Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) amat kesal dengan ucapan seorang pendakwah bebas yang menyebut agar Allah mempertahankan Kedah daripada dijatuhkan oleh ‘musuh-musuh Allah’.
Ungkapan tersebut memberi gambaran bahawa musuh-musuh politik di Kedah adalah musuh-musuh Allah yang wajib diperangi.
Ungkapan ‘musuh Allah’ amat bahaya, boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam, malah rakyat berbilang kaum di Malaysia. Meskipun permohonan maaf telah dibuat, sentimen melampau sebegini boleh menggugat ketenteraman awam di negara ini.
Gelaran tersebut tidak boleh dilontarkan kepada musuh politik, kerana penglibatan dalam medan politik adalah berasaskan ijtihad yang tidak bersangkutan dengan akidah.
Rasulullah SAW bersabda memberi amaran terhadap tuduhan sebegini, mafhumnya:
“Dan sesiapa yang memanggil seseorang dengan kafir atau dengan berkata, ‘Wahai musuh Allah’ sedangkan tidak sedemikian, melainkan perkataan tersebut akan kembali kepadanya.” (HR Muslim, No. 61)
Islam amat mementingkan hubungan ukhuwah persaudaraan sesama Muslim dan menganjurkan perdamaian sesama umat, walaupun berlaku pertelingkahan.
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujuraat: 10)
Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha melebarkan kebaikan, pengislahan dan pembinaan negara ke arah yang lebih baik serta menolak dan membanteras kebatilan, rasuah dan penyelewengan.
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Al-Maaidah: 2)
Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung adalah medan persaingan untuk memilih pasukan terbaik untuk mentadbir, bukannya medan menghukum, menghina dan mencerca musuh politik dengan sentimen yang melampau.
IKRAM menggesa semua pihak, khususnya para pemimpin parti-parti politik dan juga agamawan agar berhenti memainkan sentimen agama dan perkauman untuk meraih pengaruh peribadi, keuntungan politik atau memenangi pilihan raya.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia