OKU Dipukul: Kembalikan Kompas Moral Masyarakat

Kejadian menyayat hati di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, yang menyaksikan seorang lelaki OKU mental dipukul dan dimaki menonjolkan sisi gelap masyarakat yang tidak manusiawi. 

Insiden ini bukan sahaja mencerminkan kekurangan empati dan adab dalam masyarakat kita, tetapi juga menunjukkan keperluan mendesak untuk mendidik masyarakat dengan nilai-nilai luhur yang sepatutnya menjadi teras kehidupan bermasyarakat.

Menghormati martabat manusia 

Setiap manusia, tidak kira keadaan mental, fizikal atau apa jua status sosialnya berhak diperlakukan dengan hormat dan rahmah. Inilah ajaran agama Islam yang diturunkan untuk memperbaiki akhlak dan mengangkat martabat manusia.

Kezaliman terhadap insan yang lemah dan tidak berdaya adalah bertentangan dengan nilai agama dan norma kemanusiaan. Islam, sebagai agama yang menyeru kepada rahmat, mengajar kita untuk membantu dan melindungi golongan yang memerlukan, bukan menganiaya mereka. 

Ini bukan kes pertama seumpama ini berlaku di negara ini. Tindakan memukul, menyeret dan memalukan mangsa secara terbuka mencerminkan kejahilan terhadap ajaran agama yang menekankan prinsip ihsan dan kasih sayang.

Teladan kesabaran dan hikmah Rasulullah SAW

Ambillah teladan daripada Rasulullah SAW dalam menghadapi pelbagai ragam manusia, termasuk mereka yang bersikap kasar atau kurang sopan.

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, diceritakan bahawa seorang lelaki Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid. Perbuatan tersebut menimbulkan kemarahan para sahabat yang segera memarahinya. 

Namun begitu, Rasulullah SAW dengan tenang mengawal keadaan dan meminta para sahabat supaya menyiram tempat yang terkena najis itu dengan sebekas air. Baginda memahami bahawa perbuatan sedemikian hanya dilakukan oleh seseorang yang belum memahami ajaran agama dengan mendalam.

Baginda bersabda, “Siramlah dengan sebekas air.” Penyelesaian yang diberikan oleh Rasulullah SAW ini dilaksanakan tanpa rasa marah atau benci. Selepas itu, Baginda mendekati lelaki tersebut dan memberikan nasihat dengan penuh kasih sayang. 

Rasulullah SAW tidak memarahinya atau mengusirnya walaupun perbuatannya nyata bertentangan dengan adab. Sebaliknya, Baginda memahami bahawa lelaki Badwi itu memerlukan bimbingan, bukannya kecaman.

Rasulullah SAW turut mengingatkan para sahabat bahawa tugas mereka ialah mempermudah urusan agama dan bukannya menyukarkannya.

Sikap hikmah serta kebijaksanaan yang ditunjukkan oleh Baginda menjadi panduan unggul dalam berdakwah dan mendidik umat manusia, khususnya mereka yang baru mengenal Islam. Daripada peristiwa ini, kita boleh memahami beberapa prinsip penting dalam hidup bermasyarakat. 

Pertama, sabar dalam menghadapi kejahilan. Rasulullah SAW memahami bahawa lelaki Badwi tersebut bertindak demikian kerana kurangnya pengetahuan. Dalam konteks dakwah, individu yang melakukan kesalahan akibat kejahilan tidak seharusnya dihukum secara keras, tetapi perlu diberi peluang untuk belajar.

Kedua, pilih kaedah yang berhikmah. Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat untuk membersihkan bekas air seni lelaki itu tanpa menghina atau memalukannya. Pendekatan ini menunjukkan bahawa hikmah dan kelembutan adalah kunci untuk mendekati hati manusia.

Ketiga, fokus kepada penyelesaian, bukannya hukuman. Sebaliknya daripada menghukum, Baginda terus memberikan solusi praktikal iaitu menyiram kawasan yang tercemar. Pendekatan ini memberi contoh bagaimana kita harus fokus kepada menyelesaikan masalah dengan cara yang membina.

Tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat

Ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk nilai dan akhlak anak-anak. Namun, kejadian ini menimbulkan kebimbangan bahawa sesetengah ibu bapa mungkin telah menjadi tidak peka (desensitised) terhadap keganasan, sehingga gagal melindungi anak-anak daripada terdedah kepada perlakuan tidak bermoral.

Jika keganasan diterima sebagai perkara biasa, anak-anak akan membesar dengan persepsi yang salah tentang cara menguruskan konflik dan hubungan manusia.

Masyarakat pula harus bertindak sebagai penjaga nilai-nilai murni yang seharusnya menjadi asas kepada kehidupan bermasyarakat agar kesejahteraan dan keharmonian dapat berkekalan. 

Kejadian melampaui batas terhadap lelaki OKU mental ini seharusnya menjadi pengajaran penting kepada kita semua. Masyarakat harus sedar bahawa setiap individu, tidak kira keadaan mereka, berhak mendapat layanan yang adil, hormat dan belas kasihan.

Kita perlu kembali kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada kehidupan bermasyarakat dengan mengambil teladan daripada ajaran agama dan akhlak mulia yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW.

Dengan usaha bersama, kita mampu membentuk sebuah masyarakat yang lebih bertamadun, berempati dan bertanggungjawab.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia