Pandemik dan keutamaan sedekah

Sering kita mendengar hadis sahih riwayat daripada Bukhari dan Muslim yang berbunyi, “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.” 

 

Hadis ini membawa maksud bahawa orang yang memberi itu lebih baik daripada orang yang menerima. Perkara ini lazim dengan amalan bersedekah yang merupakan satu amalan mulia dengan mengeluarkan harta untuk diberikan kepada golongan-golongan tertentu yang mana padanya diharapkan pahala daripada Allah SWT. 

 

Perbuatan sedekah ini sendiri sebenarnya sudah banyak dicontohi oleh baginda Rasulullah SAW yang merupakan seorang peribadi unggul yang sangat dermawan dan suka bersedekah.

 

Sedekah tidak semestinya ditujukan kepada golongan yang tidak mampu dan pemberian sedekah juga tidak terbatas hanya dalam bentuk wang ringgit semata-mata.

 

Namun perlu kita ketahui juga bahawa sedekah tidak selamanya mendatangkan pahala, ada keadaan di mana amalan ini bertukar menjadi sia-sia dan tidak mendapat nilaian pahala di sisi Allah SWT.

 

Sebagai seorang individu Muslim, perlu kita ketahui bahawa amalan bersedekah ini amatlah digalakkan oleh Islam kerana selain ia dicontohi oleh baginda Rasul dan para sahabat, sedekah juga mendatangkan pahala malahan dapat menyucikan harta dan jiwa serta dapat mengikis sifat tamak dan bakhil dalam diri individu dan kalangan umat Islam itu sendiri.

 

Maka amatlah mulia jika kita mendidik diri dan keluarga kita dengan amalan ini sejak kecil dan sama-sama mengajak individu lain untuk bersedekah, kerana padanya ada kebaikan yang sudah tidak ada keraguan lagi padanya. Dalam Surah An-Nisaa’ pada ayat 114, Allah Taala berfirman: 

 

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan siapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

 

Di Malaysia sendiri khususnya banyak pertubuhan kebajikan yang telah dibangunkan sebagai salah satu inisiatif untuk membantu golongan dan individu yang memerlukan. 

 

Mereka inilah golongan yang diamanahkan oleh masyarakat dengan wang ringgit dan apa sahaja bentuk sumbangan untuk menyampaikan bantuan kepada orang-orang yang berhak, dan golongan ini jugalah yang banyak menggalakkan individu untuk melakukan amal jariah dan bersedekah.

 

 Adakah sedekah mengurangkan harta? 

 

Sudah pasti sama sekali sedekah tidak akan mengurangkan harta malahan akan dilipatgandakan oleh Allah SWT dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Perkara ini telah dijamin oleh Allah sendiri sepertimana yang disebutkan dalam al-Quran.

 

“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 261)

 

Selain itu, dalam hadis juga disebutkan bahawa para malaikat turut mendoakan kebaikan untuk orang yang bersedekah. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

 

“Ketika hamba berada pada setiap pagi, ada dua malaikat yang turun dan berdoa, “Ya Allah berikanlah ganti kepada yang gemar bersedekah.” Malaikat yang lain berdoa, “Ya Allah, berikanlah kerugiaan bagi mereka yang enggan bersedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Itulah janji Allah dalam al-Quran kepada hamba yang bersedekah di jalan-Nya. Mereka tidak akan disia-siakan walaupun nilai sedekah tersebut sedikit, tetapi akan dilipatgandakan dengan ganjaran yang lebih banyak lagi dalam bentuk yang lebih baik.

 

Itulah berita gembira dan cara Islam memberi galakan kepada setiap individu Muslim untuk melakukan kebaikan. Justeru, setiap individu Muslim perlu yakin bahawa setiap amalan kebaikan memiliki keistimewaan yang sangat luar biasa sekiranya ia diamalkan dalam hidup mereka.

 

Tidak ada satu perbuatan yang dilakukan oleh seorang mukmin sia-sia melainkan semuanya akan dihitung. Maka, pilihlah untuk melakukan hal-hal yang baik agar apa yang dihisab juga perkara-perkara yang baik.

 

Selain itu, bersedekah juga dapat mendidik hati ke arah ketakwaan kepada Allah SWT atas rezeki yang dilimpahkan-Nya. Dalam hal bersedekah ini, umat Islam digalakkan bersedekah sewaktu sihat dan dalam keadaan yang senang.

 

Pernah suatu ketika Rasulullah saw didatangi oleh seorang lelaki lalu ditanya, ”Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?” Lalu baginda menjawab, “Kamu bersedekah dalam keadaan kamu sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan menjadi orang kaya…” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

Mengapa sedekah dalam keadaan kikir dikatakan baik?

 

Hal ini kerana ketika mana seseorang itu bersedekah dalam keadaan tersebut, seseorang itu mencabar dirinya untuk bersedekah biarpun ada rasa berkira-kira dan berat, secara tidak langsung dapat mengikis sifat mazmumah dalam diri.

 

Apabila sebut tentang sedekah, janganlah kita kecilkan skop sedekah tersebut semata-mata dengan pemberian wang ringgit. Sedekah itu luas cakupannya, tidak dengan harta saja, tetapi juga dengan setiap perbuatan yang baik, sepertimana yang disebutkan dalam suatu hadis.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu kalimat yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

 

Melihat situasi dan keadaan manusia pada ketika pandemik Covid-19 ini, ramai individu yang terkesan dan diuji dengan pelbagai masalah seperti masalah kewangan, kesihatan mental, keluarga, tambahan pula bilangan kes bunuh diri semakin hari semakin meningkat. 

 

Tidak lain, hal ini kemungkinan disebabkan tekanan jiwa, kemurungan atau tekanan hidup dan sebagainya. Maka, setiap jenis sedekah seperti bantuan kewangan, memberi makan, mengambil berat tentang keadaan jiran tetangga, mengucapkan hal-hal yang baik seperti nasihat sokongan moral dalam situasi kini amat-amatlah digalakkan dan akan sangat-sangat membantu antara satu sama lain.

 

Memberi bantuan dan menolong sesama Muslim dalam keadaaan kita sendiri dalam keadaan diuji justeru mendatangkan lebih banyak pahala dan kebaikan buat diri kita.

 

Sesungguhnya setiap perbuatan baik jika dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tawaduk, maka sudah pasti ganjaran dan balasannya akan didapatkan  disisi Allah SWT. 

 

Namun begitu, ketika mana satu amalan dikotori dengan sifat riyak, takabur dan sum’ah maka sudah pasti akan bertukar menjadi sia-sia, begitu juga dengan amalan bersedekah.

 

Ketika mana  kita bersedekah tetapi kita menyakiti perasaan saudara kita dengan menyebut-nyebut akan pemberian yang diberikan atau kita bersedekah dengan tujuan ingin disebut sebagai dermawan, maka hal-hal tersebut malah akan menjadikan amalan kita bocor dan rosak.

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakkan sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima), seperti orang yang menginfakkan hartanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.”

“Perumpamaannya (orang itu) seperti batu yang licin yang di atasnya ada debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu licin lagi. Mereka tidak memperoleh sesuatu apa pun daripada apa yang mereka kerjakan. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir.” (Al-Baqarah: 264)

 

Dalam ayat tersebut secara jelas Allah SWT telah menyatakan perkara-perkara yang boleh merosakkan amalan sedekah seseorang.

 

Oleh yang demikian, antara perkara yang perlu kita perhalusi dan titik beratkan adalah menjaga niat serta sentiasa memperbaharuinya agar keikhlasan dan tujuan sebenar kita dalam beramal terpelihara, kerana dalam satu hadis nabi yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab RA mafhumnya:

 

“Sesungguhnya setiap amalan bergantung pada niatnya dan setiap orang akan mendapat apa yang dia niatkan…” 

 

Ini merupakan hadis pertama yang ditulis dalam kitab Hadis 40 Imam Nawawi. Maka dengan ini, amatlah penting kepada setiap individu Muslim untuk menjaga niat dalam setiap amalan dalam kehidupan agar setiap apa yang dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

 

Kesimpulannya, amalan sedekah amatlah dituntut dalam Islam dan terdapat banyak fadilat bersedekah dan sekiranya jika kita melazimi amalan ini dalam kehidupan seharian, sudah pasti kehidupan kita akan jauh bertambah baik serta ekonomi umat Islam juga akan meningkat.

 

Nurul Najwa Abd Halim
Universiti Al-Azhar, Mesir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia