Pada hari ini saya telah dimaklumkan tentang pemergian salah seorang ikhwah yang mulia dari Terengganu iaitu Ustaz Shafie Embong (semoga Allah merahmatinya), dan sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kita pasti kembali kepada-Nya jua.
Saya dimaklumkan bahawa almarhum meninggal secara mengejut ketika bersama para ikhwahnya menunaikan satu kewajipan daripada kewajipan-kewajipan dakwahnya dalam Program Qiamullail (Katibah).
Kita menganggap dan Allah menjadi pemutusnya, sesungguhnya Allah telah menamatkan hidupnya dengan kebaikan. Pemergiannya ini merupakan sebahagian daripada tanda-tanda husnul khatimah.
Sesungguhnya roh almarhum terangkat ketika beliau berada bersama para sahabat yang berjanji setia terhadap dakwah ini, ketika berada dalam ketaatan terhadap Tuhannya dan ini merupakan kurniaan Allah ke atas hamba-Nya.
Kita menganggap (mengharap) bahawa almarhum akan dihimpunkan nanti (pada hari kiamat) di atas situasi seperti kematiannya. Siapa yang mati dalam situasi sujud, dia akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam situasi sujud.
Siapa yang mati dalam situasi berpuasa, dia akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam situasi berpuasa. Siapa yang mati dalam situasi membaca al-Quran, dia akan dihimpunkan pada hari kiamat dalam situasi sedang membaca al-Quran. Begitulah seterusnya.
Sesungguhnya al-akh Shafie meninggal dunia dalam situasi persahabatan (bersama sahabat-sahabat seperjuangan) dan sedang menunaikan kewajipan dakwahnya. Kita beranggapan – dan Allah menjadi pemutusnya – almarhum akan dihimpunkan dalam kalangan para solihin dan mereka yang taat (kepada Allah).
Sesungguhnya ia adalah kematian baik yang didambakan oleh semua hamba Allah yang benar. Saya masih ingat terdapat dalam kalangan para kekasih kita du’at yang soleh di Mesir, sekalipun usia sudah lanjut dan sakit, namun amat mengambil berat hal-hal ketaatan, antaranya menghadirkan diri ke program-program dan aktiviti-aktiviti dakwahnya.
Saudara-saudara mereka berasa kasihan kerana mereka tetap hadir walaupun sakit. Reaksi mereka: “Kami bercita-cita untuk mati di tengah-tengah orang-orang soleh yang sedang menunaikan kewajipan dakwah ini.”
Saya telah melihat sebahagian mereka keluar untuk berkhidmat kepada dakwahnya sekalipun dalam keadaan sangat uzur (menahan sakit). Dia tidak lagi pulang ke rumah (setelah itu), tetapi terus dibawa ke hospital, kemudian terus ke kubur, semoga Allah merahmati mereka semua.
Sesungguhnya al-akh Shafie telah meninggal dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan sihat tanpa apa-apa tanda amaran. Demikianlah kematian, tidak pernah membezakan antara yang tua dan muda atau antara yang sihat dan sakit, atau antara yang kaya dan miskin.
Dalam situasi ini, bagaimanakah kita mampu mengambil pengajaran dan ibrah daripada peristiwa yang kita semua pasti akan lalui ini?
Justeru, saya menasihati diri dan saudara-saudara saya seperti berikut:
1. Mengambil pengajaran dan bersedia untuk kematian adalah satu kemestian. Cukuplah kematian itu sebagai penasihat. Dalam satu hadis, Nabi SAW menyebut: “Orang yang cerdik itu ialah siapa yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari selepas matinya, sebaliknya orang yang lemah itu ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan bercita-cita untuk Allah membalasnya dengan kebaikan.”
2. Sentiasa melazimi istighfar dan taubat kepada Allah Taala, mengembalikan hak kepada empunyanya, menuntut kemaafan daripada orang yang kita sakiti, dan menyimpan dalam dada kita perasaan yang tidak baik atau dengki terhadap seseorang daripada hamba-hamba-Nya.
3. Bersegera melakukan ketaatan dan kebaikan. Pada hari kiamat, sebahagian manusia akan menyesal atas kecuaian dan akan berkata: “Alangkah baiknya jika saya lakukan hal itu dulu.”
4. Jangan terpedaya dengan dunia dan apa yang ada padanya daripada pangkat, harta, pengikut, kesihatan dan anak-pinak. Semua itu pasti akan hilang. Kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada yang memberi manfaat buat seseorang kecuali amalnya yang soleh.
5. Berusahalah untuk duduk bersama orang-orang soleh, jangan sampai ketinggalan menghadiri program-program dakwah atau cuai dalam kewajipan dengan alasan sibuk dengan urusan hidup.
6. Berusahalah dalam hidup kita untuk meninggalkan pengaruh dan kesan yang baik dan bermanfaat selepas kematian kita. Orang lain akan mengingati kita dengan kebaikan selepas kematian terhadap kesan-kesan (athar) yang kita tinggalkan. Sebaik-baik kesan itu ialah dakwah kepada Allah dan tarbiah generasi yang akan berjuang menegakkan agama Allah.
7. Kita sentiasa bercita-cita dengan benar agar Allah memperelok pengakhiran hidup kita. Kita dapat beramal dan membuat pilihan ke arah itu. Siapa yang benar bersama Allah, Allah pasti akan berlaku benar terhadapnya. “Seorang lelaki yang benar janjinya dengan Allah, lalu Allah menunaikan janjinya.”
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً
فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي
“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu) serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia.” (Al-Fajr: 27-30)
Sebagai penutup…
Kita berdoa kepada Allah Subhanahuwataala agar Dia mengurniakan rahmat dan keampunan kepada al-akh Ustaz Shafie, setulus-tulus dan sedalam-dalam ucapan takziah buat keluarga dan saudara-saudaranya di Terengganu.
Kita juga berdoa agar Allah Subhanahuwataala tidak membiarkan kita berada dalam kesusahan dan tidak mengambil nyawa kita secara mengejut dan tidak menjadikan kita termasuk dalam kalangan mereka yang lalai.
Abu Abd Rahman