Peguam Negara ‘Orang Dia’: Hormati Badan Kehakiman

Edward Gibbon, pengarang ‘The Decline and Fall of the Roman Empire,’ dalam penulisannya menyebut:

“Kebebasan badan kehakiman ialah kepercayaan bahawa keputusan kehakiman harus tidak memihak dan tidak tertakluk kepada pengaruh cabang kerajaan lain (eksekutif dan perundangan) atau kepada pengaruh kepentingan peribadi mahupun politik, dengan kata lain, apa yang dipanggil pengasingan kuasa.”

Kebebasan badan kehakiman adalah pintu gerbang utama ke arah demokrasi, sesuatu yang hanya akan terhasil dengan membuka perbincangan yang luas dan konstruktif. Ini bermakna ia membuka ruang reformasi dalam sektor keadilan bagi merealisasikan sesuatu kebenaran tertegak.

Langkah-langkah yang diambil menuju demokrasi kekal tidak berkesan dan tidak mampan, jika ia tidak mengarah kepada rejuvenasi badan kehakiman serta pengukuhan kebebasannya, atas alasan ia merupakan tunjang utama yang sepatutnya melindungi mahupun mengukuhkan perlembagaan dengan berpaksikan kedaulatan undang-undang.

Tidak dinafikan bahawa badan kehakiman masih sangat memerlukan ruang demokrasi berdasarkan ketelusan dan keadilan secara menyeluruh, dengan cara memberinya kekuatan dan keberanian dalam menggunakan undang-undang serta melindungi hak mahupun kebebasan.

Tentunya demokrasi sering dikaitkan dengan peralihan kuasa yang sah dan aman, membenarkan rakyat terlibat dalam menguruskan hal ehwal untuk menyumbang kepada keputusan yang berhubung kait dengan mereka, menghormati hak asasi manusia dengan keupayaan serta mengurus perbezaan secara konstruktif.

Hakikatnya, ia adalah proses yang kompleks dan memerlukan faktor serta keadaan sosial, politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang dan institusi.

Ia juga adalah satu proses kemasyarakatan yang melibatkan pemerintah dan diperintah yang dikaitkan dengan konsep nilai. Ia merangkumi banyak prinsip seperti reformasi perlembagaan, prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang.

Demokrasi masih sangat memerlukan badan kehakiman bebas yang mampu menangani pelbagai isu dengan jenis kompetensi, keberanian dan integriti serta bebas daripada sebarang campur tangan pihak berkuasa lain. 

Pendek kata, kebebasan badan kehakiman bermakna ketiadaan sebarang pengaruh material atau moral, campur tangan secara langsung atau tidak langsung, dengan sebarang cara dalam kerja pihak berkuasa kehakiman.

Pengasingan Kuasa

Prinsip pengasingan kuasa adalah sangat penting, memandangkan ia menentukan bidang campur tangan setiap pihak berkuasa secara berasingan dan mengelakkan daripada melampaui had kuasanya.

Namun, prinsip ini tidak bermakna pengasingan yang ketat dan mutlak antara ketiga-tiga kuasa; pihak berkuasa eksekutif, pihak berkuasa kehakiman dan pihak berkuasa perundangan.

Ini kerana hakim masih memerlukan pihak berkuasa eksekutif yang membenarkan pelaksanaan penghakiman dan keputusan, dan masih memerlukan undang-undang yang sesuai untuk diluluskan oleh badan perundangan.

Penggubal undang-undang sebaliknya, masih memerlukan kuasa eksekutif dan kehakiman. Pihak berkuasa perundangan pula memerlukan cabang kehakiman dan eksekutif.

Dari sudut pandangan ini, perhubungan itu sepatutnya berada dalam kerangka kawalan undang-undang tanpa pelanggaran atau rampasan.

Badan kehakiman berperlembagaanlah yang memutuskan perlembagaan undang-undang berkenaan dengan badan kehakiman pentadbiran, mempertimbangkan kesahihan tindakan pentadbiran dan kemungkinan membatalkan keputusannya sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa.

Pihak berkuasa eksekutif tidak boleh menceroboh fungsi kehakiman dengan tekanan atau pengaruh; atau mengelak daripada melaksanakan penghakiman dan keputusan yang dikeluarkan terhadapnya oleh pelbagai mahkamah; atau untuk menghalang atau mengkritik pelaksanaannya; berhati-hati untuk menyediakan syarat teknikal dan material untuk memastikan pelaksanaan keadilan yang betul.

Bebas, Tidak Berpihak

Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik, yang telah diterima pakai dan dikemukakan untuk ratifikasi dan penyertaan oleh Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2200 A-21 pada 16 Disember 1966 (tarikh kemasukan: 23 Mac 1976) mengesahkan dalam Perkara 14 iaitu:

“Semua orang adalah sama rata di hadapan badan kehakiman, dan setiap individu mempunyai hak, apabila memutuskan apa-apa pertuduhan jenayah terhadapnya atau hak dan kewajipannya dalam mana-mana tuntutan sivil, untuk membuat kesnya di bawah pertimbangan yang adil oleh mahkamah yang kompeten, bebas dan tidak berat sebelah selaras undang-undang.”

Kebebasan badan kehakiman adalah penjelmaan sesuatu keadilan dan elemen utama serta penting di mana kedaulatan undang-undang terlaksana. Ia adalah salah satu syarat yang perlu untuk mewujudkan keseimbangan kuasa.

Dengan cara yang menyumbang kepada memastikan kestabilan dalam masyarakat dan memastikan institusi berfungsi dengan baik, ia menyatukan kepercayaan rakyat kepada institusi kehakiman.

Sebagaimana titah Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah, sistem penghakiman yang telus menggambarkan proses keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa.

“Dalam sistem keadilan, hakim merupakan watak penting dan mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman.”

Baginda menegaskan, sebarang bentuk keraguan perlu dihindarkan dan seorang hakim itu perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan.

Hormati Badan Kehakiman

Sebagaimana kata-kata Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Muzaffar Syah Mallow, adalah penting untuk semua pihak memberi kepercayaan serta sokongan penuh kepada institusi kehakiman dan yang paling penting, menghormati institusi kehakiman itu sendiri.

“Sebarang ketidakpuasan terhadap sesuatu keputusan atau perkara bolehlah disalurkan melalui proses serta peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dalam negara kita berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan yang telah diikuti semenjak negara kita merdeka pada tahun 1957.”

Hal ini juga turut menyentuh berkaitan ucapan Datuk Seri Azalina Othman Said yang secara terbuka menyoal:

“Mengapa Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob tidak memilih ‘orang dia’ sebagai peguam negara?”

Beliau yang juga Penasihat Undang-Undang kepada Perdana Menteri berkata demikian dalam sesi taklimat khas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Tentunya kenyataan Ahli Parlimen Pengerang itu agak terkebelakang ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan pada hari ini.

 “Ucapan itu amat tidak wajar dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin, apatah lagi beliau adalah Penasihat Undang-undang Perdana Menteri,” kata Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Haji Badlishah Sham Baharin.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mengamalkan prinsip pengasingan kuasa antara cabang-cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Prinsip ini penting untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa di samping merealisasikan prinsip semak dan imbang. Setiap cabang berkuasa untuk ‘menyemak’ dan ‘menyeimbangkan’ kuasa, dan pelaksanaan kuasa masing-masing berdasarkan peruntukan Perlembagaan.”

Menurut Badlishah, Peguam Negara harus berkhidmat untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan mana-mana parti atau individu.

Berdasarkan Bukti Kukuh

Oleh yang demikian, dengan adanya pengasingan kuasa, pemerintahan negara akan berjalan dengan tersusun dan teratur serta wujud ‘check and balance’ (semak dan imbang) dalam sistem pentadbiran negara.

Umum mengetahui terdapat tiga cabang utama yang ditadbir berasingan mengikut sistem pentadbiran negara iaitu badan eksekutif, perundangan dan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini mempunyai peranan, tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.

Bagi badan kehakiman, tentunya hakim dan pegawai kehakiman sentiasa menjaga integriti serta etika pada setiap masa bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepada keadilan, kesaksamaan dan ‘without fear or favour’.

Hakikatnya, jika sesuatu keputusan itu dibuat berlandaskan undang-undang dan fakta yang betul, sudah tentu keputusan tersebut dapat diterima oleh semua pihak. Namun, ia tetap dinafikan oleh penyokong atau pentaasub seseorang yang terbabit dengan hukuman tersebut.

Sudah pasti sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah dalam negara dibuat berdasarkan bukti-bukti serta keterangan yang telah diberikan dalam tempoh sesuatu perbicaraan yang dibuat.

Ini juga disokong dengan segala penghujahan yang telah dilakukan oleh pihak guaman yang pakar dengan bidang masing-masing dalam sesuatu kes perbicaraan.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia