Pelihara Perpaduan Kaum, Kunci Keharmonian Negara

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama. Kesepaduan nasional merupakan inti kekuatan dan keamanan negara. Kesatuan negara dapat dicapai melalui ikatan perpaduan antara seluruh rakyat Malaysia.

Dalam konteks ini, formula perpaduan bagi negara dengan masyarakat majmuk seperti Malaysia terletak pada kesatuan rakyat berbilang kaum untuk hidup saling memahami, bertoleransi, menerima perbezaan satu sama lain, memahami kontrak sosial yang menjadi dasar kesepaduan rakyat Malaysia serta menghormati hak asasi manusia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Perpaduan yang diidamkan sering menjadi topik pembicaraan masyarakat Malaysia, terutama dalam kalangan pemimpin negara, sebagai tujuan akhir yang memerlukan proses kesepaduan sosial yang sudah ada dalam kehidupan sehari-hari masyarakat.

Pelbagai program dan aktiviti

Kementerian Perpaduan Negara akan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti seperti bicara harmoni, wacana memupuk perpaduan dalam kepelbagaian agama, jejak harmoni, dokumentasi harmoni, sambutan hari toleransi sedunia dan lagu.

Bulan Julai sebagai bulan keselamatan memberikan aspirasi yang dicitakan dengan  memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara.

Usaha untuk mempertingkatkan keselamatan negara, penjagaan kesihatan, menambah perumahan mampu milik dan memanfaatkan sukan untuk pembangunan sosioekonomi perlu diutamakan.

Penerapan strategi ini akan mendukung pembangunan Malaysia yang bersatu padu dan makmur dengan seluruh negara mempromosikan perpaduan yang pada akhirnya akan meningkatkan keharmonian  masyarakat.

Usaha ini sesuai dengan aspirasi “Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” dan tujuan-tujuan daripada Agenda 2030 untuk Pembangunan Negara.

Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) mendapati perpaduan kini berada pada tahap baik serta terkawal. Oleh itu, sewajarnya semua ahli politik dapat bersama-sama memainkan peranan bagi terus memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Titik hitam sejarah negara

Peristiwa 13 Mei 1969, merupakan titik hitam kepada sejarah negara. Begitupun, ia boleh memberi iktibar kepada rakyat dan pemain politik. Pentingnya keselamatan negara perlu dilihat dari sudut Dasar Dalam Negeri dan Dasar Luar Negeri.

Untuk Dasar Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memastikan bahawa Aparatus Negara berfungsi sepenuhnya dalam menjaga keselamatan negara daripada pengaruh luar yang dapat menimbulkan kekacauan.

Contohnya ialah insiden pencerobohan di Lahad Datu yang melibatkan Sulu dan usaha untuk mengekang pengaruh Jemaah Islamiyah (JI), sedangkan untuk dasar luar negara, penting bagi Malaysia untuk bersikap neutral dalam konflik pengaruh antara China dan Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan.

Selain itu, isu-isu yang menyentuh sensitiviti ras, etnik, agama, kepercayaan dan budaya yang tersebar luas tanpa kawalan di media sosial masih pencetus isu-isu perkauman di Malaysia. Situasi ini akan  menghambat cita-cita negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu dan progresif.

Keamanan negara

Malaysia telah menyarankan supaya diwujudkan “kawasan awam, bebas dan berkecuali” (Zone of Peace, Freedom and Neutrality atau ZOPFAN) dan telah diterima sebagai pendirian ASEAN.

Konsep dan dasar yang telah diumumkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 27 November 1971 ini merupakan dasar yang baik untuk keselamatan negara. Pemikiran Tun Razak sewajarnya sentiasa didukung demi keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Keadilan sosial adalah elemen penting dalam memastikan keamanan negara. Perlindungan hak asasi manusia bagi setiap rakyat Malaysia sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antarabangsa yang diguna pakai (dengan penyesuaian) oleh Malaysia.

Semua rakyat Malaysia, termasuk kelompok minoriti, harus selalu dilindungi dan tidak ada pihak yang akan dipinggirkan. Nilai teras ini mestilah dipertahankan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan dengan mengambil kira taraf kemajuan sosioekonomi kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza.

Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukan akan terus dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, prinsip keadilan sosial ini bukanlah landasan bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan sehingga mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Sistem pendidikan

Perpaduan melalui pendidikan dengan menyemai serta memupuk semangat dan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum bermula dengan sistem pendidikan berteraskan bahasa pengantar kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Rakyat harus memupuk semangat jati diri, perasaan cinta, bangga dan rasa tanggungjawab terhadap negara dalam kalangan rakyat melalui pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) sebelum, semasa dan selepas sesuatu musibah.

Kesepaduan sosial merupakan elemen penting dalam sesebuah masyarakat bagi memastikan masyarakat itu berada dalam keadaan aman dan harmoni. Kebanyakan negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk mengalami konflik ekoran perbezaan latar belakang sehingga berlakunya peperangan, diskriminasi, penindasan dan sebagainya.

Keharmonian negara mesti dikekalkan dengan melibatkan peranan semua pihak. Media harus memainkan peranan dalam mempromosikan keharmonian dan mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh menimbulkan perpecahan. Pastikan laporan berita dan program televisyen sensitif terhadap isu-isu perkauman, sebaliknya teruskan menyokong perpaduan.

Peranan semua

Selain itu, peranan NGO, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan lain-lain sama penting dalam menimbulkan kesedaran kepada belia berkaitan kepentingan keharmonian negara.

Jadikan semua sektor masyarakat bertindak sebagai mata telinga kepada negara bagi tujuan keselamatan negara. Makanan, kebebasan beragama, berpakaian dan perayaan seolah-olah menjadi tali pengikat antara bangsa dan etnik. Atas kesamaan hidup itulah, Malaysia dianggap “Truly Asian.”

Malaysia sememangnya sebuah negara yang unik dari segi komposisi kaum, etnik dan bangsa. Malaysia unik dalam erti kata rakyatnya boleh menjalin mesra kehidupan seharian antara satu sama lain. Kesejahteraan, kebajikan dan hak-hak rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dilindungi dan dijamin oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, hak-hak negara juga perlu didukung dan dipertahankan oleh rakyat dengan penuh semangat patriotik dan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan dan kelangsungan negara.

Biarpun masing-masing mempunyai asas budaya tersendiri, namun mereka turut bersatu atas “kepentingan bersama” iaitu mahukan keharmonian hidup, kesejahteraan dan saling kebergantungan.

Justeru, marilah sama-sama kita menghayati lirik lagu bertajuk Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman:

“Kuingin kotakan seribu janji
sepanjang kedewasaan ini
kuingin sampaikan pesanan
akulah penyambung warisan.”

Prof. Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia, CILTM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia