Pelita Raya: Simbol dan Tradisi yang Perlu Dihargai

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, terdapat satu pemandangan yang begitu sinonim dengan malam-malam terakhir Ramadan iaitu cahaya pelita yang menerangi halaman rumah.

Pelita yang dinyalakan di sepanjang jalan dan di sekeliling rumah bukanlah sekadar hiasan, namun membawa makna lebih daripada itu, antaranya sebagai simbol keceriaan, kehangatan dan semangat perayaan yang telah lama menjadi sebahagian daripada adat warisan masyarakat Melayu.

Dahulu, sebelum adanya lampu LED yang berwarna-warni dan lampu neon yang mengambil tempat, pelita merupakan cahaya utama yang menerangi malam raya. 

Suasana malam di kampung khususnya akan kelihatan anak-anak kecil begitu teruja membantu orang dewasa menyusun pelita di halaman rumah, masing-masing memastikan sumbu terendam sempurna dalam minyak tanah dan menyalakannya satu persatu ketika matahari mulai terbenam atau selepas berbuka.

Situasi begini merupakan sebahagian daripada persiapan Aidilfitri yang penuh dengan semangat gotong-royong dan kebersamaan.

Namun, seiring dengan perubahan zaman, peranan pelita dalam menyambut hari raya semakin pudar. Jika dahulu hampir setiap rumah di kampung menyala dengan cahaya pelita, kini hanya segelintir sahaja yang masih mengekalkan tradisi ini.

Di bandar pula, pelita hampir tidak kelihatan langsung dan digantikan dengan lampu elektrik yang lebih mudah dan praktikal.

Mengapa pelita begitu bermakna? Pelita bukan sekadar alat untuk menerangi dan memberikan cahaya, malah membawa simbolik makna yang lebih mendalam dalam budaya serta jiwa masyarakat.

Bagi mereka yang pernah melalui zaman dan suasana pelita menjadi lambang kemeriahan malam raya, cahaya pelita itu bukan hanya menerangi ruang fizikal, tetapi turut menyinari kenangan dan perasaan yang sukar digambarkan, dipenuhi dengan nilai kekeluargaan, kebersamaan mahupun ketenangan yang kini semakin jarang dirasai.

Pelita – Simbol keindahan dan keakraban

Cahaya pelita yang berkelip-kelip dalam kegelapan malam mencipta suasana yang tenang dan damai. Suasana ini turut membangkitkan rasa keterikatan dan keakraban antara jiran tetangga kerana suatu ketika dahulu, aktiviti memasang pelita dilakukan secara bersama-sama tanpa mengira usia.

Pemasangan pelita sering dibentuk dalam pelbagai corak yang kreatif. Ada yang menyusunnya dalam barisan dan ada juga yang membentuknya menjadi sampan, rumah, bulan, bintang dan sebagainya. Apabila melalui sepanjang jalan yang dihiasi pelita-pelita ini, suasana sambutan hari raya yang bakal tiba terasa begitu indah lagi mengujakan.

Pelita – Menghidupkan semangat gotong-royong dan nostalgia yang bernilai

Dahulu, memasang pelita bukanlah tugas individu semata-mata, malah menjadi antara aktiviti “wajib” keluarga dan jiran tetangga.

Bagi mereka yang berkelapangan, dari kanak-kanak sehingga orang tua, semua akan turut serta menyalakan pelita sambil berkongsi cerita, bergelak ketawa dan menikmati keriangan anak-anak berlari-lari mengelilingi halaman rumah sambil bermain bunga api.

Suasana ini bukan sahaja mencerminkan semangat gotong-royong, malah membentuk nostalgia yang begitu bernilai dan sukar dicari dalam kehidupan moden hari ini. Bagi generasi lama, pelita kekal sebagai simbol kenangan zaman kanak-kanak yang penuh keceriaan, keseronokan dan kemesraan yang sukar dilupakan. 

Pelita – Simbol harapan dan kesyukuran

Pelita yang dinyalakan pada malam hari raya bukan sekadar hiasan tradisi. Pelita membawa makna simbolik sebagai cahaya kemenangan selepas sebulan berpuasa. Cahayanya melambangkan sinar harapan dan petunjuk setelah melalui tempoh mujahadah menahan diri daripada lapar, dahaga dan melawan hawa nafsu.

Dalam konteks ini, pelita menjadi gambaran kepada cahaya dalam kehidupan iaitu segala ujian dan cabaran yang dihadapi akan diakhiri dengan sinar terang sebagai ganjaran.

Secara budaya, pelita menjadi simbol kesyukuran masyarakat yang  dinyalakan bukan hanya untuk mencantikkan ruang dan halaman rumah, malah menyemarakkan lagi suasana kemenangan dan kebersamaan yang jarang dirasai pada hari-hari biasa.

Cahaya pelita juga mengingatkan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi penanda kejayaan rohani dan titik mula untuk kehidupan yang lebih bersih, tenang dan bererti.

Tradisi memasang pelita semakin terpinggir dalam sambutan hari raya moden, digantikan dengan lampu hiasan yang lebih praktikal dan mesra digital. Faktor kesibukan, keselesaan, kebimbangan terhadap keselamatan serta pengaruh media sosial menjadikan pelita tidak lagi menjadi keutamaan.

Namun, di sebalik perubahan ini, kita wajar bertanya, adakah kemeriahan yang dicipta oleh teknologi mampu menggantikan makna dan nostalgia yang pernah dibawa oleh cahaya pelita? Tradisi ini mungkin semakin hilang, namun  nilai yang terkandung di sebaliknya tidak sepatutnya dilupakan.

Walaupun zaman sudah berubah, masih terdapat segelintir masyarakat yang percaya bahawa tradisi ini patut dikekalkan.

Di beberapa kawasan kampung, masih ada lagi mereka yang mengekalkan adat memasang pelita, bukan kerana mereka tiada akses kepada teknologi moden, tetapi kerana mereka mahu merasai semangat Aidilfitri dengan cara yang lebih asli, tradisional dan mengenang kembali keindahan tradisi lalu.

Pelita mungkin bukan lagi sumber cahaya utama dalam menyambut hari raya, tetapi menjadi simbol nostalgia, kebersamaan dan keindahan tradisi. Walaupun pelita semakin jarang digunakan, nilai sentimental dan maknanya tetap tidak boleh digantikan.

Sama ada dalam bentuk pelita minyak tanah seperti dalam jiwa mereka yang masih menghargai warisan lama, cahaya pelita tidak seharusnya padam sepenuhnya, kerana dalam setiap kerlipan apinya, terkandung memori yang mengingatkan kita tentang kasih sayang, kegembiraan dan keindahan Aidilfitri yang pernah kita nikmati. 

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia