Langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan satu langkah reformasi institusi yang wajar disambut baik. Inisiatif ini berpotensi memperkukuh kebebasan pendakwaan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan jenayah negara.
Namun demikian, sebagai sebuah pindaan Perlembagaan yang mempunyai implikasi jangka panjang, Rang Undang-undang (RUU) ini perlu diperhalusi dengan lebih teliti sebelum ahli-ahli Parlimen mengambil pendirian untuk meluluskannya.
Namun sebelum itu, apa yang kita perlu tahu tentang Rang Undang-undang ini?
RUU ini bertujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengadakan peruntukan baru, antaranya ialah:
- Pelantikan seorang Pendakwa Raya dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara sekali gus mengadakan peruntukan lindung jamin bagi Pendakwa Raya dan meminda perkara berkaitan selaras dengan pengasingan peranan berkenaan.
- Meminda perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan yang menggariskan bahawa Peguam Negara Persekutuan ialah anggota Lembaga Pengampunan bagi setiap negeri.
- Meminda Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkhidmatan awam yang memperuntukkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak menjadi sebahagian perkhidmatan awam Persekutuan.
- Meminda Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan susulan fungsi tambahan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan berikutan pengasingan kuasa yang hendak dilaksanakan.
Reformasi yang baik bukan sekadar memisahkan fungsi di atas kertas tetapi mesti memastikan reka bentuk institusi baharu benar-benar bebas, telus dan mempunyai mekanisme semak imbang yang berkesan.
Namun begitu, setelah meneliti RUU ini, ia mencadangkan bahawa Pendakwa Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut budi bicaranya atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Kami dengan rendah diri berpendapat bahawa walaupun Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung, tetapi Perdana Menteri terlibat secara langsung dalam pelantikan Pengerusi SPKP kerana Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang dilantik adalah atas nasihat Perdana Menteri, dan Pengerusi SPKP sekarang mempunyai peranan besar dalam pelantikan Pendakwa Raya.
Jika senario ini berlaku, ia tidak menjawab persoalan asas bahawa Perdana Menteri juga ada syor untuk melantik seseorang dalam menjawat jawatan ini.
Justeru, pendekatan yang terbaik dalam melantik Pendakwa Raya adalah melalui proses yang berlapis dengan telus dan bertanggungjawab. Proses ini bertujuan memastikan tidak ada mana-mana individu mempunyai budi bicara penuh untuk melantik Pendakwa Raya.
Proses ini harus melalui parlimen sebagai institusi tertinggi yang dipilih oleh rakyat kerana peranan utamanya adalah menjalankan proses semak dan imbang. Hal ini demikian kerana SPKP tidak boleh memainkan peranan ini kerana keahlian SPKP terdiri daripada mereka yang dilantik oleh Perdana Menteri.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bersama BERSIH, C4, IDEAS, Projek Sama dan ABIM ingin menegaskan supaya RUU ini dirujuk kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JKP) di bawah Peraturan 54 dan/atau Peraturan 80B(3)(a) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat terlebih dahulu bagi memastikannya munasabah dan konstruktif.
Hal ini demikian bagi membolehkan semakan penuh dilaksanakan serta libat urus bermakna diadakan bersama pihak berkepentingan utama bagi menelusuri setiap pindaan yang hendak dilaksanakan. Maklum balas penuh berkaitan dengan cadangan pindaan ini akan dikongsikan dalam masa terdekat kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan ahli-ahli Parlimen.
Apa yang kita harapkan?
Langkah ini bukan untuk melengah-lengahkan reformasi tetapi untuk memperkukuh legitimasi dan ketahanan institusi yang bakal diwujudkan. Pindaan Perlembagaan memerlukan penelitian berlapis kerana sebarang kelemahan struktur akan memberi kesan kepada sistem keadilan negara dalam tempoh yang panjang.
IKRAM sebelum ini telah menegaskan bahawa pengasingan kuasa ini hanya akan mencapai matlamatnya jika proses pelantikan Peguam Negara dan Pendakwa Raya benar-benar bebas daripada pengaruh politik. Sekiranya saringan dibuat dalam lingkungan kerajaan semata-mata, terdapat risiko berlakunya pengaruh eksekutif terhadap calon yang dipilih.
Pandangan ini harus diberi perhatian serius. Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, kepekatan kuasa walaupun dengan niat baik tetap memerlukan imbangan institusi yang stabil. Justeru, penglibatan parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas dalam proses saringan dan pengesahan calon Peguam Negara dan Pendakwa Raya wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada reka bentuk semak imbang.
Melalui prosiding pengesahan yang telus dan terbuka, parlimen dapat menilai kelayakan, rekod dan kebebasan calon secara lebih menyeluruh. Pada masa sama, proses ini akan meningkatkan keyakinan orang awam bahawa pelantikan dibuat berdasarkan merit, bukan pertimbangan politik.
IKRAM juga menekankan bahawa calon Peguam Negara dan Pendakwa Raya mestilah daripada kalangan yang benar-benar berpengalaman dalam bidang kehakiman dan perundangan. Individu yang pernah berkhidmat di peringkat kehakiman atau mempunyai pengalaman litigasi yang luas lebih berupaya memikul tanggungjawab besar ini dengan profesional dan berintegriti.
Selain aspek pelantikan, mekanisme pemecatan juga perlu diteliti agar wujud keseimbangan antara perlindungan jawatan dan akauntabiliti awam. Institusi yang bebas tidak bermaksud kebal daripada semakan. Sebaliknya, kebebasan yang sihat sentiasa disertai pertanggungjawaban yang jelas.
Kesimpulannya, IKRAM menyokong usaha pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai sebahagian agenda reformasi negara. Reformasi institusi yang mampan menuntut kesabaran, ketelitian dan keterbukaan.
Dengan pendekatan ini, kita bukan sahaja meminda struktur tetapi membina sebuah sistem keadilan yang lebih diyakini rakyat dan lebih tahan terhadap sebarang bentuk campur tangan pada masa hadapan.
Prof. Dr. Hanim Salleh
Ahli Jawatankuasa Pusat (Agenda Nasional)
Pertubuhan IKRAM Malaysia




