakyat Malaysia masih bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, menonjolkan jurang yang semakin melebar antara pertumbuhan gaji dan kuasa beli sebenar (Malaysia Consumer Trend Report 2025).

Tambahan lagi, golongan ibu bapa perlu menilai semula setiap perbelanjaan, golongan pekerja muda terpaksa menangguhkan pencapaian hidup yang penting manakala pesara pula terpaksa menggunakan simpanan hanya untuk terus bertahan.

Walaupun Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi dan penurunan kadar kemiskinan mutlak, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa ketidaksamaan pendapatan, khususnya jurang antara kelompok T20 dan B40, kekal sebagai isu struktur. Ia memberi isyarat bahawa pertumbuhan ekonomi belum sepenuhnya diterjemahkan kepada kesejahteraan yang inklusif dan adil. 

Dalam Dimensi Politik pula, skor Ciri 2: Sistem Pemerintahan yang Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan (6.95), Ciri 3: Tadbir Urus Yang Baik (6.99) dan Ciri 4: Undang-Undang Yang Adil (6.98), merupakan tiga ciri terendah.

Rajah 3 menunjukkan skor Ciri 2 dan 4 menguncup berbanding 2023. Rakyat secara umumnya mengiktiraf adanya usaha-usaha penambahbaikan kerajaan dalam tadbir urus dan nilai kepimpinan, namun usaha mekanisme semak dan imbang serta keberkesanan pelaksanaan dasar dan undang-undang perlu segera dilaksanakan. 

Rajah 3: Trend Skor Pencapaian IMNR

rajah

Trend skor IMNR yang meningkat secara konsisten sejak 2021 seperti Rajah 3 menunjukkan bahawa Malaysia sedang melalui proses penambahbaikan secara berperingkat ke arah pencapaian Negara Rahmah. Kemajuan ini mungkin bersifat sederhana dan tidak dramatik, namun ia penting sebagai petunjuk bahawa pembaharuan institusi dan sosial masih mempunyai ruang untuk diperkukuh.

Dalam konteks kedudukan Malaysia di peringkat global, pencapaian negara masih berada pada tahap sederhana dan memerlukan penambahbaikan berterusan. Sebagai contoh, Indeks Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) WJP 2025 menunjukkan Malaysia kekal pada skor 0.57 sejak 2023 dan berada di kedudukan 56 daripada 143 negara, serta 7 daripada 15 di peringkat serantau. (WJP Rule of Law Index | Malaysia Insights)

Begitu juga, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025. Meskipun meningkat 11 anak tangga, kedudukan ini masih menuntut pembaharuan yang lebih pantas dan menyeluruh untuk menghampiri sasaran Malaysia menjadi antara 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033. (Malaysia Advances 11 Spots In World Competitiveness Ranking (WCR) 2025)

Dalam kerangka ini, IMNR boleh berfungsi untuk menilai keberkesanan dasar berasaskan bukti, mengenal pasti jurang antara perancangan dan impak sebenar serta membantu membina semula kepercayaan rakyat melalui pendekatan advokasi awam yang lebih telus. 

Yang berikut adalah beberapa langkah ke hadapan:

Pertama, agenda kemakmuran dan keadilan ekonomi perlu diberikan keutamaan yang lebih jelas termasuk pembaharuan struktur dalam dasar gaji, perlindungan sosial dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana. Negara Rahmah tidak boleh dibina jika jurang kekayaan terus melebar tanpa intervensi yang berani oleh kerajaan. 

Kedua, bagi memperkukuh institusi awam dan tadbir urus berintegriti, kerajaan wajar memperkasakan semak dan imbang Parlimen serta membuat pelantikan institusi secara telus berasaskan merit, menambah baik pelaksanaan proses perolehan dan mempertingkatkan keberkesanan tadbir urus melalui pendigitalan hujung-ke-hujung, serta menguatkuasakan undang-undang yang konsisten dan tidak selektif.

Ketiga, kekuatan dalam Dimensi Sosial perlu dimanfaatkan melalui advokasi awam dengan penglibatan masyarakat sivil secara bermakna dalam perumusan dan pemantauan dasar. Negara Rahmah hanya dapat direalisasikan apabila rakyat bukan sekadar penerima dasar tetapi rakan strategik dalam pembinaan negara

Tuntasnya, IMNR 2025 memberi gambaran bahawa Malaysia berada di satu persimpangan penting. Dengan kekuatan sosial sebagai modal utama dan cabaran struktur sebagai ujian sebenar, masa depan Negara Rahmah bergantung kepada kesediaan semua pihak sama ada kerajaan, sektor swasta atau masyarakat sivil untuk bergerak melangkaui naratif retorik dan berani melakukan pembaharuan yang berpaksikan nilai, keadilan dan kemanusiaan demi mencapai Malaysia Negara Rahmah. 

Prof. Dr. Hanim Salleh
Felo Kajian Dasar IKRAM (KADRI)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia