Sambutan bertemakan “Ke Arah Masa Hadapan Lestari melalui Pendidikan Berbilang Bahasa” ini akan diadakan pada Selasa, 21 Februari 2017 bermula pada jam 6.30 petang hingga 10.00 malam di Brickfields Asia College, Kampus Petaling Jaya.
Sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia pada tahun ini telah masuk tahun keenam penganjurannya hasil inisiatif bersama Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Tamil Foundation, Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
“21 Februari telah ditetapkan sebagai tarikh meraikan bahasa ibunda satu dunia. Bahasa melambangkan adat, tradisi, dan ketertiban masyarakat sedunia, dan sekiranya tidak dipelihara, pupuslah ia sebagaimana pupusnya sesetengah bahasa sebelum ini,” kata Cik Usharani Sarkunavalu, Pengarah Program Sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia 2017.
Memupuk kepelbagaian adat dan linguistik adalah menjadi matlamat utama Hari Bahasa Ibunda Sedunia ini menurut Usharani, dan ia adalah tanggungjawab semua pihak, bukan sahaja memastikan bahasa ibunda dipelihara dengan baik, bahkan menghormati setiap jenis bahasa ibunda negara-negara lain yang ada.
“Bahasa ibunda di setiap negara mempunyai keunikan yang tersendiri, baik daripada segi adat, tradisi, nilai serta tata tertib dalam sejarah kehidupan manusia.”
Jelas beliau lagi, saban tahun perayaan ini dijadikan medan memupuk kepelbagaian bahasa, adat dan linguistik yang dikuatkuasakan oleh UNESCO dengan tujuan mempromosi bahasa-bahasa ibunda yang ada demi kepentingan menyebar kebaikan serta kepentingannya di serata dunia.
“Semua boleh memulakannya iaitu menggalakkan penggunaan bahasa ibunda pada 21 Februari bagi menyahut seruan dan demi memelihara warisan serta adat budaya setiap bangsa,” ujar Cik Usharani lagi.
Sebelumnya, sambutan seperti ini pernah dianjurkan dan pada tahun 2016 bertemakan “Pendidikan Berkualiti; Bahasa Penyampaian dan Pembelajaran”, manakala pada tahun 2015 pula ialah “Inclusion in and through Education: Language Counts.”
“Walaupun terdapat organisasi dan sekolah-sekolah di Malaysia yang meraikan perayaan ini, beberapa badan NGO turut bergabung dan mengambil inisiatif menjayakan hari memperingati bahasa ibunda sedunia ini,” kata Hj Zaid Kamaruddin, Timbalan Presiden IKRAM.
“Tahun ini juga, Brickfields Asia College sekali lagi bermurah hati memberi ruang kampusnya untuk melaksanakan acara bermakna ini.”
Pada tahun 2015 menurut Hj Zaid, acara ini telah diserikan dengan kehadiran Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Kehadiran mereka pada tahun ini juga amatlah dinanti-nantikan,” ujar Cik Usharani lagi.
Pada tahun-tahun sebelumnya, telah diadakan ceramah oleh tokoh-tokoh terkemuka dan tidak dilupakan, persembahan daripada komuniti Orang Asal Malaysia dan persembahan daripada berbilang bangsa.
“Tahun ini, kami di Tamil Foundation mengharapkan keterlibatan kesemua 524 buah sekolah Tamil dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti pertandingan seni serta memberi kefahaman kepada anak-anak akan kepentingan International Mother Language Day Celebration iaitu merujuk kepada tema tahun ini.”
Dalam pada itu, mereka juga boleh membuat aktiviti-aktiviti lain yang dirasakan perlu, seperti puisi, permainan, choral speaking serta kempen kesedaran kepentingan bahasa ibunda.
“Disebabkan masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu akan kewujudan sambutan Hari Ibunda Sedunia ini, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memperbetulkan keadaan tersebut,” jelasnya lagi.
Berikutan itu, besarlah harapan pihak penganjur agar pada tahun ini, penglibatan yang lebih memberangsangkan daripada pihak NGO dengan anggaran 50 hingga 100 orang peserta daripada setiap komuniti.
“Maka, kami berharap agar diimarahkan program ini oleh semua pihak demi memperingati dan menghargai bahasa-bahasa ibunda sedunia dan kami juga sangat mengalu-alukan kehadiran pelajar, organisasi dan rakyat untuk sama-sama mengikuti program bermakna ini.”