Nilai Sosial: Cara Membumikan Harmonisnya Bersosialisasi

Orang berbudi, kita berbahasa
Orang memberi, kita merasa

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Begitu ungkapan pantun lama yang kerap meniti bibir rentas generasi, menggambarkan nilai budi (spiritual) dan komoditi (fizikal). Kamus Dewan jelas menggambarkan bahawa nilai ialah ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian yang ada pada individu.

Justeru, nilai bermaksud sesuatu yang abstrak serta tersirat. Tempatnya pada kepercayaan, tekad dan perasaan (spiritual). Sedang komoditi pula bermaksud bahan mentah atau hasil yang diniagakan dalam kuantiti yang banyak.

Komoditi justeru bermaksud sesuatu yang nyata serta tersurat. Tempatnya pada amalan dan perbuatan melibatkan benda dan persekitaran (fizikal)! 

Maka, pada hemat penulis, kefahaman terhadap kedua-dua konsep nilai dan komoditi memang boleh difahami secara terpisah tetapi ia lebih bermakna jika difahami sebagai berpasangan dan pelengkap! Tidak lengkap jika persoalan tentang nilai tanpa melibat sama soal komoditi (spiritual dan fizikal).

Nilai sosial dalam harmonis bersosialisasi

Dalam kita melayari kehidupan bermasyarakat, terdapat sejumlah nilai sosial yang menjadi amalan masyarakat. Nilai sosial inilah yang mengatur kita dalam hubungan atau dalam proses berinteraksi.

Perkara ini termasuklah semua perilaku, ucapan dan sebagainya yang membuka sisi serta ruang harmonis dalam kita bersosialisasi. Secara umum, nilai sosial adalah pedoman hidup berkelompok tentang sesuatu yang dianggap baik dan dianggap buruk.

Salah satu ciri nilai sosial berasal daripada proses interaksi dan bukan diwarisi. Ia bukan bawaan dari lahir. Justeru, nilai sosial menjadi faktor yang sangat penting dan memang harus dibumikan serta dipraktikkan oleh masyarakat secara luas juga bersama.

Nilai sosial adalah standard perilaku dan berfungsi sebagai pedoman hidup manusia dalam bermasyarakat. Standard inilah yang mengatur segala bentuk ucapan dan tindakan kita.

Keberadaan nilai sosial ini bukan sahaja membantu setiap individu mendapatkan hak serta menjalankan kewajipan dalam kelompok masyarakatnya, malah ia juga membantu ahli masyarakat untuk mencapai tujuan bersama.

Sebagai contoh relatif progresif di Malaysia, nilai sosial bersama adalah sesuatu yang memiliki tujuan menciptakan kerukunan walaupun berbeza etnik, agama, ras dan lain-lain, nantinya akan diteka dan dibumikan praktiknya dalam masyarakat.

Yang bagusnya, masyarakat akan lebih tahu apa saja yang termasuk dalam hal baik untuk dilakukan dan apa saja hal buruk yang tidak boleh dilakukan. Pada akhirnya, setiap orang akan menyedari batasan yang mereka miliki dan berusaha untuk tidak melampaui batasan tersebut agar boleh diterima oleh kelompok masyarakat.

Pengertian nilai sosial dari perspektif para ahli sosiologi seperti Anthony Giddens, Horton dan Hunt, Kimball Young, Dardji Darmodiharjo, C. Kluckhohn, A.W. Green, Alvin L Bertrand dan Koentjaraningrat dirumuskan sebagai sifat-sifat atau hal-hal penting yang berguna bagi kemanusiaan dalam masyarakat, iaitu sesuatu yang dianggap baik, patut, layak dan boleh dijadikan suatu pedoman hidup oleh sekelompok individu.

Menurut bapa Sosiologi, Ibnu Khaldun, nilai sosial dalam masyarakat adalah berkait rapat dengan pembentukan modal insan.

Ibnu Khaldun merumuskannya dalam teori pembangunan tamadun yang bergantung kepada nisbah perpaduan sejagat berasaskan gabungan semangat asabiyah dan agama, iaitu pembangunan yang bersifat bersepadu antara elemen fizikal dan spiritual.

Menurut Ibn Khaldun lagi, praktis kepada teori jiwa hamba bangsa, kepentingan ilmu sejarah yang merangkumi persoalan manfaat dan disiplin akan menajam dan mencelik jiwa warga terhadap permasalahan umat Islam dan sejagat.

Suri teladan harmonis bersosialisasi yang padan di Malaysia

Setelah mengetahui bermacam-macam penjelasan yang berhubungan dengan nilai sosial, terakhir kita akan membahas tentang beberapa suri teladan yang padan nilai sosial di Malaysia.

1. Ketika ada aksi berpelukan artis Korea lelaki dengan gadis sunti tempatan di pentas persembahan hiburan, masyarakat menyedari bahawa tindakan berpelukan di khalayak tersebut bukanlah tindakan bermoral tempatan yang baik dan ia harus dihindari serta tidak boleh ditiru.

2. Masyarakat memberi respons terhadap kejayaan Saudara Khairul Aming yang berjaya menjual komoditi secara dalam talian dalam masa singkat. Rentetan kejayaan tersebut, berlakulah aktiviti menciplak komoditi di pasaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tindakan sebegini bukan sahaja melanggar akta jualan, malah juga kurang sopan serta melanggar nilai sosial. Oleh karena itu, tindakan tersebut tidak boleh ditiru. Pelaku yang masih melakukan tindakan tersebut perlu diberi  teguran atau diingatkan oleh orang lain agar tidak melakukannya lagi.

3. Ada seorang pempengaruh yang mengeluarkan kenyataan kontroversi di platform media sosial bahawa Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tiada nilai. Tindakan sebegini merupakan salah satu perbuatan tidak baik dan boleh mencetuskan perbalahan serta harus dihindari.

Oleh kerana itu, setiap warganet harus menyedari untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan dan merespons kepada kenyataan berbaur kontroversi. 

Enam tip membumikan harmonis dalam bersosialisasi

1. Daripada proses interaksi sosial, ketika seseorang ingin lawan bicara, katakan tidak untuk berbahas kerana tindakan tersebut boleh menyakiti hati.

2.  Daripada proses pembelajaran, ketika seseorang mengatakan A kerana dianggap biasa, mungkin perkataan A akan dianggap menyakiti pihak lain. Maka, bersabar dan bersangka baiklah.

3. Dalam aneka ragam kelompok masyarakat, akan ada perbezaan nilai sosial daripada satu kelompok dengan kelompok lainnya. Maka raikanlah dan bersilaturahimlah. 

4. Dalam perkara warisan, pasti ada ciri yang dimiliki dan diwariskan secara alami serta secara turun-temurun. Pasti ada seseorang yang lahir dan dibesarkan daripada strata dan status sosial yang mengikuti nilai sosial yang sudah terbentuk daripada generasi sebelumnya. Maka, bersyukurlah.

5. Bersifat dan berlakulah tidak statik kerana nilai sosial memiliki sifat tidak statik dan akan terus berkembang. Dalam suatu tindakan dan ucapan, berhati-hatilah kerana boleh jadi, ucapan dan tindakan untuk saat ini akan dianggap menghina mahupun menyakiti perasaan orang lain. Maka, ‘move on.’

6. Mengikatlah dan bukan memisahkan individu atau kelompok masyarakat. Norma sosial sepatutnya memiliki sifat mengikat individu atau suatu kelompok masyarakat serta ada kewajipan dan keperluan untuk selalu dipatuhi serta menerapkannya walaupun tanpa sedar atau tanpa ditulis. Maka, bertimbang rasalah.

Dari setiap penjelasan yang ada di atas, kita boleh menyedari betapa pentingnya nilai sosial bagi kehidupan masyarakat. Pada dasarnya, nilai sosial boleh menjadikan seorang individu itu membezakan tindakan mana yang baik dan tindakan mana yang buruk, seterusnya akan terus melakukan tindakan yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.

Rukun Negara Malaysia sendiri telah lama cuba untuk membumikan nilai dan komoditi dalam masyarakat menelusuri harmoni bersosialisasi.

Lihatlah kepada paksi nilai seperti percaya Tuhan, kesetiaan kepada pemimpin dan negara warga, luhur dalam menjalan dan praktis undang-undang dan peraturan serta sopan susila dalam menjalani kehidupan seluruh warga!

Rasulullah Sallallahualaihiwasallam adalah suri teladan yang baik dalam pelbagai hal termasuklah dalam perbuatan dan juga akhlak. Allah SWT berfirman dalam al-Quran Surah al-Ahzab ayat 21:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللّٰهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللّٰهَ وَالْيَوْمَ الْاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيْرًاۗ 

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah.”

Memang bukan mudah mencontohi dan mengikut akhlak Nabi Sallallahualaihiwasallam, namun kita perlu mempraktikkan sifat dan sikap terpuji baginda mengikut keupayaan masing-masing, apatah lagi kehidupan ini dipenuhi bermacam-macam ragam dan budaya.

Akhlak mulia Rasulullah SAW sekiranya diamalkan akan disenangi serta memberi manfaat kepada semua makhluk. 

Bunga melur mekar di taman
Burung merpati terbangnya tinggi
Rupa cantik menjadi igauan
Hati yang cantik apatah lagi

Dr Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah Kanan / Penyelidik / Ketua Pascasiswazah
Jabatan Pengajian Ketamadunan dan Pembangunan Insan
Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia