Peristiwa serangan ganas terhadap Global Sumud Flotilla minggu lalu, kini giliran kapal flotila Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) pula dipintas, dan pendedahan semula “pelan damai” Presiden Donald Trump menjadi bukti jelas bahawa strategi Israel terhadap Palestin tidak pernah berubah.
Kedua-duanya mungkin kelihatan berbeza sifatnya iaitu kekerasan ketenteraan dan satu lagi berselindung di sebalik diplomasi. Namun kedua-duanya adalah cabang daripada strategi yang sama iaitu menafikan hak rakyat Palestin, melemahkan solidariti antarabangsa dan menegakkan agenda penjajahan yang berterusan.
Global Sumud Flotilla ke Gaza dan juga FFC & TMTG merupakan misi kemanusiaan yang bertujuan meningkatkan kesedaran, memecahkan kebisuan, berusaha sedaya upaya memastikan laluan bantuan ke Gaza dapat dijamin dengan selamat serta memecahkan kepungan udara, darat dan laut.
Namun, rejim Israel tetap menyerang kapal-kapal ini di perairan antarabangsa, menahan semua aktivis, doktor dan wartawan serta menunda kapal ke pelabuhan Ashdod. Dalam laporan rejim, serangan ini dianggap sebagai “kejayaan” kerana berjaya menghentikan flotila dan menangkap semua peserta.
Realitinya jauh berbeza. Walaupun misi gagal menyampaikan bantuan secara fizikal, ia mencapai kemenangan moral yang besar. Keberanian flotila ini telah membuka lebih banyak mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan menyemarakkan kembali protes global.
Hari ini, perbincangan mengenai Palestin kembali menjadi tumpuan media antarabangsa dan setiap tindakan Israel hanya menambah tekanan diplomatik, ekonomi dan moral terhadapnya.
Impak kesedaran antarabangsa
Sejak serangan Israel terhadap armada Global Sumud Flotilla dan kini FFC & TMTG, gelombang kesedaran dan kebangkitan solidariti antarabangsa melonjak dengan ketara. Tindakan keras Israel ke atas aktivis kemanusiaan telah mencetuskan respons diplomatik luar biasa.
Colombia mengusir delegasi Israel dan menggantung perjanjian perdagangan, Sepanyol memanggil pulang wakil diplomatik Israel dan rakyat Afrika Selatan mendesak kerajaan menutup kedutaan Israel serta menghentikan perdagangan sebagai langkah tegas menentang genosid di Gaza. Malaysia pula menegaskan komitmen diplomatik dan undang-undang antarabangsa bagi memastikan keselamatan warganya yang ditahan.
Amnesty International dan aktivis hak asasi menggesa kerajaan Eropah bertindak secara ekonomi dan diplomatik. Dalam masa yang sama, kebangkitan jutaan rakyat di pelbagai rantau semakin kuat.
Himpunan solidariti dan mogok pekerja meletus di Itali, Greece, Perancis, Sepanyol, Belgium dan Ireland, disusuli demonstrasi besar di Amsterdam, London, Dublin, Istanbul, Buenos Aires, Rio de Janeiro, Tripoli, Chicago dan Caracas. Mereka turun ke jalan mengecam tindakan Israel di Gaza dan menuntut gencatan senjata serta keadilan kemanusiaan.
Semua ini mencerminkan bahawa tindakan Israel bukan sahaja gagal mengekang sokongan global terhadap Palestin, malah telah menghidupkan semula kesedaran antarabangsa tentang kezaliman berterusan rejim itu dan keperluan mendesak untuk tindakan kolektif dunia.
Fenomena ini menunjukkan bahawa penindasan fizikal oleh Israel tidak mampu menutup isu Palestin, malah misi flotila berjaya menyemarakkan kesedaran global dan memobilisasi solidariti antarabangsa.
Pelan damai Trump: Diplomasi yang berat sebelah
Di sisi lain, “pelan damai” yang dicadangkan oleh Presiden Trump kembali menjadi tajuk utama. Walaupun terdapat beberapa elemen positif seperti gencatan senjata, bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan rancangan pembinaan semula Gaza, namun pelan ini terlalu berat sebelah.
Ia seolah-olah memberikan ganjaran kepada penjajah Israel sambil menghukum rakyat Palestin dengan menafikan hak politik dan ketenteraan mereka.
Cadangan ini dilihat sebagai usaha menutup sejarah 77 tahun pendudukan dan sekatan haram, sambil menyingkirkan Hamas yang dipilih secara demokratik serta mengekalkan kehadiran tentera Israel tanpa sebarang garis masa pengunduran.
Penubuhan “Lembaga Keamanan” yang dipengerusikan oleh Amerika, dengan penglibatan tokoh seperti Donald Trump dan Tony Blair, juga menandakan cubaannya untuk mengawal Palestin melalui kuasa Barat, satu bentuk neokolonialisme yang terselindung di sebalik nama “keamanan”.
Seperti halnya serangan terhadap flotila, pelan damai ini cuba menutup naratif kemanusiaan, mengalihkan kesalahan kepada Palestin dan melemahkan solidariti antarabangsa. Pendekatan ini dilihat sebagai cubaan untuk mengekalkan hegemoni Israel dalam politik Timur Tengah.
Kempen kesedaran Palestin harus terus digerakkan
Menegakkan hak kemanusiaan di Palestin bukan hanya usaha yang berkisar setakat soal bantuan kemanusiaan, tetapi harus merangkumi strategi moral dan diplomatik melawan penjajahan.
Walaupun jutaan rakyat di seluruh dunia telah turun ke jalan menyuarakan keadilan untuk Palestin, suara mereka sering tenggelam dalam kebisuan pemimpin dan ketidakpedulian kerajaan yang lebih cenderung mempertahankan kepentingan politik berbanding prinsip kemanusiaan.
Namun, masa lampau telah menyaksikan bahawa tekanan global dapat mengubah nasib rakyat yang ditindas. Contohnya, aparteid di Afrika Selatan tumbang bukan semata-mata kerana perjuangan dalaman, tetapi hasil usaha kolektif yang bermula daripada kesedaran global, protes antarabangsa, hingga tekanan ekonomi.
Palestin memerlukan momentum yang sama iaitu solidariti antarabangsa yang berterusan, tekanan diplomatik dan penglibatan rakyat antarabangsa.
Seruan tegas
Malaysia mesti terus berpendirian berprinsip dan lantang dalam isu Palestin. Ketika pelbagai pelan damai yang pincang cuba dipaksakan, Malaysia tidak boleh berdiam diri. Serangan ke atas flotila dan penahanan aktivis, wartawan serta pekerja kemanusiaan membuktikan bahawa rejim Zionis tidak menghormati undang-undang antarabangsa.
Tindakan sebegini mesti dijawab dengan siasatan bebas oleh badan antarabangsa dan pendakwaan Israel di mahkamah antarabangsa atas jenayah kemanusiaan. Sekatan ke atas Gaza adalah bukti paling nyata bahawa penindasan dijadikan senjata politik.
Lebih dua juta rakyat Palestin terus dikepung, dinafikan makanan, ubat-ubatan dan peralatan asas untuk hidup. Menamatkan sekatan ini bukan sahaja tuntutan moral, tetapi syarat mutlak bagi sebarang jalan damai.
Misi kemanusiaan yang akan datang perlu dilindungi dengan laluan selamat di bawah jaminan pelbagai hala dan Malaysia harus memimpin desakan agar mekanisme ini diperkukuh melalui OIC, NAM serta PBB.
Oleh itu, keamanan sejati tidak akan lahir daripada peluru atau propaganda pelan damai yang menipu. Ia hanya akan muncul apabila hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri diiktiraf, sekatan kejam ditamatkan dan keadilan ditegakkan.
Malaysia, melalui kepimpinan berprinsip dan keberanian diplomatik, mempunyai peluang memimpin bukan hanya di Asia Tenggara, tetapi di peringkat global sebagai suara keadilan yang tidak boleh didiamkan.
Kemenangan moral flotila telah membuka mata dunia apabila solidariti global berupaya menekan rejim penindas. Malaysia boleh menjadii pemangkin yang menyatukan suara-suara ini agar kebenaran terus bergema di pentas dunia dan maruah sistem antarabangsa dapat dipulihkan.
Inilah jalan damai yang sebenar dan inilah medan Malaysia perlu berdiri tegak bersama Palestin, bersama suara keadilan dan kemanusiaan.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia