Negara baru saja melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri. Keputusan pengundian, pelbagai komentar dan perkongsian analisis mengenai PRN telah kita ketahui.
Oleh itu, kini adalah masa untuk menyeru para pemimpin kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk mula dan kembali fokus kepada agenda membina negara dan negeri yang maju, harmoni dan rahmah.
Terutama menjelang sambutan Hari Merdeka, kita perlu ajak semua pemimpin dan rakyat untuk hayati semangat MERDEKA. Kita menyeru semua pemimpin dan rakyat untuk M.E.R.D.E.K.A.
M – Maju dan memandang ke hadapan dengan misi dan visi yang jelas (move forward).
E – Elakkan sebarang perselisihan dan konflik yang boleh membahayakan negara, negeri, rakyat dan agama (terutama 3R).
R – Rancang dan laksana secara efektif, efisien dan berintegriti semua agenda, program dan aktiviti yang boleh meningkatkan kemajuan ekonomi negara dan negeri, membina harmoni dalam kalangan rakyat semua peringkat dan membela kebajikan rakyat yang susah.
D – Doakan moga Allah jadikan negara kita negara yang lebih maju, harmoni dan diberkati. Doakan moga Allah berikan petunjuk dan kekuatan kepada semua pemimpin kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri (tanpa mengira parti) untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk negara, negeri dan rakyat, dengan cara terbaik dan berintegriti tinggi.
E – Eratkan hubungan dan kasih sayang sesama kaum atau rakyat di negara ini.
K – Kuatkan semangat patriotik (cinta tanah air) dan persefahaman politik bersih dalam kalangan kita khususnya generasi muda.
A – Ambil yang jernih, buang yang keruh. Jadikan apa yang baik yang telah berlaku sebagai panduan ke hadapan, yang buruk dijadikan sempadan.
Jom M.E.R.D.E.K.A.
Ahmad Raji Yaakub
Ahli Dewan Perwakilan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia