Walaupun pergerakan umat Islam berada dalam keadaan terhad dan bersyarat, Hari Raya Aidilfitri tetap diraikan sebagai tanda mensyukuri berakhirnya bulan Ramadan dan memasuki bulan yang baharu.
Sebagai seorang Muslim, kita dianjurkan berhari raya dengan mengenakan pakaian terbaik dan berpenampilan elok di hadapan ahli kerabat keluarga.
Pakaian tersebut tidak semestinya perlu dibeli yang baharu, boleh saja memakai pakaian yang masih elok asalkan dipandang indah dan sopan ketika menyambut Aidilfitri.
Kepada rakan-rakan Muslimah yang sedang mencari pakaian wanita sempena Aidilfitri, di sini terdapat beberapa panduan dan tip memilih busana yang telah diringkaskan daripada tulisan Dr Ali bin Sa’id al-Ghamidi, antaranya iaitu:
Pertama: Tidak tipis dan jarang (transparent), kecuali ketika di hadapan suami.
Kedua: Tidak memakai pakaian ketat yang mengundang rangsangan.
Ketiga: Pakaian yang longgar dan menutup seluruh tubuh.
Keempat: Tidak tasyabbuh.
Kelima: Tidak memakainya dengan maksud ingin terkenal.
Keenam: Tidak boleh memakai pakaian bergambar sesuatu yang bernyawa dan gambar salib.
(Fikih Wanita Panduan Ibadah Wanita Lengkap Dan Praktis, rujuk hal. 349-365. Penerbit Aqwam. Penulis: Dr Ali bin Sa’id al-Ghamidi)
Selain daripada panduan yang dinukilkan oleh Dr Ali bin Sa’id Al-Ghamidi, ingin saya tambahkan lagi bahawa mengenakan pewangi juga antara yang ditegah sewaktu berdandan.
Walau bagaimanapun, sekiranya kaum wanita hendak memakai wangi-wangian, wanginya tersebut hanya dipakai secara ala kadar dan tidak keterlaluan sehingga boleh dihidu dengan lebih dekat oleh kaum ajnabi.
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
طِيبُ الرِّجَالِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ وَطِيبُ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ
“Minyak wangi lelaki itu baunya nampak sementara warnanya tidak, dan minyak wangi wanita itu warnanya nampak sementara baunya tidak.” (HR Tirmidzi, No. 2797 | Sahih)
Seterusnya, tidak memakai tumit tinggi kerana ini termasuk dalam kategori tabarruj seperti yang telah difatwakan oleh sebahagian ulama salaf serta solekan ‘make-up’ dan bulu mata palsu yang dilarang agama. Dalilnya, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ، وَالْوَاشِمَةَ وَالْمُسْتَوْشِمَةَ
“Allah melaknat wanita penyambung rambut dan yang disambung rambutnya, wanita pembuat tatu dan yang bertatu.” (HR Bukhari [No. 5933, 5937] dan Muslim [No. 2124])
Hadis ini juga dapat difahami bahawa memakai bulu mata palsu termasuk dalam larangan ini kerana perbuatan tersebut mampu memperdaya orang yang sedang melihatnya.
Kata Syaikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin:
“Menurut hemat saya, tidak diperbolehkan memasang bulu mata buatan (palsu) pada kedua matanya, kerana hal tersebut sama dengan memasang rambut palsu, dan Nabi SAW melaknat wanita yang memasang dan yang minta dipasangkan rambut palsu. Jika Nabi SAW telah melarang menyambungkan rambut kepada dengan rambut lainnya (memasang rambut palsu), maka memasang bulu mata palsu pun tidak boleh.”
“Juga tidak boleh memasang bulu mata palsu kerana alasan bulu mata yang asli tidak lentik atau pendek. Selayaknya seorang wanita Muslimah menerima dengan penuh kerelaan sesuatu yang telah ditakdirkan Allah, dan tidak perlu melakukan tipu daya atau merekayasa kecantikan, sehingga tamak kepada sesuatu yang tidak dimilikinya, seperti memiliki pakaian yang tidak patut dipakai oleh seorang wanita Muslimah.”
(Fatwa-Fatwa Terkini, hal. 81, jilid 3. Penerbit Darul Haq. Syaikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin)
Setiap kali perayaan Aidilfitri, para wanita menghidangkan penampilan tidak syarie kepada khalayak ramai tanpa segan silu. Oleh hal yang demikian, para wanita perlu mempunyai kesedaran tinggi akan kesan yang buruk terhadap bentuk-bentuk pemakaian dan perhiasan yang mencolok mata. Justeru, kaum wanita seharusnya:
1. Memantapkan lagi ilmu pengetahuan di dada dengan mempelajari hal-hal yang dilarang semasa berhias.
2. Menjauhi kemungkaran mahupun tasyabbuh dalam berpakaian seperti meniru-meniru gaya yang keterlaluan dan diharamkan.
3. Takut akan pembalasan daripada Allah Taala disebabkan tindakan yang mencemarkan nama baik agama dan maruah seorang wanita Muslimah.
Buat ibu bapa, nasihatilah anak-anak perempuan dengan cara mendidik dan memelihara kehormatan yang masih di bawah jagaan dan tanggungan. Buat para suami, lindungi para isteri dengan cara berusaha menegur secara tegas dan berhikmah terhadap perbuatan-perbuatan yang mendekati ke arah kemaksiatan.
Hari raya ialah hari kemenangan dan kesyukuran bagi umat Islam, bukan sekadar hanya untuk bersuka ria. Namun, dalam kemeriahan ini usahlah menompok dosa dan membuka jalan bagi manusia menabur fitnah serta sebagainya.
Hindarilah perbuatan tabarruj sehingga mampu membuka gejolak nafsu lelaki jalang yang melihat terutama sekali menjelangnya Hari Raya Aidilfitri. Sesungguhnya tabarruj termasuk dalam perbuatan jahiliah.
Syaikh Abu Malik Kamal menyatakan, “Tabarruj maknanya adalah seorang wanita menampakkan perhiasan dan keindahannya, juga sesuatu yang wajib ditutupi daripada segala hal yang mengundang syahwat kaum lelaki.”
(Ensiklopedia Fiqih Wanita, hal. 138, jilid 2. Penerbit Pustaka Ibnu Katsir. Penulis: Syeikh Abu Malik Kamal bin as-Sayyid Salim)
Semestinya kemeriahan berhari raya lebih berseri lagi sekiranya busana tersebut mematuhi syariat, bersederhana, tidak berlebih-lebihan dan paling utama selesa dipakai. Rasulullah SAW bersabda:
كُلُوا وَاشْرَبُوا وَتَصَدَّقُوا والبَسُوا مَا لَمْ يُخَالِطْهُ إِسْرَافٌ أَوْ مَخِيلَةٌ
“Makan, minum, bersedekah dan berpakaianlah tanpa disertai dengan sikap berlebih-lebihan atau sikap sombong.” (HR An-Nasa’i, No. 2559 | Hadis Hasan)
Syuhara Suriati