Pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berhubung hasrat kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dibuat ketika ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya akibat daripada pandemik Covid-19 yang berlarutan selama dua tahun yang lepas.
Kerajaan dilaporkan sedang menimbang untuk memperkenalkan semula GST bagi meningkatkan hasil negara dan menampung subsidi awam.
Dilaporkan, kerajaan mensasarkan kadar GST yang tidak terlalu tinggi yang boleh membebankan rakyat, namun tidak terlalu rendah yang tidak mampu untuk menambahkan hasil.
GST dikatakan satu sistem percukaian yang lebih berkesan, telus dan adil. GST juga dijangka dapat meningkatkan ekonomi dan daya saing negara.
Kesan Pelaksanaan GST
Namun, semenjak pertama kali GST diperkenalkan pada tahun 2015, kerisauan telah ditimbulkan berkenaan kesan sistem cukai ini kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dan pertengahan.
Dengan kadar sama rata ke atas penggunaan barang dan perkhidmatan, GST menyebabkan golongan berpendapatan rendah menanggung perbelanjaan cukai yang lebih daripada pendapatan mereka berbanding golongan berpendapatan tinggi.
Hal ini tentunya memberi tekanan kewangan kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dan pertengahan yang paling terkesan akibat pandemik dan ditambah pula mutakhir ini dengan kenaikan harga makanan.
Untuk peniaga-peniaga kecil, kesan negatif GST boleh disebabkan oleh tempoh yang diperlukan untuk mendapat pulangan cukai dan seterusnya mengakibatkan masalah aliran tunai.
Pelaksanaan Semula GST
Hakikatnya, memperkenalkan semula GST tidak lain hanyalah menukar mekanisme pengutipan cukai sedangkan masalah-masalah pokok yang dihadapi negara tidak diselesaikan.
Tumpuan kerajaan sewajarnya diberikan ke arah mengubah perkara-perkara pokok yang bagai duri dalam daging.
Permasalahan-permasalahan berhubung tadbir urus, produktiviti, rasuah dan mewujudkan nilai tambah dalam ekonomi melalui teknologi, pembangunan sumber manusia dan pendidikan hendaklah ditangani secara terancang dan serius.
Tanpa perubahan dari sudut-sudut ini, Malaysia tidak akan mampu untuk bangkit menjadi negara yang progresif dan makmur.
Cegah Rasuah
Sudah menjadi satu keperluan yang mendesak agar rasuah dan ketirisan dana awam ditangani secara serius.
Apabila dibandingkan, kerugian negara akibat rasuah (sekitar 4 – 6 peratus daripada KDNK) adalah RM50 bilion, iaitu melebihi daripada RM20 bilion hasil yang berkurang setiap tahun apabila GST digantikan dengan SST.
Sehubungan itu, pencegahan rasuah adalah kritikal untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan dan memulihkan persepsi pelabur terhadap Malaysia.
Untuk menyokong usaha mencegah rasuah oleh sektor awam, gerakan antirasuah oleh organisasi masyarakat madani seperti Rasuah Busters perlu dipergiat dan disokong oleh semua pihak.
Matlamat akhir ialah untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan toleransi sifar terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Inisiatif antirasuah berjalan seiring dengan usaha untuk mengangkat pemimpin yang mempunyai moral yang tinggi, berintegriti dan berwibawa dalam sistem demokrasi yang menegakkan keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama.
Badlishah Sham Baharin, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Mohammad Abdul Hamid, Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM & Perunding Polisi Awam