Menjelang saat-saat bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, negara ini menyaksikan satu perubahan besar dalam komposisi penduduknya.
Perdana Menteri pertama Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman, bersama-sama barisan kepimpinan negara mengambil langkah bersejarah untuk mengiktiraf secara sah status kewarganegaraan bagi penduduk bukan Melayu yang telah lama bernaung di bumi ini.
Keputusan ini bukan sahaja mengubah komposisi penduduk negara secara mendadak, tetapi juga mencerminkan semangat inklusif yang menjadi teras pembentukan negara baharu Malaysia. Seperti yang dinyatakan oleh Prof. Datuk Dr. Siva Murugan dalam Dialog Memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan, “31 Ogos 1957 bukan semata-mata menandakan berakhirnya zaman kolonialisme atau tamatnya penjajahan British di negara kita.
“Semangat ketika itu adalah membentuk kerangka yang merangkumi kepelbagaian dan aneka ragam di seluruh Semenanjung dan diteruskan ketika Sabah dan Sarawak memasuki (menyertai) Malaysia.”
Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia bersama Kementerian Perpaduan Malaysia, Huazong dan Gabungan-Gabungan NGO Masyarakat India (i-25) pada 4 Ogos lalu.
Tunku Abdul Rahman dan para pemimpin ketika itu mengambil pendekatan yang manusiawi. Mereka memahami bahawa kemerdekaan bukan hanya milik satu kaum, tetapi merupakan pencapaian bersama seluruh penduduk yang telah bersama-sama melalui zaman penjajahan. Rakyat tanpa mengira kaum dan agama telah menyumbang dalam perjalanan sukar melawan penjajah.
Pendekatan ini diteruskan semasa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, dengan kemasukan Sabah dan Sarawak. Kedua-dua peristiwa ini mengubah landskap demografi negara secara signifikan dan membawa cabaran baru dalam menguruskan kepelbagaian etnik, agama dan budaya.
Para pemimpin terdahulu meletakkan asas bahawa untuk membina negara yang bersatu padu, kontrak sosial yang mengambil kira kepentingan semua kaum perlu dibentuk. Di situlah wujud Perlembagaan Persekutuan untuk mencapai keadilan dan keseimbangan yang melindungi hak-hak semua kaum, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Prof. Datuk Dr. Syamrahayu Abdul Aziz menekankan, “Tanggungjawab yang paling asas bagi setiap rakyat ialah untuk menghayati peruntukan-peruntukan dalam undang-undang tertinggi negara itu yang menjadi asas kepada pembentukan, penubuhan dan pembinaan sesebuah negara.”
Pada hari ini, setiap warganegara Malaysia perlu menghayati semula semangat kebangsaan pemimpin terdahulu. “Kenapa perlu fokus kepada peristiwa 13 Mei yang hanya melibatkan sebilangan kecil rakyat sedangkan rakyat Malaysia telah menikmati keharmonian yang lebih baik dan berpanjangan?” ujar Prof Madya Dr. Nazri Muslim ketika menyampaikan ucaptamanya bertajuk “Hasrat Perlembagaan.”
Dalam menghadapi isu-isu perkauman dan agama yang sering diprovokasi atau dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu, rakyat harus kembali kepada pendekatan yang berperikemanusiaan dan menghayati semangat perpaduan yang dipupuk oleh pemimpin terdahulu.
Prof. Madya Dr. Arnold Puyok pula mengingatkan, “Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia dibentuk dengan mengambil kira pelbagai pandangan dan perbezaan pendapat daripada masyarakat pelbagai kasambutanum.” Jelasnya, inilah realiti politik di Malaysia dan merupakan asas pembentukan negara kita.
Justeru, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak seharusnya menjadi sekadar laungan retorik, tetapi perlu dihayati dengan penuh makna dan disertai dengan tindakan yang memperkukuh perpaduan serta rasa cinta terhadap tanah air.
Pertama sekali, kita perlu memahami konteks sejarah pembentukan Malaysia untuk menghayati semangat perjuangan dan toleransi pemimpin-pemimpin terdahulu serta kesulitan yang mereka hadapi dalam membentuk Perlembagaan. Adalah penting untuk kita meletakkan diri dalam situasi nenek moyang kita untuk memahami cabaran yang mereka hadapi dan bagaimana mereka mencari jalan penyelesaian.
Seperti yang ditekankan oleh Prof. Madya Dr. Arnold Puyok, “Jika ingin memahami sejarah pembentukan Perlembagaan, proses sejarah sahaja tidak mencukupi.” Menurutnya, masyarakat perlu meneliti selok-belok serta kesukaran dan kepayahan yang dihadapi oleh pemimpin kita dalam membentuk Perlembagaan Malaysia.
Seterusnya, Perlembagaan tidak seharusnya dilihat hanya dari segi literal, tetapi juga harus difahami dari sudut semangat yang terkandung di dalamnya. Arnold menerangkan, Perlembagaan Malaysia bukan sekadar dokumen undang-undang, tetapi juga cerminan aspirasi negara untuk membolehkan rakyat pelbagai kaum, etnik dan agama hidup bersama dalam suasana harmoni walaupun terdapat kepelbagaian. Beliau menekankan, pemahaman dan penghayatan ini harus mencapai tahap kita boleh hidup teguh dalam perbezaan yang wujud di sana sini.
Prof. Dr. Wong Chin Huat mengatakan, “Perlembagaan adalah sebagai satu kerangka untuk membolehkan kita menguruskan kesinambungan dan perubahan.” Menurutnya, kefahaman yang baik tentang Perlembagaan akan menjadikannya alat yang berkesan untuk menyatupadukan rakyat.
Masyarakat Malaysia harus menghidupkan semula semangat Rukun Negara. Rukun Negara yang digubal sebagai respons kepada peristiwa 13 Mei 1969 mengandungi prinsip-prinsip penting untuk kehidupan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum.
Boleh jadi semangat menjadi semakin pudar kerana terdapat segelintir pihak merujuk sebahagian Perlembagaan semata-mata untuk mencari kepentingan hak kelompoknya sendiri sedangkan roh Perlembagaan adalah untuk menjaga keadilan kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Di sinilah pentingnya mencari keseimbangan antara mengejar hak masing-masing dan hidup bersama dalam harmoni. Sepertimana yang ditunjukkan oleh pemimpin terdahulu, pendekatan yang mengambil kira kepentingan semua pihak adalah kunci kepada kestabilan negara.
Situasinya sama seperti menaiki perahu. Penumpang perlu disusun supaya perahu seimbang. Sekiranya ada sebilangan orang yang menuntut untuk duduk di satu tempat sahaja atau hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa mempertimbangkan keadaan perahu, sukar bagi jurumudi untuk mengemudi perahu dengan lancar atau membawa perahu melawan arus gelombang yang ganas. Jika keadaan ini berterusan dan dibiarkan, jurumudi dan semua penumpang akan sama-sama lemas dan tidak akan sampai ke destinasi. Apabila perahu sudah terbalik, siapa yang akan untung?
Siva menekankan, “Bukan sekadar kita ingin memasyarakatkan Perlembagaan, tetapi kita juga harus memanusiakan Perlembagaan. Untuk memanusiakan Perlembagaan, perlu ada tiga nilai utama iaitu faham, hormat dan terima. Hanya dengan cara ini kita dapat memastikan Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni.”
Semangat para pemimpin kemerdekaan membentuk Malaysia melalui Perlembagaan serta berupaya menyalakan semangat kenegaraan perlu diteruskan. Dengan memahami sejarah, menghayati semangat Perlembagaan, dan mencari keseimbangan dalam kepelbagaian, kita dapat menangani isu-isu perkauman dan agama dengan lebih berkesan.
Basmin Maarof