Berikut adalah panduan dan tip daripada Pak Utih, khas untuk Gen Y yang telah berkahwin, apabila bertandang ke rumah mentua masing-masing.
Panduan Suami Gen Y melayani Ayah Mentua
Panduan menghormati dan melayani ayah mentua generasi “Baby boomer”. Isteri Gen-Y WAJIB menerangkan secara terperinci aktiviti atau budaya ayahnya (ayah mentua kepada suaminya) seharian kepada suaminya.
Contoh: Kebiasaan ayah bangun sebelum subuh dan pergi ke masjid dengan kereta. Selepas subuh, ayah singgah kedai kuih untuk dibawa balik ke rumah. Sambil menunggu mak sediakan minuman, ayah baca al-Quran di sofanya. Sekitar jam 7 pagi, ayah dan mak sarapan bersama. Kemudian ayah ke kebun di belakang rumah. Waktu duha, ayah naik ke rumah dan terus ke pekan membeli ikan dan sayuran untuk dimasak oleh mak. Mereka makan tengah hari selepas ayah solat zuhur di masjid. Petang-petang ayah dan mak berkebun bunga dan atau menyapu laman rumah. Maghrib, ayah ke masjid hinggalah ke isyak. Pulang dari masjid, barulah makan malam bersama-sama. Mak dan ayah bersembang panjang selepas makan malam dan kekadang mereka menonton TV bersama. Masuk tidur jam 11 malam.
Suami Gen Y mesti memahami dan mengikuti budaya seharian ayah mentuanya ini. Ini terdapat dalam Al-Qasas: 27, hubungan Nabi Musa a.s. dengan ayah mentuanya:
“Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah daripada kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku insya-Allah, daripada orang-orang yang baik layanannya.”
Berdasarkan maklumat budaya ayah mentua ini, jika suami Gen Y ini bertandang di rumah ayah mentuanya:
1. Wajib dia bangun awal dan tunggu ayah mentuanya di tepi kereta untuk bersama-sama solat subuh di masjid. Ayah mentua tidak sampai hati untuk mengetuk pintu bilik menantu ajak ke masjid.
2. Sekembali dari masjid, suami Gen Y belikan sendiri kuih untuk sarapan pagi. Paling afdal ialah tiga hari pertama berada di rumah ayah mentua itu, melainkan ayah mentua bertegas dia yang belikan.
3. Sarapan bersama-sama dan duduk di kerusi atau bersila atas lantai awal-awal sebelum ayah mentua datang. Jangan benarkan ayah mentua menunggu anak menantu untuk memulakan sarapan. Ini adalah satu adab menghormati orang tua di meja sarapan.
4. Suami Gen Y meminta kebenaran untuk bangun atau tunggu ayah mentua bangun daripada kerusinya selepas makan. Ia juga salah satu adab menghormati orang tua di meja makan.
5. Suami Gen Y menawarkan diri untuk ke pasar membeli sendiri barangan memasak untuk makan tengah hari, terutama sekali pada tiga hari pertama.
6. Setiap kali masuk waktu solat ke masjid, tunggu ayah mentua di keretanya. Melainkan kereta anda memang bersih dan harum, maka pelawalah ayah mentua menaiki kereta anda. Tunggu dia di kereta, bukan ayah mentua yang tunggu anda di keretanya. Pendekkan wirid kerana ini lebih afdal.
7. Bersedialah dengan kisah-kisah diri sendiri dan soalan-soalan untuk dijawab atau diceritakan oleh ayah mentua semasa sesi bersembang selepas makan malam itu. Waktu ini HARAM (dilarang) membelek tab, smartphone, iPad dan sewaktu dengannya.
8. Amatlah digalakkan suami Gen Y pergi melihat ayah mentua di kebun bertanyakan mengenai hal ehwal kebun dan bungaannya pada hari pertama. Pada hari berikutnya, digalakkan membantu dia menyapu, menyangkul, merumput dan sebagainya untuk mengeratkan lagi talian Gen Y dengan “Baby boomer”.
Panduan Isteri Gen Y melayani Ibu Mentua
Panduan ISTERI Gen Y menghormati dan melayani IBU mertua generasi “Baby boomer”. Suami Gen-Y WAJIB menerangkan secara terperinci aktiviti atau budaya ibunya (ibu mentua kepada isterinya) seharian kepada isterinya.
Contoh: Kebiasaan ibu bangun sebelum subuh, solat dan ke dapur menyiapkan sarapan pagi. Sekitar jam 7 pagi, ayah dan mak sarapan bersama. Kemudian, ibu membasuh kain baju. Sementara tunggu ayah kembali dari pekan, ibu mengemas dalam rumah, menyapu sampah hingga ke halaman. Sekitar jam 11 pagi, ibu mula memasak untuk makan tengah hari. Mereka makan tengah hari selepas ayah solat zuhur di masjid. Petang-petang ayah dan mak berkebun bunga dan atau menyapu laman rumah. Ibu menyediakan minum petang dan sedikit kudapan selepas mereka berkebun. Biasanya menikmati juadah petang di beranda rumah menghadap ke kebun. Ayah pulang dari masjid barulah makan malam bersama-sama. Mak dan ayah bersembang panjang selepas makan malam dan kekadang mereka menonton TV bersama. Sebelum masuk tidur, ibu membasuh semua pinggan mangkuk, kuali, periuk, belanga dan dapurnya sebersih-bersihnya.
Isteri Gen Y mesti memahami dan mengikuti budaya seharian IBU mentuanya ini. Berdasarkan aktiviti ibu mentuanya ini, maka berikut adalah tip untuk menghormati ibu mentuanya. Jika isteri Gen Y ini duduk di rumah ibu mertuanya:
1. Wajib dia bangun awal dan dengar isyarat atau bunyi yang ibu mentuanya telah ada di dapur. Terus ke dapur bersama ibu mertuanya. Tawarkan diri untuk membantu ibu mentua menyediakan sarapan pagi.
2. Waktu yang sama, perhati dan ingatkan kedudukan semua bahan masakan yang disimpan oleh ibu mentua. Ini memudahkan isteri mengambilnya jika dia memerlukan bahan-bahan itu.
3. Jika isteri Gen Y tadi dapati ada bahan-bahan masakan yang telah habis, bolehlah bisikkan kepada suaminya untuk membeli bahan-bahan itu.
4. Perhatikan cara ibu mentua menghidangkan sarapan dan tiru cara itu pada hari-hari berikutnya.
5. Jika isteri Gen Y dapati cara bancuhan makanan atau minuman oleh ibu mentuanya itu dia tidak pernah lihat, maka jangan berat mulut untuk meminta ibu mentua mengajarnya. Pelajarilah hingga mahir sepertimana bancuhan ibu mentua itu. Tujuannya agar masakan isteri Gen Y nanti serupa dengan ibunya.
6. Selesai sarapan, isteri Gen Y-lah yang membasuh pinggan mangkuk dan kemaskan meja makan itu, melainkan dilarang oleh ibu mentua. Sambil ibu mentua membasuh pinggan mangkuk, isteri Gen Y kembali ke bilik tidurnya, kemas dengan rapi, dan terus ke ruang utama (tetamu) dan kemaskan serta sapu sampah hingga ke halaman. Perhatikan cara ibu mentua mengemas pada hari pertama sahaja. Hari-hari yang berikutnya, isteri Gen Y-lah yang membuatkannya.
7. Bantu juga ibu mentua menyediakan makanan untuk makan tengah hari di dapur.
8. Isteri Gen Y menyediakan minum dan kudapan petang untuk ayah dan ibu mentuanya.
9. Duduk bersembang bersama keluarga selepas makan malam hinggalah ayah dan ibu mentua minta diri untuk berehat.
10. Pastikan isteri Gen Y yang basuh semua pinggan mangkuk dan mengemas dapur setiap malam.
11. Masa yang sesuai untuk baca e-mel atau pesanan di smartphone, tab atau laptop ialah semasa ibu dan ayah mentua di dalam bilik tidur masing-masing. HARAM (dilarang) menggunakannya semasa sarapan pagi, makan tengah hari dan semasa sesi bersembang.
Selamat Mencuba.
Ahmad Shafiai Uda Jaafar (Pak Utih)
Pengarah
Helping Boys Nurturing Girls Institute
Kolej UNITI




