Sejak dua dekad yang lalu, bilangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta bertambah dengan begitu pesat di negara kita. Malah jumlah kursus dan program yang ditawarkan bertambah berlipat kali ganda dengan pelbagai jenis struktur dan mod pembelajaran.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Md. Fauzi Ahmad dalam artikelnya di Harian Metro, permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2024/2025 ke pelbagai program pengajian institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia telah dibuka melalui UPUOnline.
Peluang ini terbuka kepada semua calon yang berminat menyertai program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 universiti awam, 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat institusi latihan kemahiran awam. Seramai 395,870 pelajar telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.
Beliau juga menegaskan pemilihan jurusan bagi lepasan SPM adalah langkah penting dalam pembinaan kerjaya pada masa hadapan. Keputusan ini tidak hanya mempengaruhi perkembangan kerjaya seseorang, tetapi juga menentukan kualiti kehidupan mereka pada masa akan datang.
Cabaran dan peluang
Pada masa ini, cabaran dan peluang amatlah penting bagi lepasan SPM memilih jurusan dengan prospek kerjaya masa depan yang cerah. Pelajar juga perlu merancang masa depan mereka dan menetapkan matlamat kerjaya jangka masa panjang. Mereka perlu mengenalpasti bidang yang mempunyai potensi pertumbuhan dan kestabilan kerjaya.
Menurut kajian yang dilakukan oleh sebuah institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur baru–baru ini, langkah pertama yang perlu diambil oleh lepasan SPM ialah memahami landskap pasaran pekerjaan. Mereka perlu mengkaji trend pekerjaan semasa dan masa depan serta mengenal pasti bidang yang mempunyai permintaan pekerjaan yang tinggi.
Berdasarkan kajian institusi tersebut, bidang yang berkaitan dengan teknologi maklumat mempunyai permintaan yang sangat tinggi. Bidang-bidang yang boleh diceburi ialah Software Engineering, Sains Komputer, Cyber Security, Artificial Intelligence, Network Computing, Reka Bentuk Grafik, Pembangunan Perisian Sains Komputer dan Perubatan yang biasanya mempunyai prospek kerjaya yang baik.
Permintaan yang tinggi dalam bidang tertentu mestilah dikenal pasti dan ia mesti diberi keutamaan dalam pemilihan. Dalam hal ini pelajar pasti mempunyai banyak peluang pekerjaan dan gaji yang lebih tinggi setelah tamat pengajian.
Kos pengajian
Pelajar juga perlu mempertimbangkan keupayaan kewangan mereka dalam memilih jurusan. Sejak kebelakangan ini, kos dan perbelanjaan bagi sesetengah bidang adalah sangat tinggi terutamanya di sesetengah institusi pengajian tinggi. Pelajar perlu membuat kajian terperinci berhubung kos pengajian, bantuan kewangan yang ada dan kemampuan kewangan masing-masing.
Selain itu, pelajar juga boleh mengambil bahagian dalam program latihan industri atau praktikal, contohnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat memberikan pengalaman praktikal yang berharga kepada lepasan SPM.
Oleh yang demikian, pemilihan jurusan pengajian di institusi pengajian tinggi dengan prospek kerjaya, minat, kemahiran, kelayakan akademik dan keupayaan kewangan harus dipertimbangkan secara teliti untuk membuat keputusan yang bijak dalam menyambung pelajaran.
Perkara ini telah terbukti sejak beberapa dekad yang lalu apabila pemilihan jurusan yang betul telah melahirkan pemimpin–pemimpin serta cendekiawan yang terkenal di negara kita. Kita juga haruslah berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran agar kita dapat membentuk sebuah Negara Rahmah yang berguna untuk semua.
Harriz Zainal Abidin, Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan, Kulliyyah of Education, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kredit gambar: BH Online