Bercakap di hadapan kira-kira 1,200 mahasiswa yang datang dari seluruh negara, Presiden mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana IKRAM Siswa dapat dilancarkan secara rasmi buat menggembleng keupayaan mahasiswa sebagai pemimpin pelapis untuk membina negara yang bermatlamat mencari keredaan Allah.
“Mahasiswa dan mahasiswi dalam takungan IKRAM kaya dengan potensi, ilmu dan kepakaran. Inilah masanya untuk anda membangunkan diri dan organisasi, melonjakkan gerak kerja, membina masyarakat dan negara. Anda berpeluang memenangi kedudukan strategik dan akahirnya sebagai pelapis dalam kepemimpinan negara,” katanya.
Dr Mohd Parid berharap agar mahasiswa menjadi penggerak Islam yang menyeluruh, yang bergerak dalam susunan dakwah, tarbiah, tanzim dan jihad.
“Bergeraklah dalam susunan organisasi dan amal untuk membina manusia, negara dan tamadun selaras dengan fasa-fasa perjuangan IKRAM, dan ia harus pula digerakkan secara dinamik dan berimbang.”
Menurutnya lagi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memulihkan kembali umat, menggerakkan generasi pelopor, membangunkan generasi baru, melakukan dakwah kepada yang bukan Islam serta membina Malaysia baru.
“Pendekatan kita kita ialah memperkasakan kitaran amal menerusi amal jama’i, amal tanzim. Tabiat amal kita ialah membina, membina, membina. Menyatukan bukan memecahkan, membina bukan meroboh, memperbaiki bukan merosakkan.
“Mahasiswa perlu berusaha dengan gigih, menguasai ilmu bersepadu dari sumber wahyu dan akal, menggabungkan ilmu syariah dan sains. Ilmu pula mesti dituruti dengan amal. Jadilah mahasiswa rabbani yang soleh lagi musleh, penggerak bukan pak turut, yang terasuh dengan disiplin ilmu dan akhlak.”
Demikian antara noktah-noktah penting ucapan Presiden sempena pelancaran IKRAM Siswa. Sebelumnya, hadirin turut dihidangkan dengan satu pengisian bertenaga oleh Yang Dipertua IKRAM Selangor, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah Timbalan Presiden IKRAM Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi JK Pembangunan Mahasiswa IKRAM Prof Dr Arshad Ahmad, beberapa orang ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM dan badan-badan mahasiswa dari IPT tempatan dan luar negara.
Pada sebelah paginya, mesyuarat penubuhan dan perlantikan AJK IKRAM Siswa dijalankan di dewan yang sama dengan dihadiri wakil-wakil dari 23 IKRAM Siswa IPT seluruh negara. Ucaptama disampaikan oleh Prof Dr Arshad Ahmad.
Barisan pimpinan IKRAM Siswa adalah seperti berikut:
Presiden: Tuan Mohd Taufik bin Tuan Hussin
Timbalan Presiden: Khairul Fadhli bin Ismail
Naib Presiden I: Abdullah Omar bin Muhamad Fuad
Naib Presiden II: Sumayyah binti Abdul Aziz
Setiausaha Agung: Marwan bin Abdullah
Bendahari: Muhammad Harith bin Amaran