Pembaziran pada Bulan Ramadan: Perlu Retrospektif

Menanti ketibaan waktu Ramadan adalah sebuah kegembiraan bagi umat Islam. Berada dalam sesaat Ramadan adalah impian bagi setiap insan. 

Mengakhiri Ramadan adalah kehibaan bagi setiap orang yang beriman tatkala berlalunya Ramadan kendatipun amalan dan keampunannya diterima oleh Yang Maha Pengampun.

Saban tahun dalam Ramadan, keunikan dan keistimewaan bagi umat Islam khususnya di Malaysia adalah sebuah pesta yang tidak asing lagi iaitu dikenali sebagai bazar Ramadan. 

Landskap pertama adalah bazar Ramadan menjadi sumber rezeki bagi peniaga-peniaga. Sesungguhnya amalan berjual beli ini amat dianjurkan oleh agama sebagaimana Allah Azzawajalla berfirman: 

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ

“Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga).” (Al-Baqarah: 275)

Sementara itu, landskap kedua yang menjadi rutin dan santapan bagi seluruh warganegara Malaysia khususnya umat Islam adalah kerana keunikan bazar Ramadan ini banyak menyajikan pelbagai juadah makanan, dari barat ke timur, utara ke selatan, beraneka menu dan berwarna-warni.

Misalnya juadah nasi kerabu, nasi dagang, nasi Arab, nasi Pakistan, ayam golek, martabak, kuih-muih moden mahupun tradisional, air sejuk juga air panas dan pelbagai lagi.

Walau bagaimanapun, natijah daripada kedua-dua landskap ini telah memberikan negatif dan tanggapan yang buruk terhadap ragam umat Islam berinteraksi pada bulan Ramadan sehingga berlaku pembaziran yang amat ketara.

Hal ini diluahkan oleh Noor Mohamad Shakil Hameed dari Universiti Putra Malaysia sebagaimana yang diterbitkan dalam media.

“Amat menyedihkan di mana tatkala ada sekumpulan manusia mati kerana tidak dapat makan, rakyat kita di sini pula dilaporkan mati akibat terlebih makan,” katanya.

Selain itu, data dan fakta yang dikeluarkan Sinar Harian pada 9 April 2023 menegaskan bahawa peniaga bazar Ramadan di Selangor telah membuang sekitar 1,326.06 tan makanan yang tidak habis dijual dalam tempoh 18 hari rakyat Malaysia berpuasa.

Manakala pada 22 April 2021, Sinar Harian telah melaporkan bahawa sebanyak 10,000 tan makanan dibuang setiap hari sepanjang Ramadan.

Apakah ini kaedah umat Islam dan warganegara Malaysia berinteraksi pada bulan Ramadan? Bagaimana gaya hidup penghayatan Ramadan yang sebenar? 

Mengapa tidak umat Islam dan warganegara Malaysia umumnya melakukan retrospektif (muhasabah) amalan pembaziran pada bulan yang mulia ini?

Dalam sebuah artikel yang berjudul ‘Perspektif Islam: Krisis Makanan Dunia,’ penulis, Mohd Aidil Abdul Aziz dan Mohamad Rizal Mohamed Nor dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah menganalisis krisis makanan dunia kerana isu kemiskinan sudah menjadi tenat dan beban kepada seluruh negara.

Bahkan Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Josette Sheeran pada tahun 2008 telah mengangkat isu kemiskinan ini sebagai ‘tsunami senyap’ (silent tsunami) untuk menjelaskan senario yang berlaku sejak dahulu lagi.

Sehubungan dengan itu, penghayatan sebenar yang mesti diambil sebagai pengajaran dan pedoman bagi umat Islam khususnya di Malaysia dan seluruh warganegara ialah mengelakkan pembaziran.

Malaysia merupakan sebuah negara yang berkiblatkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah dari sudut tatakelola, undang-undang dan tata cara hidup seperti yang disebut dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Sayugia, umat Islam wajar menjuarai usaha membasmi kemiskinan dengan mengelakkan pembaziran terutama pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Perbuatan yang ditegah

Bertitik tolak daripada isu di atas, sebenarnya amalan pembaziran ialah amalan syaitan. Perbuatan ini sangat ditegah dan dilarang oleh Allah Azzawajalla. Allah berfirman:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al-Israa’: 27)

Demikianlah al-Imam Ibnu Kathir (wafat pada 774H) dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim menjelaskan bahawa ayat di atas membicarakan tentang golongan yang membazir dan boros sehingga sifat mereka diumpamakan seperti syaitan. 

Jika ditelusuri sunah Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam dalam urusan ibadat sekalipun, baginda amat menitikberatkan urusan pembaziran dengan menyarankan penggunaan air sekadarnya ketika berwuduk. 

Baginda Sallallahualaihiwasallam bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رضي الله عنهما: “أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَرَّ بِسَعْدٍ، وَهُوَ يَتَوَضَّأُ، فَقَالَ: مَا هَذَا السَّرَفُ؟، فَقَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ؟ قَالَ: “نَعَمْ، وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ”.

“Daripada Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah Sallallahualaihiwasallam lalu berhampiran Sa’d ketika beliau sedang berwuduk, lantas baginda menegurnya: “Apa pembaziran ini?” Lalu Sa’d bertanya: “Adakah dalam berwuduk ada pembaziran?” Sabda baginda: “Ya, walaupun kamu berada dalam sungai yang mengalir.” (HR Ahmad dan Ibnu Majah, Hasan)

Bagaimana pula halnya dengan pembaziran yang berlaku dalam bazar Ramadan sekarang? Inilah pengajaran yang boleh dikaitkan daripada hadis di atas.

Dalam hal ini, bazar Ramadan tidak salah. Bagaimanapun, setiap insan perlu bermuhasabah di sebalik teguran serta nasihat daripada Allah Azzawajalla dan Rasul-Nya Sallallahuaalaihiwasallam untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Jadikanlah permulaan Ramadan pada tahun 1445 ini sebagai detik pendahuluan retrospektif untuk kita menginsafi pembaziran yang kita lakukan selama ini. 

Mudah-mudahan latihan selama tiga puluh hari ini kekal dalam sanubari kita semua dan dapat mengubah kita menjadi insan yang lebih bersyukur, insya-Allah.

Farhan Zamziba

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia