Dalam dunia serba digital ini, gelombang media sosial telah melahirkan satu kelompok yang memiliki pengaruh besar ke atas masyarakat iaitu golongan pempengaruh atau influencer.
Pengaruh besar mereka telah mengambil peranan membentuk norma sosial, kepercayaan, tingkah laku, bahkan pandangan hidup generasi muda. Dari Instagram ke TikTok, dari YouTube ke X (dahulu Twitter), pengaruh mereka lebih besar daripada sesetengah tokoh masyarakat yang konvensional.
Namun, pengaruh yang besar ini datang dengan tanggungjawab yang berat untuk membina dan memandaikan masyarakat.
Malangnya, kita semakin kerap menyaksikan pempengaruh yang menyalahgunakan kelebihan ini sama ada dengan menyebarkan maklumat yang salah, mencetuskan kontroversi yang tidak perlu, mempermainkan nilai agama atau mempromosikan gaya hidup yang bertentangan dengan budaya tempatan.
Ada masanya, maruah diri sendiri dijatuhkan tanpa segan silu atas nama gurauan, kreativiti dan kebebasan berekspresi.
Pengaruh yang tidak lagi kecil
Dahulu, gelaran “pempengaruh” mungkin hanya sinonim dengan selebriti besar. Namun kini, sesiapa sahaja yang memiliki pengikut yang ramai di media sosial dianggap pempengaruh. Mereka boleh menjadi sesiapa pun selagi mampu menarik perhatian khalayak dengan kandungan yang mereka hasilkan.
Di sinilah letaknya cabaran sebenar. Populariti hari ini tidak lagi bersandar pada keilmuan, adab atau rasa tanggungjawab. Sebaliknya, ramai yang lebih mengutamakan algoritma dan “engagement” berbanding kebenaran dan integriti. Mereka lebih takut kehilangan “likes” daripada kehilangan prinsip.
Apabila isu-isu sensitif seperti agama, politik dan moral disentuh tanpa ilmu, santun, hormat dan adab, natijahnya boleh menjadi amat besar.
Tidak sedikit yang mempermainkan hukum agama untuk konten jenaka, mengulas hal akidah tanpa rujukan atau menyebarkan naratif beracun yang merosakkan keharmonian masyarakat. Ia bukan lagi isu “personal branding” tetapi persoalan amanah.
Realiti konten demi engagement
Kebanyakan pempengaruh hari ini berada dalam ekosistem digital yang mendorong mereka bertindak secara keterlaluan demi meraih perhatian. Mereka bersaing dalam ruang yang dipenuhi dengan “trend challenge”, “clickbait” dan keghairahan untuk menjadi tular.
Maka tidak hairanlah apabila ada segelintir yang sanggup melampaui batas agama dan moral semata-mata demi tontonan dan populariti.
Ironinya, apabila ada teguran termasuk dalam isu melibatkan ketaatan beragama, ramai yang cepat melenting dan mempertikaikan. Walaupun teguran itu datang daripada para asatizah atau institusi yang berautoriti, tetap ada suara yang membalas dengan nada seperti “jangan sempitkan agama”, “ini zaman moden”, atau “Tuhan tahu niat kami baik”.
Namun, hakikatnya Islam bukanlah agama yang diasaskan atas logik semata-mata atau rasa peribadi. Ia adalah agama yang berpaksikan wahyu, dipandu oleh ilmu, dipelihara dengan adab dan ditunaikan dengan amanah
Amanah dalam perspektif Islam
Islam menekankan bahawa setiap manusia akan dipertanggungjawabkan terhadap kata-kata dan perbuatannya. Dalam Surah Qaf ayat 18, Allah berfirman yang maksudnya:
“Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).”
Bagi pempengaruh, setiap video, tulisan, kapsyen dan gambar yang dimuat naik bukan sekadar hiburan. Ia adalah amanah kerana ia sampai kepada ribuan atau jutaan manusia.
Bayangkan jika satu kata-kata yang diucapkan membawa kepada kekeliruan atau kemungkaran, maka berapa banyak individu yang akan terpalit dan lebih malang jika menjadi dosa berangkai.
Justeru, perlu disedari bahawa pempengaruh hari ini bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi pendidik tidak rasmi di ruang digital. Kandungan yang dikongsi membentuk persepsi, mempengaruhi nilai moral dan mencorak cara pemikiran masyarakat.
Peribahasa Melayu ada mengatakan, “Jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari”. Maka, pempengaruh perlu memiliki kompas moral yang teguh, asas ilmu yang kukuh dan kebijaksanaan untuk menilai kandungan yang wajar dikongsi dan yang harus dielakkan demi menjaga maruah ilmu, adab dan keharmonian masyarakat.
Mengangkat peranan pempengaruh ke arah kebaikan
Dengan capaian yang luas dan pengaruh yang mendalam, pempengaruh sebenarnya memegang kunci kepada arah tuju moral dan sosial masyarakat.
Jika tanggungjawab ini diambil secara sambil lewa, maka akan lahirlah generasi yang hilang pedoman, yang memandang ringan soal agama dan nilai serta menjadikan populariti sebagai kiblat baru.
Namun jika pengaruh ini digunakan dengan amanah, ikhlas dan bertunjangkan ilmu serta adab, maka pempengaruh boleh menjadi ejen dakwah paling berkesan, mendidik tanpa memaksa, menyentuh hati tanpa menghukum dan menyampaikan mesej kebaikan dalam bahasa zaman kini.
Pada akhirnya, menjadi pempengaruh bukan sekadar tentang bilangan pengikut atau capaian tontonan, tetapi tentang kesan dan pertanggungjawaban terhadap masyarakat.
Dalam dunia digital yang pantas dan penuh godaan, pempengaruh harus sentiasa kembali kepada asas: adab, ilmu dan amanah.
Jadilah suara yang membina, bukan yang merosak. Gunakan pengaruh bukan sekadar untuk dikenali, tetapi untuk membawa manfaat yang berkekalan di dunia dan akhirat.
Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia