Hari Ibu saban tahun diraikan dengan penuh kasih sayang dan penghargaan, namun sambutan ini tidak seharusnya terhenti pada sekadar jambangan bunga, kad ucapan atau hadiah simbolik.
Lebih daripada itu, Hari Ibu mesti menjadi titik tolak kepada kesedaran tentang betapa penting dan kritikalnya peranan seorang ibu dipelihara dalam membina masyarakat yang sejahtera dan negara yang mampan.
Seorang ibu bukan hanya insan yang melahirkan kehidupan, tetapi juga arkitek sosial yang membentuk nilai, sahsiah dan jati diri generasi pewaris akan datang.
Dalam konteks masyarakat yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran sosial, ekonomi dan budaya, peranan ibu menjadi semakin mencabar, namun pada masa yang sama semakin penting.
Institusi keluarga yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat sedang berdepan serangan tekanan daripada pelbagai arah, termasuk daripada perubahan struktur ekonomi dan tekanan sara hidup, hinggalah kepada krisis moral yang makin ketara dalam kalangan generasi muda.
Dalam menghadapi cabaran ini, watak sang ibu menjadi penting sebagai benteng dalam mempertahankan kestabilan emosi, akhlak dan arah hidup anak-anak.
Namun, dalam keghairahan kita memuji dan mengagungkan peranan ibu, tidak dapat dinafikan bahawa ramai ibu hari ini hidup dalam keadaan yang amat mencabar, khususnya dalam kalangan ibu tunggal dan wanita yang menjadi ketua keluarga.
Mereka terpaksa memikul beban yang sangat berat iaitu membesarkan anak-anak sendirian, menyara kehidupan keluarga dan dalam masa yang sama menempuh pelbagai kekangan sosial dan ekonomi yang sering kali tidak berpihak kepada mereka.
Realiti ini bukan sekadar cerita dari sudut pandang peribadi, tetapi telah ditulis dalam laporan UNICEF Malaysia bertajuk “Ranjau Sepanjang Jalan” (2024).
Laporan ini mendedahkan secara jelas dan menyeluruh tentang ranjau hidup wanita sebagai ketua keluarga di Malaysia, termasuk ibu tunggal, balu, ibu kepada anak kurang upaya dan wanita yang ditinggalkan suami tanpa sokongan.
Menurut laporan tersebut, lebih satu perempat isi rumah yang diketuai oleh wanita berada dalam kategori berpendapatan rendah.
Hampir 40 peratus daripada mereka bergelut untuk mendapatkan makanan yang mencukupi dan berkhasiat buat anak-anak mereka. Keadaan ini lebih mendesak dalam kalangan ibu tunggal yang bukan sahaja kehilangan pasangan hidup, tetapi turut kehilangan sistem sokongan emosi, sosial dan ekonomi.
Majoriti wanita yang menjadi ketua keluarga ini bekerja dalam sektor tidak formal, tanpa jaminan pendapatan tetap, tanpa perlindungan sosial dan tanpa akses kepada faedah seperti cuti bersalin bergaji atau penjagaan anak.
Mereka terpaksa menjalankan pelbagai pekerjaan bagi menyara keluarga, termasuk menjadi pembantu rumah sambilan, penjaja kecil, pekerja gig, dan pembersih.
Dalam masa yang sama, mereka memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak iaitu memberi makan, menjaga kesihatan, memastikan pendidikan dan melindungi anak-anak daripada pengaruh negatif persekitaran. Beban yang digalas oleh ibu tunggal ini selalunya tidak difahami sepenuhnya oleh masyarakat mahupun pembuat dasar.
Lebih menyedihkan, mereka turut berdepan dengan diskriminasi. Ramai wanita yang mengadu bahawa mereka kurang peluang pekerjaan berbanding lelaki atau hanya ditawarkan kerja dengan gaji yang lebih rendah.
Stigma sosial terhadap ibu tunggal pula masih wujud dalam sesetengah komuniti, menyebabkan mereka terpinggir dan malu untuk mendapatkan bantuan.
Akses kepada perkhidmatan kesihatan, kaunseling atau bantuan psikososial juga masih rendah, lebih-lebih lagi bagi wanita yang tinggal di kawasan luar bandar atau bandar besar dengan kos sara hidup tinggi.
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila kita sedar bahawa kegagalan memelihara kesejahteraan ibu, khususnya ibu tunggal, akan memberi kesan langsung kepada pembangunan generasi muda.
Anak-anak yang membesar dalam keluarga yang tidak cukup makan, kurang bimbingan dan tiada ketenangan emosi berisiko tinggi untuk terjebak dalam pelbagai masalah sosial seperti keciciran sekolah, penderaan, jenayah kecil, ketagihan bahan terlarang dan gejala sosial lain.
Dalam jangka masa panjang, perkara ini akan memberi kesan negatif kepada kestabilan masyarakat dan pembangunan negara secara keseluruhan.
Maka, persoalan penting yang harus kita renungi ialah apakah kita benar-benar memelihara peranan ibu dalam masyarakat? Apakah dasar dan struktur sosial kita benar-benar mesra ibu dan keluarga? Atau adakah kita hanya menghargai ibu secara simbolik tetapi membiarkan mereka terkapai-kapai dalam realiti hidup yang kian menghimpit?
Dalam hal ini, Islam telah mengangkat darjat wanita, khususnya mereka yang kehilangan pelindung hidup seperti suami. Nabi Muhammad SAW bersabda (maksudnya):
“Orang yang berusaha mengurus janda dan orang miskin adalah seperti mujahid di jalan Allah, atau seperti orang yang berpuasa di siang hari dan bangun (untuk solat) malam.” [HR al-Bukhari (5353) dan Muslim ( 2982)]
Golongan yang disasarkan dalam hadis ini meliputi wanita yang kehilangan suami dan menjaga anak-anak sendirian, wanita bujang atau ibu tunggal yang tiada perlindungan dan sedang berusaha menyara hidup, wanita yang ditinggalkan suami tanpa nafkah atau sokongan serta golongan miskin dan terpinggir termasuk wanita dan anak-anak yatim.
Sabda ini menyeru umat Islam agar tidak meminggirkan golongan yang lemah dan tidak berdaya serta mereka yang hidup dalam kemiskinan. Ia menjadi panduan jelas bahawa membela nasib mereka adalah satu bentuk jihad dan ibadah yang besar di sisi Allah.
Maka, marilah kita jadikan prinsip rahmah ini sebagai asas dalam membina masyarakat yang penyayang, prihatin dan adil.
Memelihara ibu bukan hanya bermakna memberi penghargaan dalam bentuk ucapan dan hadiah. Ia menuntut satu sistem yang holistik dan berfungsi. Negara perlu membina dasar perlindungan sosial yang lebih inklusif dan bersasar, terutamanya terhadap isi rumah yang diketuai oleh wanita.
Bantuan kewangan perlu dikaji semula agar ia benar-benar mencukupi dan mampu menampung keperluan harian ibu dan anak-anak. Sistem pendaftaran bantuan juga perlu dipermudah supaya tiada wanita yang layak tercicir daripada menerima hak mereka.
Selain itu, kemudahan penjagaan anak yang berkualiti dan mampu milik perlu diperluas, terutamanya di kawasan berpendapatan rendah. Hal ini akan membolehkan ibu tunggal bekerja dengan tenang, tanpa perlu bimbang keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.
Pusat komuniti yang menyediakan program pendidikan keibubapaan, latihan kemahiran dan sokongan psikososial juga amat penting untuk membina daya tahan ibu dalam menghadapi cabaran harian.
Pihak berkuasa tempatan, institusi zakat dan badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan besar dalam memperkukuh sistem sokongan ini. Usaha pusat zakat mewujudkan skim latihan dan pembiayaan mikro untuk membolehkan ibu tunggal menjana pendapatan sendiri harus disokong.
Peranan NGO dalam membina komuniti sokongan, menjalankan advokasi dasar serta menyediakan khidmat kaunseling dan terapi kepada ibu yang mengalami tekanan emosi memberikan kesan yang signifikan.
Di samping itu, masyarakat secara umum juga perlu mengubah persepsi terhadap ibu tunggal. Mereka bukan beban atau masalah kepada masyarakat. Sebaliknya, mereka adalah pejuang yang sedang mempertahankan masa depan negara melalui anak-anak yang sedang mereka besarkan.
Masyarakat perlu lebih empati dan prihatin kepada wanita yang membesarkan anak-anak tanpa pasangan. Mereka tidak perlukan simpati semata-mata, tetapi pengiktirafan dan sokongan untuk hidup bermaruah.
Dalam jangka panjang, pendidikan kesedaran gender perlu dimulakan sejak peringkat sekolah. Generasi muda mesti dididik untuk menghargai peranan ibu dan wanita serta memahami bahawa keadilan sosial hanya dapat dicapai apabila setiap individu, tanpa mengira jantina diberi peluang dan perlindungan yang adil dan saksama.
Anak-anak lelaki harus diajar untuk menghormati dan menyokong ibu mereka dan kelak menjadi suami dan bapa yang bertanggungjawab. Anak-anak perempuan pula harus diberikan keyakinan dan ilmu untuk menjadi wanita yang berdikari, berilmu dan berwibawa.
Bersempena dengan Hari Ibu ini, kita perlu menukar paradigma. Daripada menjadikan Hari Ibu sekadar pesta bunga dan ucapan sentimental, kita harus menjadikannya sebagai momentum kebangsaan untuk membincangkan dasar yang menyokong keluarga.
Kita harus melihat ibu sebagai teras pembangunan negara dan bukan sekadar figura emosi dalam perayaan tahunan. Kita harus menggugah kesedaran bahawa melindungi ibu bukan sekadar pilihan moral, tetapi satu keperluan strategik negara demi memastikan generasi akan datang dilahirkan dalam suasana yang stabil, sihat dan berdaya saing.
Maka, sambil kita mengucapkan “Selamat Hari Ibu”, marilah kita juga beriltizam untuk menjadikan negara ini lebih mesra ibu. Kita mesti pastikan bahawa tiada seorang pun ibu yang dibiarkan berjalan sendirian di lorong-lorong kehidupan yang berduri.
Kita mesti mengangkat martabat ibu bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan dasar yang adil, sokongan yang nyata dan kasih yang bersifat membina. Hal ini demikian kerana dalam setiap langkah seorang ibu, tersimpan harapan dan masa depan sebuah negara.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia