Paksa murid puasa: Kejahilan dalam ketaatan

Sedari awal, seharusnya anak-anak didedahkan dengan solat, diajar mengenal Tuhannya dengan melakukan solat sebagaimana Rukun Islam kedua, menunaikan solat fardu lima waktu.

 

Memang bukan mudah untuk melatih anak-anak melakukannya, namun ia perlu dipupuk dan dididik sedari awal usia lagi. Agar bila sampai waktunya nanti, dirinya sendiri melakukannya dengan kefahaman dan tuntutan sebagai seorang Muslim.

 

Namun, pada waktu usia anak masih kecil lagi, tidak haruslah dipaksa untuk melakukannya. 

 

Sebagai ibu bapa mahupun pendidik, jika anak-anak dimasukkan ke taska atau telah bersekolah, ia perlu terus sabar memperkenalkan tentang kewajipan solat itu kepada mereka.

 

Tiada paksaan sebelum baligh

 

Begitu juga jika menyentuh tentang puasa. Anak-anak yang belum mencapai usia baligh sebagaimana yang ditentukan agama, tidak seharusnya dipaksa mengerjakannya hingga mendatangkan sesuatu mudarat kepada diri mereka seperti yang berlaku baru-baru ini.

 

Tular berita seorang guru yang memaksa muridnya yang masih kecil usianya agar terus berpuasa dan ia menjadi bualan hangat  di media sosial. Dilaporkan, sebelumnya guru tersebut telah mengambil makanan dan minuman muridnya itu.

 

Adakah guru itu seorang bukan Islam? Atau, adakah dirinya tidak memahami makna puasa itu sendiri sehingga memaksa anak kecil untuk melaksanakannya?

 

Jika ia seorang Islam, seharusnya perkara ini tidak terjadi dan berlaku kerana telah jelas sesuatu yang diperintahkan kepada umat Islam dan menjadi kewajipan bagi mereka adalah apabila telah mencapai usia baligh.

 

Janganlah isu seperti ini berulang lagi hingga menampakkan betapa Islam itu memberatkan sesuatu ibadah sampai mendatangkan mudarat.

 

Apa tidaknya, anak tersebut dikatakan sangat lemah hingga mengatakan benci berpuasa, benci sekolah, benci kawan-kawan. Anak tersebut dikatakan tidak mahu berpuasa lagi selepas ini, dan tidak mahu lagi ke sekolah.

 

Begitulah jawabnya ketika ditanya ibunya, si anak memberitahu makanan dan minumannya diambil oleh cikgu.

 

“Siapa yang tidak berpuasa ditegur di khalayak kelas. Ada rakan sekelas yang tertawakan mereka yang tidak puasa.”

 

Dan anak itu memberitahu, selepas waktu sekolah habis, baru bekal makanan dipulangkan dengan pesanan sekali lagi daripada cikgu agar berpuasa sehingga masuk waktu berbuka. Si anak hanya menurut kerana takut dimarahi.

 

Ajak dan pujuklah

 

Sebagaimana yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi status Facebooknya, beliau turut memberikan pendapatnya:

 

“Bila mengajar kanak-kanak lakukan ibadah, hendaklah ia bersifat mengajak dan memujuk.”

 

Beliau menegaskan, tidak usahlah ia dalam keadaan memaksa atau dengan cara yang memalukan mereka.

 

“Kita semua mahukan anak-anak yang membesar dengan cinta terhadap agama. Kita kena lakukannya dengan berhikmah, kerana jika sudah terbit benci, maka sukar nak disemai cinta di kemudiannya.”

 

Kamarul Ariffin yang bertugas sebagai Pegawai Kesihatan dan Perubatan berkata, mereka mungkin mampu berpuasa sampai ke maghrib, namun ia perlukan persediaan serta penyesuaian berperingkat untuk elakkan risiko kemudaratan. 

 

“Kita ada sekitar 30 hari, insya-Allah cukup masa untuk mendidik, cukup masa untuk melatih, cukup masa untuk memberi sokongan. Sampai masa nanti, kita raikan kejayaan kita sama-sama.”

 

Pada kesempatan itu, beliau turut mengingatkan netizen tidak mengecam cikgu secara umum.

 

“Tidak semua cikgu begini. Ada yang  bagus, prihatin dan berempati.”

 

Kefahaman itu penting

 

Melihat kepada komentar netizen menerusi FB Antoni Sheridan Derby berkata:

 

“Sebagai seorang non-Muslim, saya harap satu hari nanti, dapat merasa puasa seperti mana kawan-kawan Muslim, sekurang kurangnya sekali.”

 

Menurutnya, beliau ada sedikit membaca dan terdedah kepada amalan-amalan mereka yang berpuasa.

 

“Bukan nak buka pekung dan aibkan sesiapa tetapi puasa sejati memang susah, mental nak kena kuat, tabah, akur dan sabar.”

 

Antoni berkata, untuk budak-budak kecil, beliau merasakan mereka boleh belajar contoh-contoh yang lemah lembut daripada ibu bapa, yang sebaiknya menyediakan mereka dengan keadaan fizikal dan mental secukupnya.

 

“Mereka belajar dengan cara terbaik jika tidak dipaksa dan diajar kenapa dan bagaimana (berpuasa).”

 

Azrin Zarin pula berkata, “Betul tu. Jika dimalukan seperti itu akan menerbitkan perasaan budak-budak rasa benci pada Islam.”

 

Menerusi respons Bashah Bakar pula, beliau berkisah:

 

“Satu perkongsian saya dengar daripada Dato’ Hassan Din. Puasa untuk anak-anak tidak dititikberatkan lagi. Yang penting solat semasa berumur 7 tahun, ibu bapa kena tekankan hal solat. Jadi, sebagai ibu bapa, jangan memberatkan puasa bagi anak-anak kecil.”

 

Tambahnya lagi, ajarkan tentang solat dahulu. Dalam pada itu, Nur Ridh bersetuju dengan saranan mendidik anak berpuasa sejak kecil walaupun setengah hari.

 

“Berilah mereka kefahaman tentang tuntutan Allah untuk berpuasa dan nyatakan ganjaran yang Allah berikan. Di samping itu, berilah hadiah sebagai tanda kita menghargai kesungguhan anak-anak kecil kita untuk belajar melaksanakan rukun Islam ketiga ini.”

 

Namun jelasnya, yang paling utama ialah mewajibkan anak-anak mendirikan solat.

 

“Dan kita yang utama sekali kena solat. Bukan suruh anak solat tapi mak ayahnya tidak solat.”

 

Tidak terkecuali terdapat juga respons netizen dengan mengecam cikgu tersebut berikutan tindakan yang tidak sewajarnya itu.

 

“Toksiknya cikgu ni. Menyampah pulak!” kata Nurul Ilham.

 

Tentang Rukun Islam

 

Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda:

 

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلهَ إِلَّا اللهُ وَ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ ، وَ إِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَ إِيْتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَ حَجِّ الْبَيْتِ ، وَ صَوْمِ رَمَضَانَ 

( رواه البخاري و مسلم )

“Islam dibangunkan atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hadis berkenaan kepada Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial OUM, Dr Hamidah Mat, beliau berkata, terdapat banyak jaringan bagi riwayat, ada yang mengedepankan puasa, haji ke atas puasa, ada yang mengedepankan puasa ke atas haji.

 

“Dalam al-Quran, penerangan tentang perkara-perkara yang menjadi rukun Islam diterangkan secara terpecah-pecah dan berasingan. Solat sering digandingkan dengan zakat dan sebagainya.”

 

Menurutnya, ini bermakna, turutan dalam rukun Islam bukan susunan prioriti kerana semuanya adalah asas yang sangat penting.

 

“Dalam kata lain, susunan tersebut bersifat ijtihad manusia, jadi, tidak menjadi isu yang mana dahulu.”

 

Namun, ulama sepakat syahadah adalah yang pertama kerana ia penentu keimanan dan solat merupakan ibadah terpenting, terbukti dengan dalil-dalil yang menyokong.

 

“Manakala susunan zakat, puasa dan haji didapati susunannya tidak konsisten, namun kesemuanya adalah asas kepada keislaman seseorang.”

 

Demikianlah pandangan Dr Hamidah mengenai hal ini, mengenai jaringan riwayat hadis ini, boleh dirujuk pada pautan https://bit.ly/3O58W4D

 

Wajib untuk baligh

 

Menyentuh kepada isu yang diutarakan, beliau yang juga Penasihat kepada Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN) berkata, apabila berbicara tentang hal-hal berkaitan ibadah, sesetengah daripadanya melupakan aspek kefahaman terhadap ibadah itu sendiri.

 

“Sama ada (mereka) tidak sedar akan kejahilan tersebut, atau sengaja ingin menutup kejahilan dengan ketaatan yang membuta tuli.”

 

Menurutnya, satu hal yang paling utama yang harus disedari oleh setiap umat Islam ialah pensyariatan hukum-hukum Islam adalah bertujuan membawa rahmat dan kebaikan kepada manusia. 

 

“Dalam ibadah puasa contohnya, matlamat utama pensyariatan kewajipan puasa Ramadan ialah untuk menjana takwa dalam diri seorang Muslim.”

 

Jelasnya, Ini adalah kerana takwa adalah katalis (pemangkin) bagi seorang Muslim yang akan menentukan hubungannya dengan Allah dan manusia yang lain. Bahkan, takwalah yang membezakan manusia dengan manusia lain di sisi Allah Taala.

 

Menyorot tentang kewajipan puasa, semua maklum bahawa puasa hanya wajib apabila seseorang itu mencapai usia baligh.

 

“Hal ini merupakan satu rahmat, kerana Allah Taala Maha Mengetahui tentang kemampuan manusia kepada masa dan waktu untuk berlatih dan dididik dengan beribadah ketika usia sebelum baligh.”

 

Maka menurutnya, hal ini perlu difahami oleh setiap daripada kalangan ibu bapa mahupun guru dalam mendidik.

 

“Sedangkan Nabi Sallallahualaihiwasallam tidak pernah mencadangkan untuk kita memaksa anak-anak kecil berpuasa. Janganlah kita meletakkan kepuasan kita sebagai ibu bapa mahupun guru sebagai penanda aras kejayaan mendidik,” kata Hamidah.

 

Apatah lagi, jangan pula memandang rendah kanak-kanak yang masih belum mampu menahan lapar dan memalukannya di hadapan rakan-rakannya.

 

“Pokoknya mendidik puasa mestilah didasarkan kepada takwa yang ingin diraih, bukan penat dan lapar yang ingin ditagih.”

 

Dalam pada itu, Cikgu Fadli Salleh dalam hantaran Facebooknya berkata, paksaan sebegini zalim namanya kerana tidak meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya.

 

“Budak usia 6-9 tahun, perintah wajib belum jatuh atas mereka untuk buat amal ibadah termasuk puasa.”

 

Tegasnya, mewajibkan anak-anak sebesar ini puasa, paksa mereka jangan makan jangan minum, tidak membenarkan mereka bawa air dan bekal bagi yang jelas tidak berpuasa adalah tindakan yang tidak betul.

 

“Benda tidak betul, kena tegur dan betulkan.”

 

Justeru, untuk tidak perkara sebegini berulang dan berulang lagi setiap kali Ramadan tiba, pihak kerajaan khususnya di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Kementerian Pendidikan perlu berperanan dalam mengemukakan garis panduan kepada sekolah agar guru tidak melampaui batas yang sepatutnya terhadap murid-murid khususnya yang bersekolah rendah mahupun tadika.

 

Ia sebagai kuat kuasa yang tegas agar para guru mengambil peduli dan rasa bertanggungjawab atas apa-apa perbuatan dan sikap yang tidak bersesuaian dengan tuntutan sebagai seorang Islam. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia