Dunia kini berada pada fasa transformasi kritikal yang mencorakkan landskap geopolitik global. Menurut Laporan Risiko Global 2024 oleh World Economic Forum, ketegangan geopolitik dan ketidakstabilan ekonomi dikenal pasti sebagai antara risiko utama yang mengancam kestabilan dunia.
Tahun ini menyaksikan perubahan ketara dalam hubungan antarabangsa, khususnya berkaitan isu-isu yang memberikan kesan langsung kepada umat Islam.
Tragedi kemanusiaan yang berterusan di Palestin, dengan korban melebihi 44,000 jiwa dalam genosid terkini, membuktikan keperluan mendesak untuk reformasi sistem antarabangsa. Krisis ini bukan sekadar konflik wilayah tetapi simbol penindasan yang mencabar prinsip keadilan dan hak asasi manusia sejagat.
Di Syria, kezaliman rejim Assad selama puluhan tahun menjadi peringatan bahawa semangat perpaduan dan perjuangan rakyat mampu menggugat pemerintahan zalim, meskipun mereka memiliki cengkaman yang kuat.
Negara-negara Islam lain turut berhadapan dengan cabaran tersendiri seperti Afghanistan yang masih dalam fasa pemulihan selepas melalui konflik panjang, manakala beberapa negara di Asia Barat terus dihimpit ketidakstabilan politik.
Pada masa yang sama, ketegangan geopolitik global semakin memuncak. Konflik di Ukraine serta ketegangan di Eropah yang melibatkan sekutu rapat di Asia Timur memberi amaran jelas kepada dunia bahawa risiko perang berskala besar boleh menjadi realiti.
Pergolakan ini turut memberi kesan langsung terhadap rantaian bekalan global dan harga tenaga dunia. Menurut Bank Dunia, konflik-konflik ini telah menyumbang kepada peningkatan inflasi global dan mengancam proses pemulihan ekonomi pascapandemik.
Kesemua hal ini menunjukkan bahawa dunia sedang menuju ke arah perubahan besar yang memerlukan kesiapsiagaan dan kebijaksanaan umat Islam dalam mendepani cabaran tersebut.
Dalam suasana geopolitik yang semakin tegang, umat Islam tidak hanya menjadi mangsa konflik, malah turut menjadi sasaran diskriminasi dan ketidakadilan dalam sistem antarabangsa.
Ketidakseimbangan kuasa serta dominasi ekonomi oleh kuasa-kuasa besar terus menekan negara-negara membangun, khususnya negara Islam. Keadaan ini menuntut umat Islam untuk bersatu, bertindak proaktif dan memperjuangkan keadilan sejagat di setiap ruang yang ada.
Malaysia wajar mengambil iktibar daripada perkembangan global semasa. Ketegangan geopolitik yang berterusan menjadi peringatan jelas bahawa kestabilan dan perpaduan merupakan prasyarat utama untuk memastikan kelangsungan kedaulatan dan kemakmuran negara.
Dalam konteks ini, memperkukuh perpaduan nasional dan membina daya tahan yang teguh adalah benteng utama dalam melindungi negara daripada sebarang pengaruh serta ancaman luar.
Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada prinsip keamanan dan kesederhanaan, kita harus mengambil pendekatan holistik dalam menghadapi cabaran ini.
Strategi yang berkesan perlu menggabungkan kekuatan dalaman dengan diplomasi luar yang pragmatik. Semangat perpaduan dan tindakan kolektif adalah kunci untuk mengangkat kembali maruah dan keadilan di persada dunia.
Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif di arena antarabangsa sebagai negara yang mengutamakan keamanan, keadilan dan kesaksamaan dalam menangani krisis global.
Malaysia dan ASEAN: Model persefahaman dan pembangunan bersama
Kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 membuka peluang strategik untuk memacu transformasi serantau dan memperkukuh kedudukan ASEAN di persada dunia.
Dalam era yang semakin kompleks, ASEAN perlu diangkat sebagai model kepada dunia dalam pengurusan kepelbagaian, pemupukan persefahaman etnik, kemajuan ekonomi inklusif serta pembangunan yang adil dan sejahtera.
Sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektif melebihi USD3.6 trilion, ASEAN berada dalam kedudukan unik untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam arena global.
Potensi besar ini disokong oleh kepelbagaian etnik dan budaya ASEAN yang merangkumi lebih 650 juta penduduk dengan pelbagai bahasa, agama dan tradisi.
Keunikan ini menggambarkan keupayaan ASEAN dalam mengekalkan keharmonian di tengah-tengah kepelbagaian, meskipun cabaran berkaitan perpaduan dan hak asasi manusia masih wujud.
Kemajuan sosioekonomi ASEAN juga telah mencapai pencapaian yang memberangsangkan. Berdasarkan laporan ASEAN Key Figures 2020, kadar kemiskinan di negara-negara anggota telah menunjukkan penurunan ketara antara tahun 2005 hingga 2018. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan model pembangunan ASEAN yang menitikberatkan kemajuan bersama.
Namun, meskipun kemajuan telah dicapai, masih terdapat ruang penambahbaikan, khususnya dalam aspek hak asasi manusia. Sebagai komuniti serantau yang berpengaruh, ASEAN perlu bersikap lebih tegas dan proaktif dalam menangani isu-isu hak asasi manusia bagi memastikan kestabilan, keadilan dan kemakmuran dapat dicapai secara holistik di seluruh rantau ini.
Selain itu, kerjasama antara ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah langkah signifikan ke arah menghubungkan Asia Timur, Asia Tenggara dan Asia Barat.
Hubungan yang kukuh dalam aspek ekonomi, budaya dan strategi ini dapat memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai model kerjasama serantau yang mampan dan efektif.
ASEAN harus bergerak sebagai satu komuniti yang makmur dan inklusif, dengan setiap negara anggota mendapat manfaat bersama tanpa mengira saiz atau kapasiti ekonomi.
Langkah ini bukan sahaja akan memperkukuh ASEAN sebagai blok ekonomi dunia yang signifikan, tetapi juga meningkatkan daya saing rantau ini dalam menghadapi tekanan geopolitik dan ekonomi global.
BRICS: Peluang baharu untuk Malaysia
Kemasukan Malaysia ke dalam BRICS pada 1 Januari 2025 menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan negara di pentas diplomasi ekonomi global.
Sebagai sebuah kumpulan yang kini mewakili 26.2 peratus KDNK global dan hampir 40 peratus populasi dunia, BRICS menawarkan platform strategik bagi Malaysia untuk memperluas pengaruh ekonomi dan diplomatiknya ke tahap yang lebih tinggi.
Selain potensi ekonomi, penyertaan Malaysia dalam BRICS turut membawa harapan baharu dalam merintis kerjasama ekonomi yang strategik di peringkat global. BRICS bukan hanya medan pertumbuhan ekonomi, bahkan menjadi cerminan hasrat untuk mewujudkan aturan antarabangsa yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh.
Dalam landskap global yang sedang beralih daripada sistem unipolar kepada multipolar, peranan Malaysia semakin signifikan. Dunia multipolar membuka ruang bagi negara membangun seperti Malaysia untuk menerajui perbincangan penting dalam mencorakkan masa depan ekonomi global dengan lebih adil dan telus.
Dalam pada itu, kerjasama dalam BRICS turut menyediakan peluang luas dalam aspek perkongsian teknologi, pendidikan dan pembangunan infrastruktur. Kesemua bidang ini bukan sahaja berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia, tetapi juga meningkatkan daya saing negara dalam pelbagai sektor strategik.
Penyertaan Malaysia dalam BRICS bukan sekadar langkah ekonomi, tetapi juga manifestasi komitmen negara untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk ekosistem global yang lebih mampan, saksama dan berpaksikan kerjasama sejagat.
Peranan OIC dan suara Malaysia di pentas dunia
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menaungi 57 buah negara anggota dengan jumlah penduduk 1.8 bilion orang, memerlukan pembaharuan radikal dalam melaksanakan amanahnya.
Walaupun OIC telah melahirkan pelbagai institusi termasuk Bank Pembangunan Islam yang memiliki dana melebihi USD70 bilion, keupayaan pertubuhan ini menangani permasalahan ummah masih perlu diperkasakan.
OIC seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperjuangkan kesatuan ummah. Namun, sehingga kini, OIC sering dilihat hanya lantang bersuara tanpa diiringi tindakan konkrit dalam menangani kemelut di Palestin, Syria dan negara-negara Islam lain.
Malaysia dan Indonesia, sebagai dua negara Islam yang berpengaruh di rantau ini, berpotensi memainkan peranan penting dalam membawa suara ummah ke peringkat antarabangsa dengan lebih berkesan dan berwibawa.
Dengan kekuatan ekonomi dan pengalaman luas dalam membangunkan ekonomi Islam, termasuk penglibatan aktif dalam industri halal global yang kini mencecah nilai trilion dolar Amerika, Malaysia dan Indonesia memiliki keupayaan untuk memacu agenda pembaharuan dalam OIC.
Usaha ini bukan sahaja dapat memantapkan pembangunan ekonomi dunia Islam, tetapi juga memperkukuh solidariti serta keberkesanan OIC dalam menangani isu-isu global yang melibatkan ummah.
Memperkukuh perpaduan nasional sebagai asas kekuatan
Seiringan pergerakan Malaysia ke pentas global, negara perlu memastikan asas dalamannya juga kukuh. Keutamaan pastinya terletak pada usaha memupuk perpaduan antara kaum dan agama disertai dengan komitmen mengekalkan kestabilan politik serta memperkukuh asas ekonomi yang inklusif dan lestari.
Keempat-empat elemen ini saling melengkapi dan menjadi tonggak penting dalam membentuk sebuah negara yang stabil, makmur dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Hubungan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak seharusnya terus diperkukuh melalui pendekatan yang menyeluruh dan inklusif. Jurang sosioekonomi, ketidakseimbangan pembangunan dan perbezaan persepsi antara wilayah memerlukan perhatian yang berterusan dan bijaksana.
Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung dan Borneo seharusnya menjadi lambang penyatuan melalui semangat saling menghormati dan mengasihi, bukannya penghalang.
Dalam perjalanan membina negara yang lebih utuh, kestabilan politik domestik memainkan peranan penting sebagai benteng kepada daya tahan negara dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks.
Namun hakikatnya, polarisasi pandangan politik dalam kalangan masyarakat semakin ketara, membuka jurang yang memerlukan perhatian bersama. Jurang ini bukan sahaja berpotensi melemahkan perpaduan nasional, tetapi juga menghakis kepercayaan masyarakat.
Kepimpinan negara harus menumpukan perhatian kepada agenda pembangunan yang merangkumi segenap lapisan masyarakat dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Budaya politik yang bertujuan menggoyahkan kestabilan pentadbiran negara wajar dielakkan sama sekali. Sebaliknya, tumpuan harus diberikan kepada pembentukan barisan pembangkang yang berwibawa dan berhemah dalam memainkan peranan semak dan imbang.
Tanggungjawab ini amat kritikal dalam memastikan hala tuju negara tidak tersasar daripada landasan yang sepatutnya. Setiap cabaran dan permasalahan negara perlu ditangani dengan semangat kenegarawanan yang tinggi, mengutamakan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau kepartian.
Selain itu, kepelbagaian aliran pemikiran dalam kalangan umat Islam turut menambah cabaran dalam mengekalkan kesatuan. Dalam menangani perbezaan ini, pendekatan berhemah dan bijaksana amat diperlukan.
Ruang untuk dialog terbuka dan perbincangan yang membina wajar sentiasa dibuka, sambil mengelakkan pendekatan konfrontasi yang hanya akan merumitkan keadaan.
Dalam konteks ini, institusi agama Islam dan para asatizah mempunyai peranan penting sebagai pemangkin kesatuan umat.
Mereka bukan sahaja berperanan dalam menangani perbezaan aliran pemikiran, tetapi juga menjadi benteng dalam menghalang pihak yang cuba mengambil kesempatan atas perpecahan yang wujud.
Kesan perpecahan yang berterusan tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu melambatkan pembangunan negara dan melemahkan kedudukan Malaysia di mata dunia. Lebih merisaukan, situasi ini membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan atas kelemahan yang ada.
Tahun ini seharusnya menjadi satu peringatan yang jelas bahawa setiap rakyat Malaysia memiliki peranan penting dalam memastikan perpaduan nasional kekal kukuh.
Melalui langkah yang proaktif, kerjasama yang erat dan usaha bersepadu daripada semua pihak, Malaysia mampu muncul sebagai sebuah negara yang matang, harmoni dan disegani.
Kemajuan Malaysia memerlukan penyertaan aktif daripada setiap lapisan masyarakat. Pengalaman negara dalam mengurus kepelbagaian, membangunkan ekonomi dan mengekalkan keharmonian sosial adalah aset penting dalam menentukan peranan Malaysia di persada antarabangsa.
Menerusi pendekatan yang berstrategi antara kepentingan dalaman dan tanggungjawab antarabangsa, Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai sebuah negara yang makmur dan progresif yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.