“Ida, Kak Su rasa stres betullah dengan budak-budak ni dalam kelas waktu mengajar,” aku meluahkan isi hati dan perasaan yang terbuku dalam benakku selama ini.
“Kenapa kak Su?” balas Cikgu Rozida, guru kaunseling sekolah kami yang lebih mesra kupanggil Ida. Maka dari situ, bermulalah perbincangan kami tentang permasalahan dan cabaran murid-murid dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Setelah lebih setahun pembelajaran dalam talian dilaksanakan susulan pandemik Covid-19, banyak pihak yang telah terkesan; para ibu bapa, guru-guru dan yang paling menyedihkan adalah anak-anak murid terutamanya yang berada di sekolah rendah.
Dari segi psikologi, kanak-kanak peringkat sekolah rendah ini memang dalam alam keseronokan bermain dengan rakan-rakan sebaya. Sekarang ini segalanya telah lenyap daripada dunia mereka.
PdPR adalah sistem pembelajaran dan pengajaran yang baharu untuk semua guru di Malaysia.
Setelah ia berjalan selama lebih kurang setahun setengah, ia dilihat terlalu banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pelbagai pihak baik dalam kalangan ibu bapa, guru-guru mahupun murid-murid. Cabaran-cabaran yang dihadapi terkadang tidak ada penyelesaiannya.
Karenah murid
Semasa kelas berlangsung, ada murid yang kurang berdisiplin dan guru tidak berupaya untuk mengambil sebarang tindakan, cukup hanya setakat teguran secara lisan.
Murid-murid juga sukar untuk memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas kerana suasana sekeliling di rumah yang kadangkala ada pelbagai bunyi serta tarikan.
Ada juga dalam kalangan murid-murid yang bersikap pasif, menutup kamera walau dipanggil berulang kali oleh guru, namun mereka tetap sunyi sepi tanpa sebarang tindak balas.
Ini menyebabkan guru-guru sukar untuk mengukur tahap kefahaman mereka dan yang paling sedihnya, ada juga yang terlebih berani. Mereka leka bermain games dalam gajet masing-masing sewaktu kelas sedang berlangsung.
Semangat yang pudar
Dari senario yang berlaku serta tindak balas dan kelakuan anak-anak murid ini, boleh disimpulkan bahawa sebenarnya semangat untuk mereka belajar sudah mulai pudar.
Suasana kelas yang interaktif dan ceria yang sangat diperlukan oleh mereka sudah hilang daripada hidup pada ketika ini. Riang tawa, gurau senda bersama teman dan rakan-rakan telah lenyap.
Mereka mula merasakan bahawa belajar melalui komputer sudah tidak menyeronokkan. Tambahan pula jika tiada pemantauan dari pihak ibu bapa, maka selalunya anak-anak akan mengambil kesempatan untuk tidak fokus.
Kemampuan ibu bapa
Bukan semua ibu bapa di Malaysia ini tergolong dalam mereka yang berkemampuan.
Ini adalah antara penyebab murid-murid tercicir daripada mengikuti kelas dalam talian kerana ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan peranti yang sesuai dan tidak mampu menyediakan capaian Internet yang baik untuk mereka.
Kebanyakan ibu bapa ketika ini bekerja dari rumah. Walaupun demikian, ini tidak dapat kita pandang sebagai sesuatu yang positif untuk murid-murid apabila ada dalam kalangan mereka yang terpaksa berkongsi penggunaan gajet dengan adik-beradik, ibu bapa.
Dan jika mereka menggunakan telefon bimbit, maka amatlah sukar dilihat kerana paparan slaid di skrinnya sangat terhad dan tidak sejelas di komputer riba mahupun komputer peribadi (PC).
Internet dan pemantauan kelas
Selain daripada itu, satu lagi cabaran yang belum dapat ditangani dengan sebaiknya adalah kelajuan talian Internet yang seringkali mempengaruhi mood guru-guru dan murid-murid untuk mengajar dan belajar.
Bagi ibu bapa yang terpaksa bekerja di luar, pemantauan terhadap kelas dalam talian anak-anak hanya dapat dilakukan dari jauh.
Ada di antara mereka yang terpaksa mengeluarkan peruntukan lebih dengan cara meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah supaya boleh melihat pergerakan anak-anak mereka sewaktu ketiadaan mereka.
Walaupun ibu bapa ada yang bekerja dari rumah, mereka juga sebenarnya tidak dapat memantau dan memberi sepenuh perhatian terhadap anak-anak yang sedang mengikuti kelas dalam talian. Ibu bapa juga mempunyai urusan kerja masing-masing yang perlu disiapkan.
Tumpuan kelas, masalah keluarga
Pada keluarga yang mempunyai anak-anak yang ramai ditambah pula dengan ada anak yang masih di peringkat tahun satu, dua atau tiga, sudah tentu tumpuan yang lebih diberikan kepada mereka semasa kelas dalam talian oleh ibu bapa.
Manakala yang sudah mencapai belasan tahun, diamanahkan dengan sepenuh pertanggungjawaban agar boleh mengurus kelas mereka sendiri. Malangnya masih ada di antara mereka ini yang pecah amanah.
Mereka memilih subjek mana yang disukai sahaja untuk mereka masuk ke kelas tersebut sementelah lagi mereka dibiarkan tinggal bersendirian di dalam bilik sendiri.
Bukan semua ibu bapa daripada kalangan mereka yang terpelajar. Mereka tidak dapat membantu anak-anak yang mempunyai masalah dalam pelajaran dan tidak dapat menjawab persoalan-persoalan yang ditanya oleh anak-anak mereka. Mereka tidak mempunyai kepakaran dalam pendidikan.
Tidak dapat dinafikan juga wujudnya di sini suasana yang tidak sihat dalam sesebuah keluarga apabila berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan perceraian kedua-dua ibu bapa.
Murid akan berasa sangat tertekan sehingga hilang minat dan semangat untuk belajar serta terseksa mentalnya (mental tortured).
Lakukan sesuatu
Justeru, langkah-langkah yang progresif mestilah difikir dan diambil kira dalam menangani cabaran-cabaran yang ada ketika ini. Kita tidak mahu melihat ada generasi yang tercicir dalam pendidikan.
Sesuatu perlu dan harus dilakukan oleh ibu bapa, guru-guru, masyarakat dan pihak Kementerian Pendidikan itu sendiri. Jangan sampai ada generasi yang hilang minat langsung dalam menimba ilmu dan leka dengan games dalam gajet.
Bagi guru-guru seluruh Malaysia, tugas mendidik anak bangsa merupakan tugas seorang hakiki seorang guru. Ia pasti dan tetap, tidak akan berganjak.
Melahirkan generasi soleh wa musleh (baik dan membaikkan yang lain), generasi rabbani dan generasi muttaqin (bertakwa) adalah matlamat kita bersama.
Biar apa pun cabaran yang mendatang, guru-guru perlu cuba sedaya upaya untuk melahirkan generasi yang terbaik sebagai pewaris nusa pada masa akan datang.
Suriati Haron
Ahli Jawatankuasa
Wanita IKRAM Negeri Selangor