Modul ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan pendidikan berterusan dalam usaha melindungi diri dan keluarga daripada sebarang ancaman dengan menekankan pembangunan sahsiah yang seimbang dalam aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek ini.
Modul Sejahtera yang merangkumi program-program susulan yang boleh ditawarkan kepada masyarakat di negeri Johor khususnya dan seluruh Malaysia amnya telah dilancarkan ketika berlangsungnya Seminar Lindungi Diri dan Keluarga: “Pedofilia, Pornografi dan Jenayah Siber” yang turut dirasmikan oleh DYMM Permaisuri Johor.
Seminar anjuran Wanita IKRAM Johor dan Johor Women’s League (JEWEL) yang diadakan di Hotel Berjaya Waterfront di sini pada Sabtu 24 September lalu telah menerima sambutan hangat di mana ia dihadiri oleh hampir 1,500 peserta.
Turut hadir Pn Hjh Sabariah Manshor, Ketua Wanita IKRAM Johor, Pn Woo Sow Pheng, Presiden JEWEL serta YDP IKRAM Johor, Prof. Madya Dr. Ajmain Safar serta Ahli-ahli Jawatankuasa IKRAM Negeri dan Wanita IKRAM Negeri dan Kawasan.
Ucaptama seminar telah disampaikan oleh Datin Paduka Hjh Che Asmah Ibrahim, Ketua Wanita IKRAM diikuti dengan ucapan umum bertajuk “Penderaan Seksual Kanak-Kanak” oleh saudara Syed Azmi al-Habshi.
Dalam sesi forum pula, ahli panel terdiri daripada Syed Azmi, DSP Tan Gee Soon (Bahagian Siasatan Seksual, Wanita Dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman), Datin Paduka Che Asmah dan Dr. Abdul Kadir Abu Bakar (Pengarah Hospital Permai, Johor Bahru).
Seminar ini diharapkan dapat memberi kesedaran serta kefahaman tentang isu dan bahaya pedofilia, pornografi dan jenayah siber selain dapat mencadangkan tindakan dan peranan yang perlu dimainkan bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada ancaman tersebut.
Semoga semua pihak dapat bekerjasama dan mengambil langkah bersepadu bagi membendung isu berkaitan daripada terus menular dalam masyarakat bagi membina negara Malaysia yang rahmah, harmoni dan sejahtera, insya-Allah.
Sumber foto: http://bit.ly/2e1tH2k | http://bit.ly/2dXGFgq