Jadilah ‘orang agama’ yang mendidik

Penurunan hukum-hukum syarak sebagai panduan manusia merupakan satu keuntungan kepada sekalian manusia itu sendiri. Dalam al-Quran, Allah Taala telah menegaskan bahawa pengutusan Nabi Muhammad SAW merupakan rahmat kepada sekalian alam.

 

Maka, sudah menjadi maklum kepada manusia, bukan sahaja mengikuti panduan syariat secara buta-buta, malah perlu mendahuluinya dengan kefahaman dan penghayatan yang mendalam.

 

Pada peringkat individu, syariah perlu diikut-ikut dahulu ketika sebelum baligh, kemudian menjelang usia yang selayaknya, syariah yang diikut-ikut tersebut perlulah dimengertikan dengan kefahaman yang mendalam dan penghayatan yang akan memberikan makna kepada kehidupan seorang Muslim itu sendiri. Itulah logiknya tanggungjawab agama tertakluk kepada usia taklif iaitu baligh.

 

Ini merupakan isyarat awal bahawa syariat yang diturunkan adalah bersifat meraikan keperluan dan menjaga kepentingan manusia.

 

Keunggulan syariah

 

Salah satu ciri keunggulan syariah ialah sifat Rabbani iaitu pada keunggulan sumbernya iaitu al-Quran yang terpelihara dan as-Sunnah yang dijaga rapi tentang kebenaran dan periwayatannya.

 

Namun, ini tidak bermakna manusia boleh mengetepikan akalnya untuk menyikapi hal-hal berkaitan agama. Akal merupakan aset utama kepada manusia untuk menjalani kehidupan, bahkan akallah yang menjadi sebab lantikan manusia sebagai khalifah untuk memakmurkan alam.

 

Justeru, kefahaman terhadap syariah mestilah sentiasa diletakkan dalam kerangka realiti kehidupan manusia.

 

Perkara ini bukanlah sesuatu yang janggal, jika kita telusuri hadis-hadis berkaitan ibadah khusus sekalipun, seringkali Nabi Muhammad SAW memberikan panduan kepada para sahabat yang mengisyaratkan kepada kita bahawa hukum-hukum syarak yang kita junjung ini sangat dekat dengan keperluan manusia sebagai manusia.

 

Contohnya dalam situasi yang memerlukan pilihan antara dua perkara, iaitu antara solat yang merupakan kewajipan asas dalam agama dan makan yang merupakan keperluan asas fizikal manusia, Rasulullah SAW telah memberitahu kepada sahabat untuk mendahulukan makan, apalagi dalam keadaan lapar. 

 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ

“Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan, maka mulakanlah dengan makanan.” (HR Bukhari, No. 5463)

 

Makna hadis yang jelas ini disokong oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mukminin Aisyah RA iaitu, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:” 

 

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ، وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ

“Tidak sempurna solat apabila makanan telah dihidangkan ataupun ketika seseorang itu menahan daripada dua benda kotor (buang air kecil dan besar).” (HR Muslim, No. 60)

 

Dua hadis di atas bukan sahaja menjelaskan tentang hukum solat, malah memberikan isyarat kepada kita bahawa dalam hal-hal berkaitan ibadah khusus sekalipun, realiti dan keperluan hakiki manusia dan bersifat ‘duniawi’ iaitu makan, membuang air kecil dan besar mestilah tidak diketepikan. 

 

Kesenjangan memahami syariat

 

Perbincangan ini mengingatkan saya kepada sebuah pertanyaan yang pernah diajukan oleh seorang sahabat yang bermusafir bersama sekumpulan ‘orang agama.’

 

Ketika mereka berhenti untuk rehat dan makan, seorang daripada ‘orang agama’ tersebut tanpa usul tanya terus mengajak mereka untuk bersolat sedangkan mereka semua dalam kelaparan dan makanan telah tersedia.

 

Ketika itu, hadirin yang ada bersama sudah tidak senang dengan tindakan ‘orang agama’ tersebut tetapi segan untuk bersuara, mungkin kerana kedudukan beliau yang dianggap sebagai orang yang paling faham akan hukum-hakam.

 

Suasana menjengkelkan ini sedikit sebanyak telah memalitkan kesenjangan manusiawi dalam memahami syariat sedangkan ‘orang agama’ tersebut dianggap sebagai orang yang paling faham akan syariat.

 

Hadis-hadis seperti di atas mewakili hadis-hadis lain yang perlu  didalami dan diteliti supaya syariat bukan sahaja dimiliki oleh ‘orang agama’, tetapi difahami dengan sebaiknya oleh setiap Muslim yang menerima Islam sebagai satu cara hidup.

 

Islam juga tidak perlu kepada ‘orang agama’ yang sentiasa ingin menunjukkan bahawa dialah yang paling faham akan hukum-hukum, lantas mengetepikan bahawa hak memahami syariat ialah hak semua.

 

Syariat adalah untuk semua, maka memahami syariat juga adalah hak semua. Dunia hari ini memerlukan ‘orang agama’ yang berjiwa mendidik, iaitu menyampaikan Islam bukan hanya untuk memberitahu tetapi untuk memberikan kefahaman, pengertian dan juga makna.

 

Masyarakat hari ini perlukan ‘orang agama’ yang betul-betul faham dan dapat membumikan syariat serta memanusiakan syariat, supaya syariat itu sendiri akan mendapat tempat yang selayaknya dalam kehidupan.

 

Berbalik kepada cerita ‘orang agama’ dalam soalan sahabat saya itu, seeloknya ‘orang agama’ tersebut memberikan pilihan kepada hadirin untuk memberikan cadangan atau paling tidak menyebut tentang hadis Anas bin Malik atau Aisyah RA, lalu keputusan yang mereka ambil pada ketika itu akan bersifat kolektif, berpanduan dan dekat dengan tujuan syariat yang sangat manusiawi ini.

 

Umat Islam diraikan dengan syariat

 

Begitu juga dalam keadaan-keadaan lain, kita dapat lihat bagaimana syariat mementingkan keperluan manusia sebagai manusia.

 

Dalam hukum solat berjemaah misalnya, Rasulullah SAW pernah berasa sangat marah apabila mengetahui solat berjemaah bacaannya dipanjangkan sehingga menimbulkan kesusahanan kepada makmum.

 

Seorang imam (yang sudah tentu dianggap sebagai ‘orang agama’) seharusnya meneliti dan mengambil perhatian terhadap kadar panjang solatnya agar tidak menyebabkan makmum berasa berat dan susah.

 

Makmum terdiri daripada pelbagai latar belakang yang harus diraikan terutamanya mereka yang sakit, uzur, terlalu sibuk, ibu yang mempunyai anak kecil dan lain-lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud, beliau berkata:

 

Ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku ini terlambat daripada solat disebabkan ada fulan yang memanjangkan solat ketika dia mengimami kami.” Kata Abu Mas’ud: Aku tidak melihat Rasulullah marah pada hari Baginda memberi peringatan melainkan pada hari tersebut. Kemudian Nabi bersabda: “Sesungguhnya ada antara kalian yang akan lari. Sesiapa yang menjadi imam, maka ringkaskan. Ada dalam kalangan makmum yang lemah, ada yang tua dan ada yang mempunyai hajat (untuk diselesaikan).” (HR Bukhari, No. 395)

 

Integrasikan kefahaman dalam ibadah

 

Begitulah panduan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, buat kita ikuti. Syariat yang diturunkan seharusnya difahami lalu dibumikan kerana penurunan syariat ialah untuk seluruh makhluk di bumi.

 

Bermula dengan kefahaman yang benar, dipaksikan kepada akidah yang jelas dan luhur, maka akan hiduplah Muslim dan mukmin yang benar-benar mengembalikan erti beragama yang telah hilang.

 

Selagi masih ada kesempatan dan ruang diberikan-Nya, maka pelajari dan ketahuilah sebagaimana kata Asy-Syeikh Ibnu Utsaimin rahimahullah:

 

لا يشتــرط فـي الداعـية أن يبلـغ مبـلغاً كبـيراً فـي العــلم لكـن يشتـرط أن يـكون عالـماً فـيما يدعـو إلــيه

“Tidaklah disyaratkan bagi seorang dai itu harus memiliki banyak ilmu, namun yang dipersyaratkan adalah dia memiliki ilmu terhadap apa yang ia dakwahkan.” (Al-Fatawa: 27/57)

 

Dr Hamidah Mat
Pensyarah Kanan, Kluster Pendidikan dan Sains Sosial (CESS OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia