Pemandu mabuk: Wajar hukuman lebih berat

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sewaktu menjawab di dewan rakyat menyatakan sebanyak 191 kes kematian berpunca daripada pemanduan mabuk direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018.

 

Malah, pada tahun 2019 sahaja 919 individu ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.

 

Bahkan baru dua bulan kita berada pada tahun 2020 sudah hampir 10 hingga 15 kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk direkodkan. Isu memandu di bawah pengaruh alkohol merupakan isu besar yang perlu ditangani bersama.

 

Semua pihak perlu berganding bahu seperti aur dengan tebing dalam berhadapan isu ini. Kesan daripada tindakan memandu di bawah pengaruh alkohol bukan hanya kepada individu tetapi kepada sosial masyarakat itu sendiri.

 

Sebagai contoh, satu kemalangan telah berlaku pada 10 Februari 2020 di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur jalan ke Perai, Pulau Pinang. Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol dikatakan secara tiba-tiba merempuh bahagian belakang motosikal yang ditunggang oleh sepasang suami isteri.

 

Peristiwa tersebut menyebabkan mangsa, Khairizul Mohamad Noor meninggal dunia manakala pasangannya Zuriana Hasan mengalami kecederaan yang parah.

 

Dalam situasi ini, kesan yang besar ialah kepada ahli keluarga mangsa. Mangsa mempunyai lima orang anak yang perlu dibesarkan. Sekelip mata, anak-anak ini kehilangan seorang ayah tempat mereka bergantung harap.

 

Dunia yang cerah seakan gelap dengan tiba-tiba apabila mereka terpaksa menerima hakikat kehilangan seorang ayah atas kecuaian pemandu yang mabuk. Si isteri kehilangan suami, anak-anak pula kehilangan bapa.

 

Perkara ini amat berat untuk diterima melainkan dengan sokongan dan bantuan daripada saudara-mara serta masyarakat. Oleh sebab itu, amat wajar pihak kerajaan mengkaji semula undang-undang berkaitan memandu di bawah pengaruh alkohol supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi.

 

Ketika ini, kesalahan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menetapkan hukuman penjara mandatori antara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000.

 

Hal ini bermakna, hukuman minimum ialah penjara tiga tahun dan denda sekurang-kurangnya RM8,000 di samping lesen memandu digantung dan pesalah tidak layak memohon lesen memandu selama lima tahun.

 

Pada 29 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian.

 

Dalam satu sidang media pada 12 Februari 2020 pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong memaklumkan, pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dicadangkan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

 

Cadangan pihak kerajaan untuk meningkatkan hukuman tersebut merupakan suatu langkah yang baik supaya pisang tidak berbuah dua kali. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan pembayaran pampasan yang tinggi kepada waris jika mangsa yang meninggal ialah ketua keluarga.

 

Memang tidak dapat dinafikan, terdapat peruntukan undang-undang khusus mengenai konsep ini (ganti rugi atau pampasan) iaitu di bawah Seksyen 432 Kanun Acara Jenayah di negara ini.

 

Namun peruntukan ini perlu dikaji semula termasuk memberi ruang kepada pihak mangsa atau waris mangsa menentukan kadar ganti rugi yang wajar. Kajian juga perlu dilakukan supaya mekanisme pembayaran pampasan itu bersesuaian dengan kaedah yang diguna pakai hari ini iaitu insurans dan takaful.

 

Dalam keadaan negara-negara dunia memandang serius akan isu ini, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri sahaja. Sebagai contoh di United Kingdom, hukuman penjara sehingga 14 tahun boleh dikenakan bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian kepada pengguna lain.

 

Di Taiwan pula, sudah ada undang-undang memperuntukkan hukuman mati kepada pemandu mabuk menyebabkan kematian. Kita juga perlu bergerak maju supaya duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

 

Kesimpulannya, memandu di bawah pengaruh alkohol merupakan perkara yang tidak bermoral malah ditegah oleh agama Islam. Islam amat menitikberatkan penjagaan nyawa dan akal manusia.

 

Kedua-dua perkara tersebut boleh rosak disebabkan alkohol. Penjagaan nyawa dan akal ini bertepatan dengan maqasid atau tujuan syariat itu sendiri iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Firman Allah yang bermaksud:

 

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (Al-Baqarah ayat 219)

 

Mohd Hafiz Abd Hamid
Ketua IKRAM Muda Pusat

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia