PdPR: Cabaran dan solusi

Walaupun sudah setahun pembelajaran dalam talian dilaksanakan, cabaran yang dihadapi terutama buat mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan amat dirasai sehingga kini.

 

Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), para guru, ibu bapa serta murid-murid. Antara cabaran yang dihadapi oleh pihak KPM adalah untuk menghasilkan penyelesaian yang terbaik dan bersesuaian untuk semua pihak dengan mengambil kira latar belakang kemampuan guru, ibu bapa dan murid-murid yang berbeza.

 

Perbezaan latar belakang pendidikan, pendapatan isi rumah serta kedudukan kediaman merupakan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pihak KPM untuk menghasilkan penyelesaian yang bermanfaat buat ramai pihak.

 

Cabaran PdPR

 

Para guru juga menghadapi cabaran yang pelbagai, seperti perlu menyesuaikan diri dengan sistem baharu serta menggunakan teknologi sebagai medium untuk mengajar anak murid. Ia bukanlah hal yang mudah terutama buat guru-guru yang tidak mahir menggunakan teknologi.

 

Contohnya, menggunakan Google Meet dan menyimpan bahan pembelajaran di Google Drive mungkin mudah buat mereka yang mahir menggunakan aplikasi teknologi tetapi sebaliknya buat mereka yang tidak mahir. Perkara sebegini bukan sahaja berlaku kepada para guru, malah ibu bapa juga ramai yang menghadapi masalah seperti ini. 

 

Selain itu, faktor lain yang boleh menjadi punca guru-guru, ibu bapa dan murid-murid mengalami masalah untuk meneruskan sesi PdPR adalah disebabkan kekurangan peranti serta data Internet yang tidak mencukupi.

 

Menurut laporan kajian ‘Covid-19 and Uneqeual Learning’ yang dilakukan oleh Khazanah Research Institute (KRI), sebanyak 37 peratus kanak-kanak yang tidak mempunyai komputer riba atau tablet yang sesuai untuk digunakan semasa PdPR.

 

Lebih parah apabila hanya 6 hingga 9 peratus yang memiliki komputer riba sendiri. Kekurangan peranti yang mencukupi serta Internet yang tidak stabil akan mengganggu proses PdPR untuk berjalan dengan lancar.

 

Jika guru yang menghadapi masalah tersebut, penyampaian guru kepada murid akan terjejas, dan kalau ia berlaku kepada murid-murid, proses penerimaan murid-murid pula yang akan terjejas. Jika proses penyampaian dan penerimaan terganggu, maka perkembangan ilmu akan turut terjejas.

 

Bekerja dari rumah merupakan norma baharu buat para guru serta kebanyakan ibu bapa. Jika sebelum ini, guru-guru dan ibu bapa tidak perlu menguruskan pengajian anak-anak mereka sewaktu sekolah dibuka, kini guru-guru dan ibu bapa perlu masuk campur segala urusan yang melibatkan pengajian anak-anak mereka.

 

Mereka perlu memastikan anak-anak memasuki kelas dalam talian pada waktu yang betul dan mempelajari subjek yang ditetapkan oleh pihak sekolah, memastikan kelas dalam talian anak-anak berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

 

Selain itu, mereka perlu membantu anak-anak menyiapkan projek atau latihan yang kebiasaannya dipantau oleh guru di sekolah dan memastikan kelas anak-anak mereka tidak bertindih antara satu sama lain.

 

Menguruskan kerja tetap mereka serta menguruskan pengajian anak-anak mereka di rumah perlu bergerak seiring dan ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan terutama buat ibu bapa yang mempunyai anak ramai.

 

Anak-anak juga mempunyai cabaran mereka sendiri. Untuk fokus dalam kelas atas talian serta melihat dan mendengar melalui layar komputer sepanjang sesi pembelajaran berlangsung merupakan cabaran yang besar buat anak-anak terutama mereka yang darjah 1, 2 dan 3.

 

Selain itu, kebanyakan kelas tidak membenarkan murid-murid untuk berbual sesama rakan sekelas sedangkan berbual antara satu sama lain dapat membantu perkembangan murid-murid seperti mengasah skil bersosial, komunikasi serta berfikir. 

 

Namun apa yang berlaku, kebiasaannya semasa PdPR berlangsung, hanya guru yang akan bercakap dari awal sehingga akhir kelas dan murid-murid tidak diberi ruang untuk berinteraksi sesama rakan sebaya mereka, meskipun tidak dinafikan bahawa masa juga boleh menjadi salah satu faktor.

 

Murid-murid juga cepat berasa bosan dengan kelas dalam talian ini, kerana mereka tidak dapat merasai suasana belajar dalam kelas di sekolah serta aktiviti-aktiviti yang terbatas seperti tidak dapat menjalankan eksperimen sains yang kebiasaannya di buat di makmal sekolah serta aktiviti kokurikulum seperti kelab dan sukan permainan.

 

Solusi PdPR

 

Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ramai pihak ini memerlukan solusi yang sewajarnya agar proses PdPR dapat berjalan dengan lancar. Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), satu kajian berkaitan pandangan ibu bapa tentang PdPR telah dijalankan.

 

Hasil daripada kajian tersebut, sebanyak 16,554 responden meminta agar pihak Kementerian dapat perhalusi masalah PdPR yang berlaku kini. Antara keluhan ibu bapa adalah jadual belajar yang padat serta lambakan kerja sekolah. Ibu bapa yang tidak mempunyai latar pendidikan yang tinggi juga merasa terbeban untuk membantu anak-anak mereka menyiapkan kerja rumah atau projek yang diberikan.

 

Justeru, saranan kepada pihak KPM agar segera mendapatkan maklum balas daripada pihak yang terbabit secara langsung dalam sektor pendidikan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Hal ini agar pihak KPM dapat mengeluarkan solusi yang berkesan kepada mereka, bukan solusi yang syok sendiri dan tidak membantu mengurangkan masalah yang dihadapi. 

 

Selain itu, mungkin pihak kementerian boleh mempertimbangkan agak sekolah dibuka buat murid-murid secara bergilir. Contohnya, murid tahun 1, 2 dan 3 bersekolah secara bersemuka 2 hari seminggu manakala murid tahun 4, 5 dan 6 bersekolah secara bersemuka selama 3 hari seminggu. Ini supaya pembelajaran bersemuka akan dapat membuatkan interaksi antara guru dan murid-murid lebih berkesan berbanding secara maya. 

 

Kementerian juga diminta agar memberikan kebebasan kepada pihak sekolah untuk menentukan kaedah PdPR yang bersesuaian dengan situasi semasa sekolah. Di samping itu, pihak Kementerian juga disarankan untuk memberikan peruntukan atau bantuan khas kepada pihak sekolah seperti bantuan data internet buat guru-guru sepanjang tempoh PdPR berjalan.

 

Untuk pihak sekolah, disarankan agar pihak pengurusan dapat menyediakan training yang dapat membantu guru-guru untuk menjalankan proses PdPR dengan lancar. Seperti kursus membuat slides yang dapat menarik perhatian murid, kursus menggunakan aplikasi-aplikasi yang terdapat dalam internet yang dapat membantu guru-guru untuk guna dalam kelas secara maya.

 

Pihak sekolah juga digalakkan untuk membuat sesi dialog bersama ibu bapa agar dapat mencari solusi yang memuaskan kedua-dua pihak serta memberikan taklimat yang jelas kepada ibu bapa tentang bagaimana proses PdPR yang dijalankan oleh pihak sekolah.

 

Antara solusi yang telah dilakukan oleh salah sebuah sekolah di bawah naungan Ikram Musleh adalah, mengehadkan jumlah subjek yang dipelajari dalam sehari. Maksimum hanya dua subjek sehari, dengan masa selama sejam untuk setiap kelas. Hal ini dapat mengurangkan masalah pertindihan masa belajar buat murid yang mempunyai ramai adik-beradik. 

 

Selain itu, membuat jadual subjek secara bergilir. Contoh, jadual minggu pertama dan ketiga, murid-murid hanya perlu mempelajari subjek teras manakala untuk jadual minggu kedua dan keempat, murid-murid akan mempelajari subjek elektif serta aktiviti-aktiviti kokurikulum.

 

Di samping itu, pihak sekolah juga hendaklah menggunakan buku teks, buku tulis dan buku aktiviti semaksimum mungkin. Murid-murid tidak perlu mencetak (print out) kertas latihan, ini kerana mengambil kira tidak semua keluarga mempunyai mesin pencetak (printer) di rumah.

 

Segala latihan hendaklah berpandukan buku teks dan buku aktiviti yang diguna oleh murid-murid. Guru-guru juga perlu memasukkan rakaman pembelajaran serta bahan-bahan seperti PowerPoint dan nota-nota yang perlu dibuat ke dalam Google Classroom agar murid-murid dapat merujuk semula jika mereka tidak dapat menghadiri kelas yang dijalankan.

 

Kesimpulannya, cabaran PdPR ini harus ditangani bersama. Semua pihak perlu bertoleransi antara satu sama lain, antara guru, ibu bapa, murid serta pihak kementerian. PdPR merupakan perkara yang asing sehingga kini, maka penyesuaian diri mungkin mengambil masa yang agak lama.

 

Justeru itu, semua pihak perlu bersama-sama berusaha untuk menjayakan PdPR agar anak-anak pada masa kini mendapat pendidikan terbaik yang akan menjadi bekalan buat mereka pada masa akan datang.

 

Ajda Nuha binti Ahmad Daniel

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia