Ulang tahun kelahiran sering kali diraikan dengan penuh kegembiraan dan menerima ucapan atas meningkatnya usia seseorang itu.
Namun dalam keghairahan meraikan pertambahan usia, kita wajar mengambil waktu untuk merenung serta menghalusi, apakah nilai sebenar panjang umur dalam neraca agama?
Islam tidak menilai panjang umur sekadar angka, tetapi pada keberkatan dan manfaatnya. Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan tiadalah Kami panjangkan umur seseorang atau dikurangkan umurnya melainkan telah (tercatat) di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah.” (Surah Fatir: 11)
Ayat ini memberi isyarat bahawa usia yang panjang bukanlah perkara kecil. Ia merupakan ketentuan Ilahi yang penuh hikmah dan boleh menjadi nikmat atau ujian bergantung kepada bagaimana ia digunakan.
Nikmat atau istidraj?
Dalam banyak ayat, Allah SWT mengaitkan umur panjang dengan dua kemungkinan: keberkatan atau ujian. Malah, bagi sesetengah golongan yang ingkar, umur panjang itu hanyalah “penangguhan azab.”
“Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir itu menyangka bahawa Kami memberi tangguh kepada mereka itu adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya mereka bertambah-tambah dosa. Dan bagi mereka azab yang menghinakan.” (Surah Ali ‘Imran: 178)
Ayat ini memberi peringatan bahawa umur panjang tanpa amal soleh dan taubat hanyalah istidraj serta satu bentuk penangguhan azab yang menyesatkan.
Mereka yang berusia panjang
Dalam lipatan sejarah, ramai tokoh yang diberikan usia panjang oleh Allah SWT. Namun sebahagian daripadanya bukanlah manusia yang memberi manfaat, bahkan menjadi simbol kesombongan, kezaliman dan penentangan terhadap kebenaran. Dua nama yang kerap disebut ialah Firaun dan Raja Namrud.
Kisah mereka bukan sekadar sejarah, tetapi cermin kepada umat hari ini. Ia memberi amaran bahawa usia panjang tanpa iman dan amal hanya akan memperpanjang azab. Sebaliknya, hidup yang sekejap tetapi penuh takwa lebih bermakna di sisi Tuhan.
Firaun: Umur panjang yang menjadi laknat
Firaun yang disebut dalam al-Quran telah diberikan kekuasaan, umur panjang, empayar luas serta limpahan kekayaan. Namun semua itu tidak menjadikannya hamba yang bersyukur, malah semakin angkuh. Allah SWT merakamkan keangkuhan Firaun yang berkata kepada kaumnya:
“Akulah tuhan kamu yang paling tinggi.” (Surah An-Nazi’at: 24)
Firaun memerintah Mesir selama beberapa dekad. Namun di sebalik umur panjang dan kuasa yang besar, ia hanyut dalam kesombongan. Bahkan saat maut pun dirinya hanya sempat bertaubat dengan lidah, bukan dengan hati.
“Aku percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah daripada orang-orang Islam.” (Surah Yunus: 90)
Namun taubatnya ditolak kerana dilakukan ketika telah sangat menghampiri sakaratul maut. Maka, umur panjang tanpa taubat dan amal soleh akan menjadi sia-sia. Ia tidak menjanjikan keselamatan di akhirat kelak.
Firaun ialah gelaran bagi raja-raja Mesir purba. Dalam konteks al-Quran, Firaun yang disebut berulang kali ialah raja Mesir pada zaman Nabi Musa a.s. Allah SWT menggambarkan Firaun sebagai manusia paling zalim dan sombong.
“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah. Dia menindas segolongan daripada mereka…” (Surah al-Qasas: 4)
Namrud: Pemerintah yang mengaku Tuhan
Tahukah kita, Namrud merupakan raja agung Babylon yang dikatakan memerintah lebih 400 tahun? Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah wan-Nihayah menyebut Namrud sebagai antara manusia pertama yang mengaku dirinya sebagai Tuhan, selain Firaun. Ia pernah terlibat dalam debat terkenal dengan Nabi Ibrahim a.s.:
“Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.” Kata Namrud: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan.” (Surah Al-Baqarah: 258)
Namun, apabila Nabi Ibrahim berkata, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat,” Namrud pun terdiam. Akalnya tidak mampu menandingi hujah tauhid.
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Namrud dibunuh oleh seekor nyamuk yang masuk ke dalam lubang telinganya dan memakan otaknya. Ia adalah satu cara kematian hina yang menjadi simbol kekuasaan yang sia-sia.
Apa yang pasti, keangkuhan tidak akan mampu diselamatkan oleh umur yang panjang. Kematian tetap datang, dan ia boleh datang melalui sesuatu yang sekecil nyamuk.
Ashabul Kahfi: Pemuda yang “tidur” selama 309 tahun
Dalam kisah Ashabul Kahfi (Surah al-Kahfi ayat 9–26), Allah merakamkan peristiwa pemuda-pemuda beriman yang melarikan diri daripada pemerintah zalim lalu tertidur di dalam gua selama 309 tahun:
“Dan mereka telah tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan (tahun lagi).” (Surah al-Kahfi: 25)
Namun, mereka tidak membazirkan usia yang Allah pinjamkan itu. Mereka berpegang teguh pada iman dan bangkit kembali dalam zaman lain untuk menjadi peringatan kepada masyarakat tentang kekuasaan Allah.
Perlu juga kita sedari bahawa usia yang panjang juga boleh menjadi antara tanda-tanda keagungan Allah SWT jika diiringi iman, takwa dan prinsip beragama.
Usia yang diberkati
Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:
“Sebaik-baik manusia adalah yang panjang umurnya dan baik amalnya, dan seburuk-buruk manusia adalah yang panjang umurnya dan buruk amalnya.” (HR. Tirmizi)
Hadis ini menjelaskan dengan terang bahawa umur panjang bukan jaminan syurga dan ia hanya menjadi nikmat apabila diiringi dengan amal soleh. Sejarah telah mencatatkan bahawa Nabi Nuh a.s. hidup sehingga berusia 950 tahun.
Dalam Surah al-Ankabut ayat 14, firman Allah bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka ia tinggal di antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun.”
Usia yang panjang itu dihabiskan dalam dakwah yang beranjau, kesabaran dan penuh dengan ketaatan. Hanya segelintir yang beriman dengannya, tetapi beliau tetap tabah dan tidak sesekali mengalah atau mengingkari perintah Tuhan-Nya.
Usia panjang adalah peluang untuk berterusan berdakwah dan menyebar kebaikan walaupun tidak ramai yang menyahutnya.
Hasan al-Basri
Beliau hidup dalam zaman Bani Umayyah dan terkenal dengan zuhud dan kritikannya terhadap pemerintah yang zalim. Dalam usia yang panjang, beliau tidak pernah berhenti mengajar dan memberi nasihat kepada umat pada ketika itu.
Beliau muncul sebagai ulama terkemuka dalam peradaban Islam. Hasan al-Basri telah meninggal dunia di Basrah, Iraq, pada hari jumaat 5 Rejab 110 Hijrah (728 Masihi), pada umur 89 tahun. Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan.
Apa yang kita belajar?
Di Malaysia dan seluruh dunia, ramai individu berusia lanjut serta kekal aktif hingga ke usia tua. Namun, perlu kita insafi bahawa dengan angka yang panjang itu:
- Adakah ia dimanfaatkan untuk kebaikan atau hanya meneruskan kuasa?
- Adakah kita menyokong pemimpin kerana kebijaksanaan mereka atau sekadar nostalgia?
Islam mengajarkan bahawa keberkatan lebih utama daripada panjang umur. Bayangkanlah, Rasulullah SAW hanya hidup 63 tahun tetapi memberi impak yang sangat luar biasa sepanjang zaman hingga ke hari kiamat.
Usia panjang: Amanah atau ujian?
Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangka hayat purata global ialah:
- 73 tahun (lelaki ~70, wanita ~76)
- Jepun mencatat umur purata tertinggi: 84.3 tahun
- Purata jangka hayat Malaysia: 75 tahun
Panjang umur tidak bermakna jika tidak sihat, apalagi tidak bermanfaat. Namun, akan tetap ada mereka yang berumur panjang dan uzur, tetapi masih memberi manfaat kepada manusia lainnya.
Perlu kita sedari bahawa panjang usia bukan suatu kejayaan jika ia tidak memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Ia boleh menjadi suatu nikmat jika digunakan untuk amal soleh, dakwah dan membina umat.
Ia akan menjadi ujian jika ia membawa kepada keangkuhan, kemaksiatan dan melambatkan taubat, seterusnya mencipta azab jika ia menyesatkan diri serta masyarakat seperti Firaun dan juga Namrud.
Hayati dan amalkanlah doa yang diajar Rasulullah SAW yang sangat mendalam maknanya:
“Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku di penghujungnya, dan sebaik-baik amalku adalah penutupnya.” (HR. al-Bazzar)
Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah mengungkapkan:
“Ingatlah, sisa usia yang tersisa bagimu di dunia tak ternilai harganya dan tak dapat digantikan dengan yang lain. Dunia dan seisinya tak akan mampu menyamai nilai satu hari yang tersisa dari usiamu. Maka, jangan engkau tukar sisa usiamu yang sangat bernilai dengan kenikmatan dunia yang hina. Koreksilah dirimu setiap harinya, waspadalah atas kenikmatan dunia, jangan sampai engkau menyesal ketika telah datang ajal kematianmu. Semoga nasihat ini bermanfaat dan Allah berikan kita akhir hidup yang baik.” (Hilyatul Auliya’)
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia