Pemberian Hibah: Konsep, Rukun, Bentuk & Keunikannya

Pada penulisan yang lepas, kita telah membahaskan perihal sedekah yang merupakan amalan pemberian sukarela yang signifikan dengan umat Islam di Malaysia.

Sewaktu artikel tersebut ditulis, kita semua berada dalam bulan Ramadan yang merupakan bulan yang menuntut kepada peserta-peserta Ramadan untuk tidak tertinggal amalan tersebut.

Pada kali ini, kita akan membahaskan salah satu daripada amalan berbentuk pemberian sukarela yang dikenali dengan hibah. Hibah dan sedekah membawa konsep yang sama cumanya berbeza dari sudut tujuan pemberian.

Sedekah bertujuan untuk mendapatkan pahala di akhirat dan biasanya dilakukan oleh orang kaya kepada orang miskin. Manakala hibah merupakan pemberian untuk memuliakan seseorang dan berkaitan dengan sesuatu perkara.

Justeru, dapat dirumuskan di peringkat awal bahawa setiap sedekah serta pemberian hadiah merupakan hibah tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.

Syawal merupakan bulan yang diraikan oleh umat Islam yang disertakan dengan aktiviti bertukar-tukar juadah, berkongsi rezeki melalui pemberian duit raya dan memberikan hadiah kepada yang tersayang kerana mengambil suasana berkongsi kegembiraan yang dipancarkan dalam bulan tersebut.

Disebabkan bulan Syawal signifikan dengan bulan berkongsi rezeki dan kasih sayang, mari kita bahaskan lebih lanjut instrumen yang membenihkan kasih sayang dalam muamalat Islam iaitu hibah. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Berikanlah hadiah, maka kamu akan berkasih sayang.” (HR al-Bukhari, 594 [Adab al-Mufrad], Hadis Hasan)

Konsep hibah dan pensyariatannya

Berdasarkan perspektif syarak, hibah adalah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (tidak mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang) dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Oleh yang demikian, definisi hibah telah merumuskan beberapa ciri-ciri hibah iaitu; akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak, bentuk hartanya yang boleh hibah hanya ain harta dan bukannya hutang atau manfaat, akad hibah tidak dikenakan sebarang balasan, akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah serta akad hibah dibuat secara sukarela dan akad dibuat tidak bertujuan mendapatkan pahala atau memuliakan seseorang individu.

Pensyariatan hibah didasari oleh sumber-sumber daripada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Amalan melaksanakan hibah melalui al-Quran telah disebutkan dalam Surah al-Nisaa’ ayat 4 yang bermaksud:

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik kesannya.”

Allah SWT turut menyebutkan dalam Surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud:

“Dan berikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.”

Tambahan pula, Rasulullah SAW pernah bersabda berdasarkan riwayat Imam al-Bukhari (2566) dan Muslim (1030) yang bermaksud:

“Wahai kaum Muslimat, janganlah kamu menganggap remeh pemberian seseorang jiran, walaupun hanya berupa kaki kambing.”

Tinjauan daripada ayat-ayat al-quran dan hadis Nabi SAW jelas menunjukkan keharusan aktiviti hibah yang meliputi bukan sahaja ahli keluarga tetapi melangkaui orang-orang susah dan jiran tetangga.

Masyarakat Islam hari ini terutama di bandar-bandar perlu menekuni konsep ini kerana jelas memperlihatkan keindahan persaudaraan dalam Islam yang membentuk satu komuniti yang muhibah dan menjauhkan sifat mementingkan diri sendiri.

Bagi memastikan pelaksanaan hibah mencapai maksud pensyariatan, ia tertakluk kepada rukun dan syarat-syarat yang menjamin keabsahan akad hibah. Antara rukun hibah yang perlu diketahui adalah pemberi hibah.

Disebabkan oleh pemilik harta mempunyai kuasa penuh terhadap harta, jumlah pemberian untuk hibah tiada had dan dibenarkan untuk diberikan kepada sesiapa yang disukai termasuklah kepada orang bukan Islam, namun perlu dipastikan tidak melanggar hukum syarak.

Keindahan Islam tertonjol dalam pelaksanaan hibah terutama mereka yang mempunyai pertalian darah dengan bukan Islam dan diharuskan bagi mereka memberi harta miliknya kerana pertalian tersebut.

Selain itu, penerima hibah juga adalah sebahagian daripada rukun. Bagi penerima hibah, syarat kelayakan adalah memiliki keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf.

Seterusnya ialah barangan atau harta yang dihibahkan dan syarat bagi rukun ini mestilah daripada harta yang halal, mempunyai nilai di sisi syarak, harta adalah milik pemberi hibah dan harta tersebut wujud sewaktu hibah hendak dilaksanakan.

Rukun terakhir dalam pelaksanaan hibah ialah sighah, iaitu ijab dan qabul. Termasuk dalam syarat kepada rukun ini ialah terdapat persambungan dan persamaan antara ijab dan qabul, tiada syarat-syarat tertentu kepada pelaksanaan hibah dan tidak disyaratkan untuk dilaksanakan dalam tempoh-tempoh tertentu.

Sebarang ucapan atau perkataan yang membawa maksud pemberian milik harta tanpa balasan adalah sah untuk pelaksanaan hibah dari sudut undang-undang Islam.

Hibah instrumen perancangan harta

Jika kita menyemak kedudukan hibah di negara ini, ia berada di bawah kuasa Mahkamah Syariah dan diletakkan di bawah pentadbiran agama Islam setiap negeri. Amalan hibah di Malaysia secara praktisnya dilakukan dalam kalangan ahli keluarga terdekat yang merupakan ahli waris dalam pembahagian harta pusaka.

Selain itu, ia turut diberikan kepada anak tiri atau anak angkat. Walau bagaimanapun, melihat kepada keanjalan praktis hibah, digalakkan untuk memperluaskan skop bagi mencapai maksud maslahah yang mendasari konsep pensyariatan Islam.

Untuk mencapai maksud tersebut, institusi Islam di Malaysia sentiasa ke hadapan dalam menguruskan serta mengemukakan model-model berasaskan kewangan sosial Islam.

Melalui payung perancangan harta yang komprehensif, perancangan seseorang individu dilaksanakan semasa hayatnya melalui pengagihan hartanya kepada waris-waris dan benefisiari mengikut budi bicara serta adil yang dapat mengawal, memantau serta memanfaatkan harta kepada penerima, dirinya dan keluarga semasa hayat juga selepas kematian.

Asasnya, perancangan harta dalam Islam berlandaskan lunas-lunas syarak yang telah ditetapkan. Tuntutan terhadap perancangan harta telah termaktub dalam salah satu daripada penjagaan prinsip yang utama dalam maqasid syariah, iaitu penjagaan harta.

Harta menjadi nadi kehidupan manusia serta tonggak kepada syiar Islam. Kita boleh katakan bahawa mustahil jika tiada manusia yang tidak memiliki harta. Nilai-nilai seperti keadilan, kesaksamaan dan syura dalam setiap tindakan dan perancangan dilakukan untuk diri sendiri mahupun untuk yang berada di sekeliling kita.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 90 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan.”

Perancangan harta melalui pengurusan hibah mampu mengelakkan daripada isu pembekuan harta disebabkan kurang cakna dan sambil lewa tentang keperluan pengurusan harta sebelum kematian dan kurang ilmu pengetahuan tentang kepentingan pengurusan harta.

Sumber daripada badan berautoriti telah menunjukkan hampir RM70 juta harta pusaka di negara ini tidak dituntut kerana masalah pembahagian yang tidak dapat diselesaikan.

Melalui praktis hibah, terdapat tiga bentuk hibah yang boleh dilaksanakan, iaitu hibah mutlak, hibah melalui amanah dan hibah amanah. Ringkasnya, hibah mutlak merujuk kepada pemindahan hak milik pemberi hibah kepada penerima hibah berdasarkan rukun, syarat dan qabd (penerimaan barangan).

Pemberi hibah tidak dibenarkan untuk membatalkan hibah kecuali mereka merupakan bapa atau datuk kepada penerima hibah. Kebiasaanya, hibah mutlak dilakukan oleh individu yang mempunyai harta yang melebihi tahap keperluan dan pemberian harta sebagai hibah adalah lebihan harta.

Hibah melalui amanah pula merujuk kepada pemberian kepada seseorang melalui pemegang amanah yang dilantik.

Pemegang amanah dari sudut undang-undang bertindak sebagai penerima sementara hibah sebelum diserahkan kepada pemilik sebenar disebabkan oleh pemilik sebenar merupakan kanak-kanak bawah umur, atau penerima tidak sempurna akal bagi menjamin kebajikan, perlindungan harta, pendidikan dan kesihatan.

Manakala hibah amanah ialah gabungan antara hibah mutlak dan hibah melalui amanah. Ia melibatkan dua langkah (akad) iaitu kontrak hibah antara penghibah dan penerima hibah mengikut rukun dan syarat hibah.

Keduanya, pemegang amanah yang dilantik akan menguruskan harta melalui surat ikatan amanah dan syarat-syarat boleh dimasukkan dan dipersetujui secara bersama. Termasuk daripada aplikasi hibah jenis ini ialah hibah yang dilaksanakan di Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Keunikan hibah

Keunikan instrumen hibah dalam perancangan harta terletak kepada elemen keanjalan rukun dan syarat-syaratnya. Kebiasaannya, bulan Syawal melalui sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi masa untuk ahli keluarga berhimpun dan mendekati di antara satu sama lain.

Justeru, ada baiknya untuk dibincangkan perihal pengurusan harta dengan berhemah bagi mengelakkan pertelingkahan dan terlepas pandang hak-hak ahli waris dan bukan ahli waris pada masa hadapan.

Melalui pemberian hibah, agihan harta boleh diuruskan melangkaui harta pusaka dan wasiat seperti seseorang yang baru memeluk Islam dan mempunyai hubungan rapat dengan ahli keluarga mereka walaupun keluarganya bukan beragama Islam.

Selain itu, aplikasi hibah tidak mengehadkan harta pada kadar tertentu seperti mana yang diperuntukkan dalam harta pusaka dan wasiat.

Perancangan harta melalui mekanisme hibah dapat menguruskan harta secara komprehensif berdasarkan lunas-lunas Islam.

Kegagalan untuk merancang dan menguruskan harta bakal mengakibatkan pelbagai kesulitan dalam kalangan waris dan kesannya mengeruhkan hubungan silaturahim, harta si mati yang akan terbiar kerana tidak dimanfaatkan dan membelenggu pentadbiran harta orang Islam.

Melalui mekanisme hibah, ekonomi umat Islam dapat diperkemaskan, ikatan persaudaraan dapat diutuhkan, pertalian kasih sayang dapat dieratkan dan keharmonian dapat disegarkan.

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia