PAT dilaksanakan sebagai memenuhi tuntutan Perlembagaan IKRAM iaitu fasal 24 yang menyebut, “Perhimpunan Ahli Teras berhak dihadiri oleh semua ahli teras IKRAM dan merupakan forum umum bagi Ahli Teras mengemukakan pandangan dan nasihat kepada kepimpinan IKRAM”.
Menurut Hj Zaid Kamaruddin, Setiausaha Agung IKRAM, “PAT adalah platform untuk ahli memberi muhasabah, melontar idea untuk memperbaiki prestasi IKRAM pada masa depan. PAT bukan tempat membuat keputusan atau memilih pemimpin.”
Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menyampaikan ucapan utama sempena PAT ini dengan menyorot pencapaian IKRAM selama setahun yang lalu, pergolakan antarabangsa dan strategi masa depan IKRAM.
Turut dibentangkan adalah rumusan Laporan Setiausaha Agung yang mengemukakan prestasi organisasi IKRAM yang disampaikan oleh Hj Mohamad Yaakub Idris, Penolong Setiusaha Agung IKRAM, juga pembentangan prestasi kewangan IKRAM oleh Bendahari IKRAM, Profesor Dr Alauddin Mohd Ali.
Seramai hampir 60 peserta PAT berucap mengemukakan pandangan, buah pemikiran baru dan teguran membina kepada kepimpinan IKRAM untuk menambahbaikkan amal dakwah dan aktivisme IKRAM demi mencapai visi dan misi perjuangan IKRAM.