“Kami memberi maklumbalas kepada saranan Tun dengan mengemas kini maklumat penglibatan MyCARE dalam badan gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang berpengkalan di Eropah dan juga input yang disampaikan oleh Prof Dr Nazari Ismail dari BDS Malaysia tentang gerakan sivil yang berlaku di peringkat antarabangsa,” ujar Pengerusi MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor.
Beliau mengharapkan penglibatan yang mengambil kira langkah-langkah strategik yang menggabungkan inisiatif-inisiatif global ini akan membuahkan natijah yang besar dan berkesan untuk perjuangan Palestin.
“Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan Malaysia untuk terus menerajui isu Palestin dan memainkan peranan yang instrumental dalam forum PBB bagi memperjuangkan hak rakyat Palestin sebagaimana yang telah dilakukan selama ini.”
Dalam perkembangan berkaitan, Tun M telah menyatakan sokongan kepada MyCARE dan para peserta flotila dan mendoakan objektif misi tercapai.
“Tun bukanlah orang asing dalam isu Palestin,” kata Dr Hafidzi.
Tambahnya lagi, Tun M adalah seorang pemimpin yang tegas dan beliau memang dikenali dalam forum antarabangsa sebagai suara bagi rakyat Palestin yang tertindas dengan mengecam Zionis Israel dalam ucapan dan kenyataannya.
“Israel terang-terangan membuat kenyataan yang menyifatkan Tun M sebagai anti Semitik, ketika beliau mengepalai kemenangan dalam PRU14 dan dilantik menjadi Perdana Menteri.”
Dalam pada itu, Dr Hafidzi memberitahu bahawa Tun adalah Pengerusi PGPF (Perdana Global Peace Foundation) dan menaja sebuah kapal Rachel Corrie untuk memecahkan kepungan ke atas Gaza seiring dengan Freedom Flotilla yang diterajui oleh kapal induk Mavi Marmara pada tahun 2010.
Dr Hafidzi turut merakamkan penghargaan kepada Tun M yang sudi menerima kunjungan delegasinya untuk berkongsi buah fikiran yang bernas dan menyatakan sokongan kepada peserta peserta yang terlibat dalam Flotilla “For a Just Future of Palestine.”
Sebelumnya delegasi mendengar beberapa pandangan dan buah fikiran Tun M tentang isu Gaza dan Palestin amnya.
Beliau menggariskan beberapa prinsip antaranya, perjuangan untuk mengangkat kepungan ke atas Gaza dan pembebasan Palestin secara keseluruhan perlulah berstrategi.
Beliau juga turut menyesali tindakan-tindakan keganasan yang dilakukan oleh kelompok pengganas yang memberikan imej buruk kepada umat Islam yang boleh menjejaskan perjuangan rakyat Palestin (meskipun tindakan keganasan itu tidak ada kaitan lansung dengan perjuangan pembebasan Palestin).
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut menyentuh tentang peranan US yang sentiasa menyokong Israel dan menghalang persidangan PBB untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan tuntas kepada rakyat Palestin.